Friday, January 14, 2011

warga Asing


Warga asing raba anak gadis

BANDAR BARU KLANG - Kebanjiran warga asing yang menyewa rumah di Flat Cempaka di sini merunsingkan segelintir ibu bapa yang khuatir tentang keselamatan anak masing-masing terutamanya anak gadis.

Salah seorang penghuni dikenali Sobri, 47, berkata, anak rakannya pernah diraba lelaki warga asing ketika menaiki lif untuk pulang ke rumahnya.

“Dalam suasana gelap dan lampu tidak menyala, lelaki itu mengambil kesempatan melakukan perbuatan terbabit yang kebetulan tiada pengguna lain dalam lif.

“Bagaimanapun gadis itu tidak memaklumkan kepada ibu bapa dan keluarganya mungkin kerana takut. Dia hanya menceritakan kejadian itu kepada anak saya yang juga rakan baiknya,” katanya.

Menurutnya, kejadian sedemikian menakutkan ibu bapa lain yang mempunyai anak perempuan yang masih kecil.

“Saya perhatikan terdapat dalam kalangan warga asing di sini yang tidak bekerja dan sering menghabiskan masa melepak di kawasan permainan kanak-kanak.

“Kadang-kala mereka pernah menegur dan meminta nombor telefon anak gadis dengan hasrat untuk berkenalan. Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan lelaki warga asing semata-mata kerana gadis di sini turut melayan permintaan itu,” katanya.

Sobri berkata, ibu bapa di sini harus memantau anak gadis masing-masing agar tidak terperangkap dalam kejadian yang lebih teruk.

“Saya khuatir dengan sikap gadis yang suka melayan karenah lelaki itu telah membuatkan mereka tambah berani sehingga bertindak lebih jauh dengan melakukan perbuatan meraba dan sebagainya.

“Oleh itu, saya minta pihak berkuasa dan persatuan penduduk melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini. Ia bagi menjamin keselamatan anak serta keharmonian semua penghuni yang tinggal di sini,” katanya.

No comments:

Post a Comment