Saturday, January 29, 2011

Misteri Isteri Dibunuh

Motif bunuh isteri penoreh disiasat

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
utusansabah@utusan.com.my
KOTA KINABALU 28 Jan. - Polis masih menyiasat motif pembunuhan seorang wanita yang ditemui mati dalam keadaan separuh bogel dan pisau tertusuk di lehernya di kebun getah di Kampung Bunsut, Jalan Batu 8, Lawa Mandau, dekat sini Selasa lalu.

Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Hamza Taib berkata, pihaknya akan melihat pelbagai aspek termasuklah kemungkinan faktor cemburu.

Katanya, pihaknya juga telah menyoal-siasat beberapa individu yang terakhir dilihat bersama mangsa, Aisah Jannalah, 51.

"Beberapa orang terakhir itu melihat mangsa ketika dalam perjalanan menghantar makanan kepada suami di kebun getah, kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

"Suami mangsa ditahan kerana dia adalah individu pertama menemui mangsa dan bagi membantu siasatan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan turut memberi tumpuan sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayat dibuang di dalam kebun getah terbabit atau sebaliknya.

Katanya, berdasarkan bedah siasat mangsa mati disebabkan pendarahan teruk di bahagian leher.

"Pihak hospital masih belum mengesahkan sama ada mangsa dirogol atau tidak," ujar beliau.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, mangsa ditemui oleh suaminya dalam keadaan separuh bogel dan tertiarap serta berlumuran darah di satu kawasan semak kebun getah tersebut.

Sebelum itu, suami mangsa mendakwa menghubungi isterinya pukul 1 petang sebelum meminta wanita tersebut menghantar makanan di ladang.

Bagaimanapun, selepas menunggu kira-kira sejam dan bimbang berlaku perkara buruk, lelaki itu bersama anak tiri dan dua sepupunya mengambil keputusan mencari mangsa.

Suami mangsa terkejut apabila menjumpai nasi bertaburan di tanah, sebelum menemui isterinya dalam keadaan mengerikan dengan pisau masih terpacak di lehernya.

Suami mangsa menghubungi salah seorang anak mereka, sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas kejadian.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment