Tuesday, January 18, 2011

Lawan Penjenayah

Wartawan bergelut dengan penjenayah

IPOH 17 Jan. - Tindakan berani Timbalan Ketua Biro Kosmo! Perak, Ahmad Syakir Sazili bergelut dengan seorang penjenayah bersenjatakan sebatang kayu berjaya menyelamatkan kamera digitalnya daripada dilarikan dalam cubaan samun di Pejabat Kosmo! malam tadi.

Ahmad Syakir, 32, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 8 malam, dia berada seorang diri di pejabat dan sedang menunaikan solat Maghrib.

"Sebaik sahaja memberi salam, saya ternampak seorang lelaki sedang memegang kayu dan berdiri di pintu masuk pejabat.

"Saya kemudian menjerit memarahi lelaki tersebut. Dia kemudian berlari ke ke arah kerusi dan menarik beg galas saya yang berisi sebuah kamera digital berharga lebih RM2,500," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Ahmad Syakir, berang dengan tindakan lelaki tersebut, dia terus menarik beg berkenaan sambil memarahi penjenayah itu.

"Beg tersebut kemudian terlepas daripada tangan penjenayah itu namun ia menyebabkan saya terjatuh.

"Penjenayah itu terus melarikan diri. Saya sempat membaling botol kaca ke arahnya tetapi tidak mengenai sasaran," katanya yang sudah berkhidmat empat tahun di Biro Perak.

Katanya, penjenayah itu dipercayai ketagihan arak berdasarkan kepada keadaan fizikalnya.

Berikutan kejadian tersebut, Ahmad Syakir membuat laporan di Balai Polis Pekan Baru yang terletak di hadapan pejabatnya.

No comments:

Post a Comment