Friday, January 21, 2011

Telefon Palsu

Awas sindiket jualan murah telefon bimbit

SUNGAI PETANI 20 Jan. - Taktik sebuah kedai telekomunikasi yang berjaya melariskan jualan telefon bimbit palsu dengan menawarkan 'harga runtuh' menerusi pameran bergerak terbongkar apabila diserbu semalam.

Serbuan kira-kira pukul 2 petang itu dilakukan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sungai Petani di sebuah pasar raya besar di Bakar Arang, di sini.

Dalam serbuan itu, lima lelaki berusia antara 20 hingga 26 tahun yang merupakan pekerja kedai dari Kuala Lumpur turut ditahan.

Ketua Penguat Kuasa PPDNKK Sungai Petani, Chin Ching Chung berkata, pihaknya merampas 111 unit telefon bimbit palsu pelbagai jenama seperti 'I-Phone', 'BlackBerry', 'Nokia' dan 'Sony Ericsson' bernilai kira-kira RM44,400.

"Serbuan dilakukan berdasarkan aduan orang ramai yang menjadi mangsa kepada anggota sindiket tersebut. Kumpulan ini sering menjalankan pameran bergerak dengan menawarkan telefon bimbit berjenama pada harga lebih rendah di pasaran," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Ching Chung, syarikat menjual telefon bimbit berkenaan dikesan aktif mengadakan promosi bergerak ke seluruh negara tanpa kebenaran sejak lebih tiga bulan lalu.

Katanya, pemilik kedai juga dikatakan mengumpan bakal pembeli telefon bimbit berkenaan dengan menawarkan harga rendah daripada pasaran sehingga 50 peratus.

"Modus operandi mereka ialah memberitahu pelanggan bahawa telefon bimbit itu tulen tetapi terpaksa dijual dengan harga rendah kerana hendak menghabiskan stok dan jualan gudang," katanya.

Beliau berkata, para pembeli yang terpedaya kemudian dikehendaki membayar sejumlah deposit sebelum datang mengambil telefon bimbit beberapa jam selepas itu.

"Pada mulanya mereka mempamerkan telefon tulen dengan aplikasi terkini. Bagaimanapun, apabila pelanggan datang mengambil, mereka akan memberikan telefon bimbit palsu,"' katanya.

Tambah Ching Chung, kebanyakan pembeli yang terpedaya terdiri daripada remaja dan orang dewasa.

Beliau memberitahu, kegiatan tersebut merupakan satu kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972. Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda RM25,000 dan penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, Chin Chung mengingatkan para pengguna supaya tidak terpedaya dengan tawaran jualan murah telefon bimbit terutamanya semasa pameran bergerak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kegiatan tersebut diminta melaporkan kepada PPDNKK Sungai Petani di talian 04-4205108 atau mengunjungi PPDNKK terdekat.

TAJUK-TAJUK BERIT

No comments:

Post a Comment