Saturday, July 28, 2012

ajar anak curi moto

Bapa ajar anak curi motosikal


INILAH tiga buah motosikal Honda EX5 yang dirampas daripada empat beranak yang diberkas di Taman Putera Jaya, Telipok, Kota Kinabalu, Rabu lalu.


KOTA KINABALU - Seorang bapa seharusnya memberi contoh baik kepada anak-anak namun lain pula yang berlaku kepada seorang ketua keluarga yang menurunkan ilmu menjadi penjenayah kepada ketiga-tiga anak lelakinya.
Lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai memberi latihan kepada ketiga-tiga anaknya yang berusia 18 hingga 25 tahun untuk mencuri motosikal untuk dijadikan sumber rezeki.
Bapa dan tiga orang anak lelakinya itu diberkas pada pukul 12.40 pagi, 25 Julai lalu di sebuah kedai berhampiran kawasan Taman Putera Jaya, Telipok.
Ketiga-tiga anak lelaki tersebut masih bujang. Empat beranak itu penganggur.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, penangkapan empat beranak itu ekoran laporan seorang mangsa yang kehilangan sebuah motosikalnya di sebuah institusi pengajian tinggi di bandaraya ini baru-baru ini.
Menurut beliau, bersama dengan penangkapan tersebut polis merampas tiga buah motosikal curi jenis Honda EX5 bersama empat beranak terbabit.
"Soal siasat terhadap empat beranak berkenaan membawa kepada penahanan suspek kelima berusia 26 tahun di tepi jalan di Taman Putera Jaya," kata beliau,
Suspek kelima itu dipercayai bersubahat dengan empat beranak itu untuk melakukan jenayah curi motosikal sejak April lalu.
Nilai rampasan membabitkan tiga buah motosikal itu berjumlah RM10,000.
Ahmad Sofi memberitahu, modus operandi pencuri motosikal itu ialah menyasarkan motosikal yang diletakkan di kawasan tersembunyi di sekitar bandar raya ini.
"Penjenayah tersebut menggunakan pemutar skru bagi membuka enjin motosikal sebelum menyambungkan wayar untuk menghidupkan enjinnya," kata beliau.

renjatan merompak

4 guna renjatan elektrik samun pemilik butik


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Empat penyamun yang menggunakan alat renjatan elektrik terhadap seorang wanita ketika menyamun butik pengantinnya di Taman Tasik Permaisuri di sini, bukan saja melaram dengan pakaian dan barang curi bernilai lebih RM10,000 bagaikan orang kaya di sebuah pusat beli-belah, malah turut mencabul wanita berkenaan, Rabu lalu.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, empat penyamun berkenaan menyamar sebagai pelanggan ingin menempah pakaian untuk majlis akad nikah, mula mengintip pergerakan di kawasan butik beberapa jam sebelum itu.

Mangsa mahu dikenali sebagai Yati, 28, berkata ketika dia berehat di atas sofa butik yang terletak di tingkat satu, seorang lelaki masuk memberitahu mahu menempah pakaian untuk akad nikah melalui interkom.
Bagaimanapun katanya, sebaik membuka pintu butik, tiga lagi rakan lelaki itu menyerbu masuk sebelum mengenakan alat renjatan elektrik ke mukanya menyebabkan badannya lemah.

“Akibat terkena renjatan elektrik pada muka, saya terkencing dan terduduk lemah.

“Mereka menggeledah setiap ruang dalam butik dan melarikan beg tangan mengandungi 10 kad kredit, dua telefon bimbit, komputer tablet, barang kemas, wang tunai, cermin mata dan pakaian pengantin lelaki semuanya bernilai lebih RM10,000,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian tubuhnya turut diraba dan dalam tempoh 10 minit mereka dalam kedainya, seorang daripada suspek membuka seluarnya dan cuba mendekatinya tetapi dia sempat melarikan diri bersembunyi dalam tandas.

Sebaik mereka meninggalkan butiknya, Yati menghubungi bank bagi menamatkan perkhidmatan lapan daripada 10 kad kreditnya dan jangkaannya tepat apabila kumpulan itu cuba menggunakan kad kreditnya untuk membeli-belah di sebuah pusat beli-belah di Jalan Klang Lama, di sini.
Katanya, mereka melaram dengan pakaian pengantin yang dicuri dari butiknya itu dan berlagak seperti orang kaya dengan memasuki beberapa kedai jam dan cermin mata.

Menurut Yati, berdasarkan rekod bank, penyamun berkenaan cuba menggunakan kad kreditnya untuk membeli jam tangan berharga RM900 tetapi gagal kerana kad kredit berkenaan sudah dibatalkan.

“Sebaik dimaklumkan pihak bank kad kredit saya digunakan di pusat beli-belah itu, saya bergegas ke sana dan menemui pihak pengurusan pusat beli-belah bagi melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti wajah mereka,” katanya.

“Dalam rakaman itu jelas keempat-empat mereka memasuki beberapa kedai dengan bersahaja dan berlagak seperti orang kaya membeli-belah,” katanya.

Menurutnya, apabila beberapa transaksi pembelian mereka gagal, keempat-empat suspek melarikan diri. dan tidak sempat dikejar pemilik kedai.

Susulan itu, Yati membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Wednesday, July 25, 2012

menyamar serta menyamun

Menyamar suami isteri, samun guru
HAMIZAH BASIR
25 Julai 2012
SEREMBAN – Dua penjenayah sanggup menyamar sebagai suami isteri yang mahu menghantar anak ke sebuah Tabika Perpaduan di Mantin, di sini semalam, sebelum bertindak menyamun dua guru wanita membabitkan RM37,000.

Dalam kejadian kira-kira 11.10 pagi itu, suspek wanita datang ke tabika berkenaan dan bertanyakan prosedur penghantaran anak kepada kedua-dua guru terbabit sebelum memanggil pasangannya yang menunggu di luar.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, kedua-dua suspek yang memakai helmet penuh serta bersenjatakan parang kemudian menyerbu masuk dan mengugut dua guru berkenaan supaya menyerahkan barang berharga.

“Bimbang dicederakan, guru berkenaan kemudian menyerahkan barangan kemas, dua telefon bimbit bernilai lebih RM500.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek tidak mencederakan kanak-kanak yang berada di dalam tabika itu dan kebetulan dua guru berkenaan berada di pejabat mereka,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak meminta kunci kereta jenis Perodua Myvi milik salah seorang guru yang berada di luar kawasan tabika itu.

“Kedua-dua suspek kemudian bertindak melarikan kereta berkenaan dan meninggalkan motosikal jenis Honda di tabika berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal kita mendapati, motosikal berkenaan dicuri di Klang dan siasatan sedang dilakukan untuk memburu suspek,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah kereta jenis Toyota Camry milik seorang guru dilarikan enam lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Taman Desa Indah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, mangsa berusia 30-an didatangi sebuah kereta jenis Toyota Estima dinaiki enam lelaki berhenti di hadapan rumah sejurus pulang dari bekerja.

“Tiga daripada suspek kemudian bertindak mengugut mangsa supaya menyerahkan semua barangan berharga seperti komputer riba, barang kemas, broadband, dan telefon bimbit.

“Suspek turut bertindak melarikan kereta Toyota Camry mangsa sebelum melarikan diri. Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM117 000,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

“Kita sedang mengesan kesemua suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7991222 atau balai polis berhampiran,” katanya.

pura2 hendak membeli

Penjenayah menyamar pelanggan
Wartawan Sinar Harian
25 Julai 2012
Penjenayah menyamar pelanggan
Ina menunjukkan paparan CCTV yang ditempatkan dalam premisnya.
BATANG KALI - Sepasang suami isteri kerugian lebih RM60,000 dalam kejadian samun di kedai runcit mereka dekat sebuah kolej di sini baru-baru ini.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 36, berkata, kereta Proton Satria Neo, wang tunai RM4,000, dua telefon bimbit bernilai RM300 dan beberapa karton rokok bernilai RM600 dilarikan penjenayah dalam kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan suami sedang mengemas barangan dalam kedai sebelum didatangi dua lelaki berlagak sebagai pelanggan.

“Kami tidak menyedari sebarang perlakuan mencurigakan kerana mereka datang seperti pelanggan biasa dan membeli minuman botol.

“Seorang penjenayah mengarahkan rakannya ke luar mengambil beg dan ketika tiada pelanggan lain seorang penyamun yang berlagak mahu membayar tiba-tiba mengeluarkan pisau rambo lalu mengacukannya pada perut suami sambil meminta kami masuk ke dalam kaunter,” katanya semalam.

Menurutnya, mereka dikawal dan diugut akan dicederakan jika menjerit atau melawan sambil meminta suaminya menyerahkan semua wang tunai dan barangan berharga.

Katanya, seorang daripada penyamun itu merampas beg berisi RM4,000 daripada suaminya dan menyelongkar laci sebelum menemui dua telefon bimbit.

“Mereka turut meminta saya berikan beberapa kotak rokok berjenama bernilai RM600 dan kunci kereta.

“Setelah selesai mereka mengarahkan kami ke belakang dengan kedua belah tangan di kepala sebelum mereka beredar dengan kenderaan yang diletakkan di bengkel bersebelahan bersama kereta kami,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ina berkata, kejadian pada 13 Julai lalu kira-kira jam 6.20 petang itu hanya mengambil masa kurang tujuh minit.

Menurutnya, kedua-dua penjenayah lari tanpa mereka sempat melihat kenderaan dinaiki.

Katanya, laporan polis dibuat sejurus selepas kejadian dan kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan dalam dan luar premis berjaya merakam kedua-dua penjenayah terbabit, namun sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang maklumat tangkapan.

Ina berharap penjenayah terbabit dapat ditangkap segera dan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Saya juga menggesa pihak berwajib memastikan lampu jalan di sekitar bangunan perniagaan di sini berfungsi kerana ia mengundang kehadiran penjenayah.

“Saya yakin penjenayah sudah lama menyasarkan kedai kami” katanya.

merogol rakan

Guru wanita dipercayai dirogol rakan sekerja
Wartawan Sinar Harian
25 Julai 2012
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad
SABAK BERNAM- Perubahan sikap seorang guru wanita yang menjadi pasif dan pendiam membongkar rahsia dia dirogol rakan sekerjanya.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian jam 5 pagi, 14 April lalu, mangsa yang baru bangun dari tidur diterkam suspek berusia 37 tahun di ruang tamu rumahnya sebaik sahaja dia membuka pintu.

"Suspek seorang guru sekolah rendah bertindak menerkam dan merogol mangsa yang ketika itu bersendirian di rumah.

"Bagaimanapun tiada ugutan yang dibuat dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Noor Mushar,  disebabkan kejadian itu, mangsa berusia 33 tahun itu trauma dan berubah  sikap menjadi pasif serta pendiam yang kemudiaannya perubahan itu disedari oleh suami mangsa.

"Mangsa yang pada mulanya takut menceritakan tragedi itu akhir terpaksa mengakui menjadi mangsa rogol selepas didesak berkali-kali oleh suaminya.

"Mangsa ditemani suami kemudiaannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, kira-kira jam 2 petang, Ahad lalu," katanya,

Berdasarkan laporan yang diterima, polis bertindak menahan suspek yang sudah berkahwin namun masih belum mempunyai cahaya mata itu di kediamannya di sekitar Sungai Besar kira-kira jam 10 malam, pada hari sama laporan dibuat.

"Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Sementara itu, katanya, orang ramai diminta segera membuat laporan dan tidak mendiamkan diri sekiranya menjadi mangsa jenayah.

"Laporan itu penting bagi memudahkan siasatan dijalankan dan membolehkan tindakan segera diambil ke  atas penjenayah," katanya.

Thursday, July 5, 2012

pukau kalah dengan ustaz

Helah wanita cantik gagal
KAMARUL HALIM M KAMAL
5 Julai 2012
Helah wanita cantik gagal
Mohd Ali melakonkan semula ketika mahu mengeluarkan cek dari poket bajunya sebelum disapa seorang wanita cantik.
BATU PAHAT – Dengan menggunakan wajah cantik dan berbudi bahasa, seorang wanita berusia lewat 20-an berpakat bersama pasangannya dan dipercayai menjalankan kegiatan menipu wang mangsanya dengan cara pukau.
Pengalaman itu dialami seorang bekas guru agama, Mohd Ali Siman, 62, yang didatangi seorang wanita mempunyai loghat dari negara jiran pada Jumaat lalu, ketika dia hendak menunaikan cek di sebuah bank di bandar ini.
Katanya, ketika dia keluar dari kereta dan hendak mengeluarkan cek dari poket bajunya, dia ditegur seorang wanita yang meminta pertolongan.

“Wanita itu cukup bersopan dan cantik. Dia memberitahu memenangi loteri dengan jumlah agak banyak, namun transaksi terbabit tidak boleh dilakukan kerana bukan warganegara dan memerlukan seorang penjamin warganegara Malaysia.
“Wanita terbabit juga memberitahu dia memerlukan wang sejumlah RM20,000 sebagai urusan untuk mengeluarkan wang yang dimenanginya,” katanya kepada Sinar Harian.
Namun begitu katanya, dia berasa berbelah bahagi untuk membantu wanita itu kerana melibatkan perjudian dan wang haram, namun kata-kata untuk menolaknya seolah-olah sukar untuk diluahkan.
Mohd Ali berkata, ketika asyik mendengar penjelasan daripada wanita itu, tiba-tiba seorang lelaki datang menyapa mereka berdua dan bertanyakan mengenai perbincangan berkenaan, seterusnya wanita itu terus bercerita masalah dihadapinya.
“Setelah mendengarnya, lelaki itu mempelawa kami masuk ke keretanya. Saya mula berasa pelik kerana kereta lelaki itu diletakkan seolah-olah bersedia untuk membawa kami.
“Saya, tanpa berkata apa-apa terus mengikut wanita dan lelaki itu. Ketika dalam kereta, saya ditunjukkan tiket loteri dan juga sehelai keratan akhbar tempatan yang menunjukkan nombor sama dimenangi wanita tersebut.
“Saya bertambah pelik apabila disoal oleh kedua-duanya mengenai jumlah wang yang saya miliki di bank. Saya termangu seketika, kemudiannya berdoa agar saya diselamatkan daripada apa juga cubaan penipuan ketika itu," katanya.
Sejurus itu, dia mampu bersuara dan menyatakan kesemua akaunnya tidak mempunyai kemudahan mesin pengeluaran automatik (ATM) dan pengeluaran hanya boleh melalui buku bank yang ditinggalkan di rumah.
Tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan, wanita dan lelaki berkenaan mengajaknya untuk mengambil buku akaunnya di rumah, setelah berpusing-pusing di bandar ini beberapa kali.
“Sekali lagi saya cuba memberi helah dengan memberitahu kupon meletak kenderaan saya hampir habis tempoh dan mahu menggantikannya dengan yang baru.
Kemudiannya, saya terus dibawa ke kereta saya.
“Setelah turun, saya masuk ke kereta saya dan perhatikan kereta mereka terus meluru meninggalkan saya. Saya bersyukur kerana terselamat daripada ditipu mereka.

“Setelah difikirkan balik, saya menurut sahaja kehendak mereka seperti dipukau, namun mungkin ALLAH mahu selamatkan saya daripada penipuan ini, usaha mereka tidak berjaya,” katanya
Katanya, setelah bercerita dengan beberapa kenalan rapat, ada yang bertanya kepadanya tentang ilmu yang digunakan sehingga mampu melepaskan diri dari kejadian berkenaan.

“Saya menyatakan supaya sentiasa ingatkan ALLAH, sentiasa berada dalam keadaan berwuduk dan mengaji al- Quran setiap hari.
“Apabila kita sentiasa ingatkan ALLAH, maka ALLAH akan sentiasa ingat kita dan membantu kita apabila kesusahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Din Ahmad berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya masih belum menerima laporan berkaitan kes pukau.

“Jika orang awam menjadi mangsa pukau ini, mereka perlu membuat laporan polis dengan segera supaya tindakan susulan untuk mengenal suspek dapat dilakukan oleh pihak polis.

“Kami nasihat orang ramai supaya lebih berhati-hati dan jika ditipu atau dipukau, mereka perlu mengambil nombor pendaftaran kenderaan suspek, kenal pasti bahasa digunakan, jumlah suspek, wajah dan juga pakaian yang mereka pakai,” katanya.

Sunday, July 1, 2012

niat kahwin hendak jadikan keldai

ARKIB : 29/06/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 3
Kahwin warga tempatan untuk dijadikan keldai dadah

IPOH 28 Jun - Jika sebelum ini laman sosial dijadikan medium untuk merekrut wanita tempatan menjadi keldai dadah, sindiket antarabangsa didalangi warga Afrika kini dikesan menggunakan taktik baru iaitu dengan mengahwini mereka.

Wanita yang dikahwini itu kemudiannya akan dipaksa menjadi orang tengah dan 'memancing' gadis-gadis muda untuk dijadikan keldai dadah.

Pegawai Turus Bahagian PerlucutHakkan Harta, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Deputi Supritendan Zaitun Mohd. Nusi berkata, mangsa kebanyakannya terperangkap dan terpaksa berkahwin dengan lelaki Afrika selepas disogok dengan pelbagai barangan mewah ketika mula berkenalan.

"Taktik baru ini mungkin digunakan selepas cara lama iaitu memerangkap wanita dan gadis tempatan menerusi laman sosial seperti Facebook kurang berkesan akibat pendedahan meluas media," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel Forum Antara Agensi bertajuk Peranan Dalam Menangani Isu Keldai Dadah sempena Program Wanita Anti Jenayah (Waja) di Dewan Sri Iskandar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak di sini hari ini.

Turut menjadi panel pada forum berkenaan, Ketua Unit Pengesanan dan Pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak, Mohamad Nor Ngadimin dan Penolong Setiausaha Bahagian Kaunselor, Kementerian Luar Negeri, Ahmad Fuad Mohd. Norzin.

Ahmad Fuad berkata, sehingga Mac lalu, Kementerian Luar Negeri mengenal pasti seramai 902 warga negara ini ditahan di luar negara berkaitan kes dadah.

Menurut beliau, sebanyak 20 peratus daripada jumlah tersebut terdiri daripada golongan wanita dan rata-ratanya diklasifikasikan sebagai kes keldai dadah.

"Berbeza dengan tahanan lelaki yang biasanya maklum dengan kegiatan pengedaran dadah yang dilakukan, kebanyakan kes tahanan wanita di luar negara adalah mangsa yang diperangkap sindiket antarabangsa didalangi lelaki Afrika dan Iran," katanya.

pakar kunci menyamun

ARKIB : 29/06/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 2
Pakar kunci dari Colombia aktif pecah rumah

KUALA LUMPUR 28 Jun - Pelancong dari benua Amerika Latin kini dikesan aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Lembah Klang malah turut dipercayai melakukan jenayah serupa di Singapura dan Thailand.

Sindiket yang melibatkan ahli berasal dari Colombia itu akan masuk ke negara ini secara sah dan modus operandi mereka adalah menyasarkan rumah atau premis yang ditinggalkan pemilik untuk dipecah masuk.

Difahamkan, setiap ahli sindiket ini juga merupakan 'pakar kunci' yang mahir serta berkebolehan memasuki rumah atau premis tanpa sebarang kesan dan mengambil kesemua barangan berharga.

Terbaru, polis menahan seorang lelaki warga Colombia berusia 30 tahun yang dipercayai salah seorang ahli sindiket ini di sebuah kondominium mewah yang turut menempatkan pusat beli-belah di Solaris Dutamas di sini semalam.

Sebelum penahanan itu, suspek dilihat berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan sebelum dia melarikan diri setelah melihat kehadiran anggota polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Othman Abu Bakar berkata, lelaki itu telah membuang kedua-dua beg yang dibawanya dan melarikan diri namun berjaya ditangkap selepas terjatuh ke dalam longkang.

"Hasil pemeriksaan dalam satu beg itu, kita dapati ada alatan seperti pemutar skru, spanar, pemotong besi dan peralatan membuka kunci manakala beg yang lain diisi dengan barangan hasil curi.

"Tindakannya yang melarikan diri seolah-olah suspek bersalah melakukan jenayah dan selepas dia ditahan, seorang pengadu membuat laporan polis tentang kejadian pecah rumah di premisnya," katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari.

Mengulas lanjut, Othman tidak menafikan lelaki terbabit merupakan pakar kunci dan dia telah beberapa kali keluar masuk ke negara ini dipercayai untuk melakukan kegiatan itu.

"Kali terakhir dia masuk ke negara ini adalah pada 20 Jun lalu malah berdasarkan pemeriksaan dia juga keluar masuk ke negara Singapura dan Thailand," katanya yang memberitahu polis turut merampas beberapa keping mata wang negara jiran.

Jenayah pecah rumah membabitkan sindiket warga Amerika Latin ini pernah dilaporkan beberapa kali berlaku di sekitar Kajang, Selangor dan bulan lalu polis berjaya menangkap seorang warga Colombia selepas dia cuba mencuri di sebuah rumah di situ.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab sebelum ini berkata, sindiket ini mensasarkan rumah yang ditinggalkan penghuni ketika waktu kerja dan mereka ini pakar membuka kunci.

"Terdapat beberapa kes membabitkan warga Amerika Latin dan mereka ini akan menyewa kenderaan seterusnya berlegar-legar di kawasan perumahan bagi mencari rumah sasaran terutamanya apabila pemilik keluar bekerja," katanya yang percaya ramai lagi ahli sindiket ini masih bebas.