Wednesday, January 12, 2011

Guna Motor Bini


Guna motor isteri pecah rumah

SERI KEMBANGAN – Seorang penganggur tergamak menggunakan motosikal yang dipinjam daripada isterinya sendiri untuk melakukan kegiatan pecah rumah di PUJ 6/14, Taman Puncak Jalil di sini, Jumaat lalu.

Dia yang menunggang motosikal dari rumah yang didiami di Putrajaya ke sebuah taman perumahan di Seri Kembangan itu bagaimanapun berjaya dicekup polis bersama hasil kegiatan yang dilakukan.

Difahamkan, suspek berusia 37 tahun itu juga dikatakan tidak serik dengan tiga rekod rekod jenayah yang dipegangnya termasuk satu bersabit kes dadah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias berkata, suspek berjaya dicekup hanya beberapa minit selepas selesai melakukan kerjanya itu.

Katanya, kebetulan anggota peronda polis (MPV) membuat rondaan di kawasan itu sebelum mengesyaki sesuatu apabila melihat pintu pagar sebuah rumah dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota MPV kemudian memberhentikan kereta di depan rumah itu untuk membuat pemeriksaan sebelum mendapati suspek keluar dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa membawa sebuah beg kertas berwarna hitam.

“Tergamam apabila melihat kereta polis, suspek kemudian cuba bertindak melarikan diri dengan merempuh anggota. Ketika itu berlaku sedikit pergelutan namun akhirnya suspek tewas di tangan anggota,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pagi semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemukan polis dengan sebuah komputer riba, tiga botol minyak wangi dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang digunakan untuk jenayah terbabit.

“Suspek kemudian membawa polis ke rumahnya dan menunjukkan beberapa barang berharga termasuk lapan telefon bimbit pelbagai jenama, satu gelang berwarna kekuningan dan 21 keping mata wang asing kesemuanya bernilai RM8,000 dipercayai diperoleh daripada kegiatan pecah rumah dijalankan sebelum ini.

“Dalam soal siasat dijalankan, suspek mengaku terbabit dengan kegiatan pecah rumah di sekitar Seri Kembangan dengan menggunakan modus operandi membuat pemerhatian awal sebelum melakukan aktiviti terbabit dengan merosakkan pagar dan pintu gril depan rumah,”katanya yang memaklumkan suspek direman sehingga hari ini.

No comments:

Post a Comment