Friday, March 28, 2014

pemilik kolam tertipu


ARKIB : 24/03/2014

Pemilik kolam ikan dakwa jadi mangsa tipu


TENGKU Azman Tengku Jaafar menunjukkan laporan polis mengenai kes penipuan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini. - UTUSAN/HASHIM P. MAMAT
KUALA KANGSAR 23 Mac - Seorang pemilik kolam ikan di Kampung Kledang di sini, mendakwa ditipu seorang lelaki yang mengajaknya untuk menganjurkan satu pertandingan memancing secara bersama, tetapi sebenarnya tidak wujud.
Sebaliknya, suspek menghilangkan diri selepas mengutip semua bayaran yuran pertandingan daripada peserta.
Pemilik kolam tersebut, Tengku Azman Tengku Jaafar, 57, berkata, dia didatangi lelaki itu bulan lalu yang mengajaknya menganjurkan pertandingan memancing dengan hadiah wang tunai RM3,000 dan sebuah enjin bot kepada pemenang.
Katanya, dia yang percaya kerana lelaki itu menggunakan nama pemimpin tempatan, bersetuju setelah berbincang tentang pembahagian keuntungan antara mereka.
"Namun selepas mengutip yuran penyertaan daripada para peserta, lelaki itu menghilangkan diri dan sehingga kini tidak dapat dihubungi lagi.
"Hasil siasatan, lelaki itu tidak pernah mendapat kerjasama daripada pemimpin seperti didakwa," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di sini kelmarin.
Berikutan itu, Tengku Azman berkata, dia terpaksa membatalkan pertandingan memancing berkenaan yang dijadualkan pada 29 Mac ini kerana tidak mampu menyediakan hadiah tersebut.
"Saya berharap peserta yang telah membayar yuran pertandingan tidak menyalahkan saya ekoran pembatalan itu kerana saya juga menjadi mangsa penipuan.
"Mereka yang telah membayar yuran diminta datang jumpa saya supaya tindakan lanjut boleh dibuat," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140324/je_01/Pemilik-kolam-ikan-dakwa-jadi-mangsa-tipu#ixzz2xFOvAwmF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Monday, March 17, 2014

akibat percaya tilik nasib


Tilik nasib: Penoreh getah ditipu RM12,492


Azid Ismail (kiri) menunjukkan iklan yang dipercayai terlibat dengan penipuan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, Pahang, semalam. - UTUSAN/M.Rizal Nor
JERANTUT 12 Mac - Gara-gara ingin cepat kaya, seorang penoreh getah kerugian RM12,492 akibat terpedaya dengan iklan tilik nasib.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Azid Ismail berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki India berusia 50 tahun dari Damak di sini, ternampak iklan tilik nasib itu di sebuah kedai.
Beliau berkata, mangsa mengambil kertas iklan tersebut dan terus menghubungi seorang lelaki digelar Master Mi Chai yang dipercayai menetap di Pasir Mas, Kelantan.
“Mangsa kemudian diminta membayar RM50 bagi membolehkan lelaki yang dipercayai bomoh Siam itu melakukan upacara mengubah nasibnya.
“Suspek kemudian menyuruh mangsa membeli satu nombor ramalan manakala satu nombor lagi dibeli olehnya namun mangsa perlu membayar RM250,“ katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Menurut Azid, nombor yang dibeli oleh mangsa tidak tepat, tetapi nombor yang ada pada suspek didakwa meraih hadiah utama kira-kira RM7 juta dan mangsa dikehendaki membayar RM6,000 jika ingin mendapatkan wang tersebut.
Tambahnya, mangsa bersetuju dan menyerahkan wang tersebut melalui akaun bank namun suspek menghubungi mangsa agar menambah lagi RM6,192.
“Setelah semua wang diterima, suspek kemudian memberitahu mangsa bahawa dia perlu membayar RM18,000 sekiranya ingin mengubah nasib menjadi lebih baik.
“Mangsa yang berasa tertipu kerana suspek tidak menyerahkan wang yang dimenanginya mengambil keputusan untuk tidak membayar wang RM18,000 tersebut dan membuat laporan polis," katanya.
Ujar Azid lagi, pihaknya kini sedang menyiasat kes tersebut dan meminta orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan yang ditampal atau diletakkan di kedai-kedai kerana kebanyakannya bermotifkan penipuan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20140313/wp_04/Tilik-nasib-Penoreh-getah-ditipu-RM12492#ixzz2wAzPkM2P
© Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, March 13, 2014

curi wang


Lapan ditahan curi RM300,000 di BNM


PULAU PINANG 12 Mac - Polis menahan lapan petugas sebuah institusi kewangan yang disyaki mencuri wang berjumlah RM300,000 dari sebuah bilik pemprosesan mata wang di Bank Negara Malaysia (BNM) Pulau Pinang di Lebuh Light di sini semalam.
Institusi kewangan terbabit difahamkan dilantik sebagai ejen oleh BNM dan dipertanggungjawabkan untuk membuat pengiraan wang di bank tersebut.
Kesemua mereka yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita ditahan sebaik sahaja laporan dibuat kira-kira pukul 8 malam tadi.
Kesemua suspek yang berusia antara 20-an hingga 30-an itu dipercayai melakukan kegiatan terbabit sejak September 2013 hingga awal bulan ini.
Jurucakap polis berkata, hasil siasatan dalaman pihak BNM, suspek terbabit didakwa mengambil wang berjumlah RM300,000 dari bilik pemprosesan wang berkenaan dalam tempoh tersebut.
"Hasil siasatan dibuat, kesemua suspek ditangkap dan direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan Ismail Idris ketika dihubungi mengesahkan laporan dan kejadian tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140313/je_01/Lapan-ditahan-curi-RM300000-di-BNM#ixzz2vnnxAwT9
© Utusan Melayu (M) Bhd