Tuesday, January 25, 2011

Ubah Pengakuan


Mangsa rogol sering ubah keterangan

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS

Saripah Ariff bergambar kenangan bersama sebahagian polis dari luar negara pada satu majlis di ibu negara baru-baru ini.

BUKAN mudah untuk membawa pelaku salah jenayah penderaan seksual dan rogol ke muka pengadilan. Bagaimanapun ramai yang tidak menyedari itulah terpaksa dilalui pasukan polis.

Begitulah pahit-manis dilalui Sarjan Saripah Ariff, 50, dari Bahagian Hal Ehwal Awam Cawangan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Pengalaman itu ditempuh beliau semasa berkhidmat di Cawangan Risikan Jenayah IPD Pekan, Pahang selama 14 tahun.

Selain ditugaskan mengemas kini statistik kes-kes jenayah dalam cawangan, beliau turut membantu pegawai penyiasat (IO) mengiring mangsa rogol ke lokasi kejadian untuk menemubual mereka atau melakukan pemeriksaan.

Antara lokasi yang banyak berlaku kejadian rogol adalah di ladang kelapa sawit, kebun getah dan rumah keluarga.

"Kebanyakan yang disiasat awalnya melibatkan suka sama suka bagaimanapun setelah hamil dan malu, barulah mangsa membuat laporan polis.

"Malah ada kes si pelaku dan mangsa saling mengenali ataupun terdiri daripada ahli keluarga sendiri.

"Selepas laporan dibuat, siasatan akan dijalankan dengan membawa mangsa ke hospital serta ke lokasi kejadian," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun sering berlaku apabila selepas beberapa peringkat siasatan, mangsa mengubah keterangan dalam laporan sehingga pelaku salah gagal didakwa.

"Mangsa bertindak demikian atas desakan keluarga yang malu dan takut diketahui umum sedangkan mereka lupa laporan awal telah dibuat," katanya.

Menurut anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan itu, ada juga desakan datang dari ibu mangsa sendiri yang enggan melihat suaminya didakwa.

"Ada satu kes rogol yang terbongkar apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun telah melahirkan anak daripada bapa tirinya.

"Sungguh malang setelah laporan dibuat, ibu kanak-kanak itu mendesak supaya keterangan diubah kerana sayangkan suaminya," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, jelas Saripah, antara punca-punca rogol adalah kerana kurangnya pegangan agama, terlalu mengikut hawa nafsu dan tiada batas-batas pergaulan.

Sebagai ibu kepada lima anak yang berusia antara 11 dan 26 tahun, beliau menasihatkan ibu bapa lain agar sentiasa mengambil tahu pergerakan anak mereka.

Mengetahui siapa rakan mereka dan sentiasa berkomunikasi dengan berkesan.

"Jadikan anak sebagai kawan supaya mengalakan mereka meluahkan perasaan dan tekanan yang dipendam, tidak segan bercerita tentang hal-hal yang peribadi dan rahsia.

"Jadikan kita sebagai pendengar setia dan orang yang akan dicari jika sesuatu masalah yang menimpa mereka.

"Mendidik anak macam main layang-layang, biarkan mereka terbang mengikut arah angin dan tarik tali jika nampak mereka jauh dari pandangan tetapi tidak sesekali melepaskan tali itu.

"Kena bijak dan jaga hati anak tetapi jangan sampai memberi peluang mereka menipu ibu-bapa dalam erti kata lain bukan memberi kepercayaan dan kebebasan 100 peratus," jelasnya lagi.

Menceritakan pengalamannya, ada antara remaja terpengaruh dengan gaya hidup rakan sebayanya sehingga sanggup menggadai diri kepada lelaki tua yang berharta untuk hidup mewah dan memakai barang berjenama.

Dalam pada itu, Saripah yang sudah 30 tahun berkhidmat dalam bidang polis menasihatkan pentingnya masa kualiti bersama keluarga kerana ia adalah masa terbaik mengeratkan hubungan suami-isteri serta ibu-bapa dengan anak-anak.

Bagaimanapun, cabaran utama yang dihadapinya adalah untuk membahagi masa supaya keluarga dan kerjaya berjalan seiring tanpa mengabaikan salah satu daripadanya.

Katanya, dalam tempoh 20 tahun berkhidmat di Pekan, Pahang, beliau akui bergelut dengan pengurusan masa tambah pula tuntutan kerjaya suaminya, Sarjan Mejar Roslan Abu Sari yang ketika itu berkhidmat sebagai pengiring Sultan Pahang.

"Tanggungjawab menguruskan anak-anak terpaksa saya galas sendirian kerana suami kerap ke luar kawasan sama ada ke luar negara atau dalam negeri.

"Nak sambut Hari Raya Aidilfitri bersama pun sukar sehingga tiga atau empat tahun sekali.

"Bagaimanapun, berkat kesabaran dan doa semua pihak, Allah izinkan kami sekeluarga menjalani kehidupan harian bersama-sama selepas saya dan suami ditukarkan ke Bukit Aman pada 2004," katanya lagi.

Selepas tiga tahun di Bukit Aman, Saripah ditukarkan ke IPD Brickfields sehingga hari ini.

Sepanjang berkhidmat 30 tahun dalam polis, pencapaian paling tinggi yang diterimanya ialah Pingat Jasa Kebaktian dan Pingat Kelakuan Terpuji dari Sultan Pahang.

Harapannya, beliau akan berjaya dalam bidang diceburi, memperbaiki diri dan melaksanakan tugas-tugas diberi pucuk pimpinan sebaik mungkin tanpa mengabaikan tugasnya sebagai isteri dan ibu.

Ketika ditanya petua-petua yang diamalkan bagi menjaga keharmonian rumah tangga, jelas wanita cekal ini, sentiasa bersyukur rezeki Allah, saling memahami dan menghormati, bertolak ansur, percaya dan sentiasa bekerjasama antara satu sama lain.

"Suami amat memahami minat saya selain dalam bidang polis, saya turut meminati bidang sukan seperti bola kerajang, karaoke dan menjadi juruacara tambahan untuk majlis Perkep, majlis-majlis perpisahan dan jamuan tertentu," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment