Tuesday, January 11, 2011

Perompak Makin Berani


Perompak cucuk perut isteri


KAMPUNG KETAPANG HILIR – “Saya hanya memikirkan keselamatan isteri dan anak sulung yang berada dalam kandungannya,” kata L Ananthan, 36, ketika menceritakan detik cemas rumahnya dipecah masuk dua perompak bersenjatakan pisau, awal pagi kelmarin.

Ananthan berkata, ketika kejadian, dia dan isteri, N Indradewi, 36, sedang nyenyak tidur di bilik utama kediaman mereka.

Menurutnya, dia terdengar isterinya menjerit mengatakan ada orang masuk ke dalam bilik mereka sebelum dua perompak meluru dan mengacukan pisau ke perut isteri serta lehernya.

“Saya tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa sebelum tangan, kaki dan mulut saya diikat dengan pita pelekat hitam. Saya juga dipukul bertubi-tubi di muka dan beberapa bahagian badan kerana cuba melawan.

“Apabila melihat isteri yang mengandung lapan bulan menangis ketakutan dan kesakitan akibat perutnya dicucuk-cucuk dengan pisau oleh salah seorang perompak, saya :meng�alah dan membiarkan mereka menyelongkar bilik untuk mencari barangan berharga,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Jalan Ketapang Tengah, di sini.


Perompak bertindak agresif

Ananthan berkata, kedua-dua perompak itu juga bertindak agresif apabila mengancam untuk membunuhnya jika isterinya tidak memberikan nombor pin kad bank yang dijumpai mereka.

“Isteri saya terpaksa memberikan nombor pin terbabit, namun memberitahu tidak menyimpan barang kemas di rumah. Bagaimanapun perompak berkenaan terus menggeledah dan menemui wang tunai RM500 dan beberapa barangan kemas yang tersimpan.

“Saya berjaya meleraikan ikatan pita pelekat di tangan namun belum sempat bertindak, saya dipukul dan dibawa ke bilik sebelah sebelum isteri saya turut diletakkan bersama saya di bilik sama,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama dia terdengar ada orang berbisik di luar rumah dan percaya kumpulan perompak terbabit melebihi dua orang yang menunggu di luar rumah bagi mengawal keadaan.

“Kira-kira selepas 10 minit menggeledah rumah, mereka keluar bersama barangan yang diambil dan melarikan diri dengan sebuah kereta sebelum sempat saya melepaskan diri.

“Saya cuba mengejar mereka, namun gagal. Saya kemudiannya menghubungi polis dan meminta bantuan rakan di bengkel kereta berdekatan,” katanya.


Isteri fobia

Ananthan berkata, selain wang tunai dan barangan kemas, perompak terbabit turut melarikan beberapa barangan antik yang disimpan sebagai perhiasan di rumahnya.

“Mereka memecah masuk melalui tingkap bilik belakang yang diumpil dan berada di dalam rumah kira-kira 45 minit sebelum melarikan diri.

“Saya tidak mahu melawan selepas perompak-perompak berkenaan bertindak agresif terutamanya mencucuk perut isteri dengan pisau selain bimbang dengan keselamatan diri,” katanya.

Kerana masih fobia dengan kejadian itu, isteri Ananthan kini masih berada di rumah ibunya di Kuantan.

Ananthan berkata, selepas ini dia akan memasang gril besi bagi mengelak kejadian seperti itu berulang lagi.

“Saya percaya polis akan dapat menangkap suspek berikutan saya mengecam suara dan bentuk fizikal mereka. Saya yakin perompak ini adalah penduduk tempatan,” katanya.

Dia yang melakukan kerja kontrak mengambil barangan lusuh berharap pihak berkuasa dapat mengesan perompak berkenaan dan menjatuhkan hukuman setimpal di atas perbuatan mereka.

“Saya dan isteri bersyukur kerana anak dalam kandungannya tidak terjejas, selain turut berharap kejadian seumpama ini tidak berulang lagi dan dapat menjalani hidup seperti biasa," katanya.


Kes masih disiasat

:Sementara: itu, Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Noor Asyikin Shamsuri berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, perompak berjaya melarikan sejumlah barang kemas, wang tunai dan beberapa barangan berharga milik mangsa dianggarkan berjumlah RM10,000.

Menurutnya, kedua-dua mangsa bagaimanapun terselamat dan tidak dicederakan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment