Wednesday, September 29, 2010

Penyamun Pura-Pura Nak Bersalin

Penyamun pura-pura sakit nak bersalin


2010/09/29

GERIK: Niat murni seorang doktor warga emas yang sanggup bangun tengah malam untuk membantu seorang wanita bersalin di kliniknya membawa kerugian mencecah RM150,000 apabila menjadi mangsa samun sekumpulan lima perompak termasuk dua wanita dalam kejadian di Jalan Tun Saban, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, Dr N Vankataslu, 69, sedang tidur di tingkat atas rumah kedai dua tingkat yang menempatkan kliniknya di tingkat bawah sebelum terjaga selepas mendapat panggilan kecemasan daripada seorang wanita yang mendakwa rakannya mahu bersalin.

Mangsa bergegas bangun lalu membuka pintu dan melihat seorang wanita dalam keadaan cemas berada di luar rumahnya, mendakwa rakannya yang sarat mengandung sudah mahu bersalin.


Tanpa berfikir panjang, mangsa yang juga Ketua MIC Bahagian Gerik, membuka pintu lalu turun ke tingkat bawah dan melihat seorang wanita ditemani tiga lelaki seperti dalam keadaan mengerang kesakitan.


Mangsa berpatah balik naik ke kediamannya untuk mengambil kunci pintu klinik dan pada masa sama, wanita yang meminta bantuannya berpura-pura mahu menumpang tandas rumahnya.


Timbalan Ketua Polis Gerik, Deputi Superitendan Wan Jamil Wan Chik, berkata tanpa disedari mangsa, wanita yang berpura-pura mahu bersalin serta tiga lelaki menemaninya, turut menyerbu masuk ke dalam rumahnya lalu mengikat tangan dan kaki mangsa serta menutup mulutnya dengan kain.


“Kelima-lima perompak menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan seutas rantai, tiga cincin emas dan wang simpanan RM50,000.


“Semua suspek dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kereta dan kerugian dialami mangsa dianggarkan RM150,000.


“Mangsa mengambil masa kira-kira 45 minit untuk membuka kain di mulutnya sebelum meminta pertolongan jiran yang membantu membuka ikatan pada kaki dan tangannya. Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik kira-kira jam 2.15 pagi,” katanya.


Menurutnya, polis sudah melancarkan gerakan memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Padah Jaga Buat Kerja Kerani

Peluru singgah di tengkuk jaga
Oleh Shamsul Munir Safini

2010/09/29

KUALA LUMPUR: Hanya seminit diperlukan dua lelaki untuk melarikan wang tunai berjumlah RM50,000 selepas menembak tengkuk seorang pengawal keselamatan dalam rompakan nekad di sebuah bank di Taman Sungai Besi Indah, dekat sini, semalam.

Pengawal keselamatan berkenaan, Mohd Yusoff Abdul Mutalib, 49, dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Serdang.

Ketika kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, mangsa sedang membantu seorang pelanggan mengeluarkan wang dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bank berkenaan.


Rakan setugas mangsa, Mickale Dhahaklas, 49, berkata ketika kejadian bank sesak dengan pelanggan dan mangsa pula sedang membantu beberapa pelanggan untuk mengeluarkan wang.


Katanya, dia ada terdengar bunyi satu das tembakan dilepaskan sebelum melihat mangsa terbaring berlumuran darah.


“Ketika kejadian saya berada dekat kaunter,” katanya ketika ditemui.


Beliau berkata, selepas terdengar bunyi tembakan itu, dia bergegas ke arah mangsa sebelum seorang lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh menuju ke arahnya sambil mengacukan sepucuk pistol.


“Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana pada masa sama senjata api milik mangsa dirampas lelaki terbabit,” katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, kedua-dua suspek terbabit yang memakai topi keledar berpenutup penuh dan topi besbal tiba-tiba meluru ke dalam bank itu sambil seorang daripadanya terus bertindak menembak seorang pengawal keselamatan bank berkenaan yang ketika itu sedang membantu beberapa pelanggan mengeluarkan wang di sebuah mesin ATM.


Katanya, tembakan yang mengenai tengkuk mangsa menyebabkan mangsa rebah sebelum senjata api disandangnya dirampas suspek.


Beliau berkata, suspek yang menggunakan sepucuk pistol automatik itu kemudian menyerahkan pistol berkenaan kepada rakannya sebelum meluru ke arah kaunter bank berhampiran.


“Suspek kemudian melompat masuk ke dalam kaunter bank sebelum merampas wang RM50,000. Pada masa sama, seorang lagi suspek mengawal keadaan sekitar sambil memegang senjata api milik mangsa,” katanya.


Menurutnya, lebih kurang seminit selepas itu, mereka meninggalkan bank berkenaan menggunakan motosikal sambil membawa senjata api milik mangsa.


Katanya, suspek kemudian mencampakkan senjata api berkenaan di depan sebuah rumah kira-kira 200 meter di belakang bank itu.


“Siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek adalah warga tempatan berdasarkan pengakuan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam bank berkenaan,” katanya.


Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan dan difahamkan keadaannya kritikal.


Menurut polis, kes berkenaan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

Jangan Buka Pintu

Malang nenek buka pintu


2010/09/29

KUANTAN: Tindakan seorang wanita warga emas membuka pintu selepas melihat kelibat ‘lembaga’ mengetuk cermin tingkap dapur rumahnya membawa padah apabila diragut dalam kejadian di Kampung Masjid, Beserah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, wanita berusia 67 tahun yang tinggal berseorangan terdengar bunyi cermin tingkap dapur diketuk.

Sebaik mangsa membuka pintu, tiga penyamun mengacukan parang ke lehernya sambil masuk dalam rumah.


Pegawai Turus Urus setia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, seorang daripada lelaki terbabit kemudian meragut rantai leher mangsa.


Bagaimanapun, katanya, cubaan suspek menggeledah rumah mangsa gagal apabila kehadiran mereka disedari jiran wanita berkenaan.

Tuesday, September 28, 2010

Perogol Bertopeng

Bapa kesal suspek kes rogol gagal ditangkap

GERIK 27 Sept. - Seorang bapa kesal kerana polis sehingga kini masih gagal menangkap suspek yang merogol anak perempuannya berusia 17 tahun sehingga melahirkan anak luar nikah, tiga bulan lalu.

Menurut Rosli Abd. Kadir, 47, dia telah membuat laporan di Balai Polis Gerik, lapan hari selepas dimaklumkan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, bahawa anaknya telah melahirkan anak, 29 Mei lalu.

Katanya, bagaimanapun kes itu sehingga kini tiada perkembangan.

"Ketika kejadian, anaknya itu yang masih bersekolah serta tiga anaknya dijaga oleh bekas isteri dan suami barunya di Felda Lawin Selatan.

"Saya telah bertanya kepada anak dan isteri saya siapa melakukan perbuatan itu tetapi mereka seolah-olah hendak menyembunyikan sesuatu.

"Saya mahu pihak polis menyiasat kes itu secara menyeluruh dan mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti bapa bayi itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Mahad Nor Abdullah ketika ditemui memberitahu, polis sukar menjalankan siasatan kerana mangsa tidak mahu menceritakan kejadian sebenar.

"Namun, setelah didesak beberapa kali, mangsa akhirnya memberitahu dia dirogol di dalam ladang getah Felda Lawin Selatan ketika menolong bapa tirinya mengutip getah beku.

"Mengikut keterangan mangsa, dia dirogol oleh seorang lelaki memakai topeng muka semasa ditinggalkan berseorangan oleh bapa tirinya yang pergi ke kedai untuk menjual getah beku," katanya.

Beliau berkata, polis juga telah menyoal siasat pekerja-pekerja ladang getah terbabit tetapi gagal menemui sebarang bukti.

Monday, September 27, 2010

DiRogol Dalam Kereta Sendiri

Diperkosa perompak dalam kereta


2010/09/27

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan bukan saja dirompak malah, turut dirogol seorang lelaki yang tiba-tiba masuk ke dalam keretanya yang berhenti di satu persimpangan lampu isyarat di Taman Putra, di sini, malam Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, mangsa yang berusia 20-an memandu kereta bersendirian sebelum berhenti berhampiran di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Namun, tanpa diduga seorang lelaki tidak dikenali meluru masuk melalui pintu belakang keretanya sebelum memukul dan mengugut mangsa supaya mendiamkan diri. Menurut sumber, lelaki terbabit menunjukkan sebilah pisau untuk menakutkan mangsa sebelum memaksanya duduk di bahagian penumpang.


“Lelaki terbabit meminta mangsa mendiamkan diri sebelum dia membawanya berpusing sekitar Ampang.


“Mangsa diperlakukan kejam sebelum lelaki terbabit merogolnya dalam kenderaan itu,” katanya.


Difahamkan, selepas merogol, penjenayah terbabit menghantar kembali mangsa ke lokasi dia ditemui sebelum melarikan diri.


“Mangsa yang lemah itu datang ke balai polis membuat laporan kejadian terbabit,” katanya.

Friday, September 24, 2010

Tiru Aksi Di TV

Aksi kejam punca perlakuan ganas


2010/09/23

PEMAPARAN cerita berunsur ganas dan kejam di televisyen atau di layar perak mempengaruhi sikap serta kasih sayang penonton.

Bukan setakat filem malah permainan video yang dimainkan kanak-kanak sejak kecil turut menjadi penyumbang utama pelbagai kejadian jenayah kini. Walaupun paparan hanya dalam bentuk animasi, tingkah laku ditunjukkan dalam permainan video itu seakan watak sebenar di luar.

Demikian menurut Pensyarah Psikologi, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan, Fakulti Sains Kemanusiaan & Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Fatimah Yusof.

Tambah lagi sekiranya seorang kanak-kanak bermain sejak kecil sehingga dia meningkat remaja, bayangkan sebanyak mana tingkah laku ganas yang berjaya dipelajarinya. Sedikit demi sedikit perlakuan ini akan terserap dalam diri mereka tanpa disedari ibu bapa.

Malah nilai positif seperti kasih sayang, lemah lembut serta sopan santun akan terhakis dan digantikan dengan sifat suka memberontak, bergaduh, memukul, panas baran, tidak sabar dan pelbagai nilai negatif lain.

Cerita berunsur ganas bukan hanya terkandung dalam filem Inggeris tetapi menurut Dr Fatimah, ia semakin banyak dipaparkan dalam drama dan filem Melayu, Cina dan Tamil yang ditayangkan di Malaysia.

“Diakui semua tayangan ini mempunyai nilai positif pada pengakhiran cerita. Namun penonton terpaksa menonton aksi ganas, kejam atau lucah pada pertengahan cerita terlebih dulu sebelum memperoleh nilai murni itu. Namun, sebanyak mana penonton mendapat nilai positif atau sebaliknya, ia sukar dipastikan,” ujarnya.

Daripada pemerhatiannya, apa yang dipaparkan di televisyen, itulah yang berlaku di luar. Contohnya, jika dulu tiada kes rogol dan bunuh melampau tetapi kini kejadian sedemikian semakin berleluasa. Begitu juga dengan kejadian culik, bunuh dan bakar yang disiarkan di dalam filem juga mula ditiru penjenayah.
Wanita juga sering dipaparkan sebagai golongan lemah oleh semua etnik. Sering kali di televisyen wanita menjadi mangsa yang dirogol, dibunuh, didera, ditindas dan diperlakukan dengan kejam. Paparan yang kerap ini menyebabkan perbuatan ini melekat di minda penonton seterusnya menjadi aksi yang akan ditiru mereka.

Tambahnya, faktor yang perlu diambil kira ialah didikan keluarga yang turut menjadi penyumbang kepada tingkah laku ganas anak-anak. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang tidak seimbang contohnya bapa yang memiliki sifat panas baran atau kaki pukul turut mempengaruhi tingkah laku anak supaya cenderung melakukan perbuatan sama apabila mereka meningkat dewasa.

Ini kerana, setiap hari mereka melihat bapa memukul ibu atau bergaduh sehingga cedera. Tingkah laku yang tidak sepatutnya ini akan melekat dalam fikiran mereka dan lama-kelamaan mereka sendiri melakukannya.

“Cuba selidik latar belakang seorang perogol, kaki pukul atau pembunuh dan lihat bagaimana keluarga mereka. Mungkin ada segelintir saja yang tidak dipengaruhi ibu bapa dan latar belakang keluarga selebihnya berkait rapat,” katanya.
Persekitaran yang tidak selamat juga menjadi punca berlakunya masalah ini. Pergaduhan sesama jiran, juga dikelilingi masyarakat yang porak-peranda menyebabkan gejala ini semakin berleluasa.

Menurutnya, untuk menyekat jenayah kejam daripada berlaku amat sukar namun dengan kesedaran dimiliki wanita, tidak kira kanak-kanak, remaja, isteri dan ibu, mampu membendungnya daripada berleluasa.

“Wanita harus sedar hak mereka dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak dijangka. Misalnya, isteri harus mengetahui hak mereka sebagai isteri, hak sebagai pekerja di pejabat serta persediaan yang boleh dilakukan ketika di luar untuk mengelak daripada diugut, diculik atau dirogol.

“Wanita harus sedar lelaki sering menganggap wanita sebagai insan yang lemah dan ditindas justeru dengan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta langkah keselamatan, ia mampu mengelak wanita daripada terbabit dalam kemalangan dan jenayah,” ujarnya yang pernah menjalankan Kajian Mengenai Penderaan Isteri pada 2009.

Hasil kajian itu mendapati ramai isteri tidak mengetahui hak mereka dan terus membiarkan diri didera kerana tidak mahu hilang punca pendapatan serta kehilangan suami. Ini menjadi faktor utama kes penderaan wanita semakin meningkat setiap tahun.

Selain itu, sistem pendidikan yang mementingkan pencapaian akademik dengan menonjolkan anak-anak yang hebat dalam pelajaran menyebabkan pelajar yang lemah merasa terpinggir.

Ini menyebabkan mereka menjadi semakin malas, terus mundur dan bertindak nakal disebabkan tiada perhatian guru dan ibu bapa.

“Apabila golongan ini dibiarkan, kemungkinan mereka akan terus melakukan perkara tidak elok. Mereka yang gagal tidak harus dibiarkan gagal sebaliknya harus diberikan galakan untuk membina sahsiah cemerlang daripada segi sosial dan peribadi,” katanya.

Hanya pendidikan agama saja dapat meningkatkan jati diri sekali gus mengelak daripada melakukan perbuatan jenayah. Ini kerana agama akan dapat mengekang perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku.

Bagi anak-anak yang taksub kepada permainan video, pemantauan daripada ibu bapa sangat penting supaya mereka memilih permainan yang tidak mempunyai unsur ganas dan kejam keterlaluan.

Paling penting, kaum lelaki harus sedar peranan mereka sebagai pemimpin dan ketua keluarga. Mereka tidak berhak menganiaya wanita, memukul atau merogol sebaliknya harus mewujudkan kasih sayang kepada ibu, isteri, adik, kakak serta anak perempuan mereka.

Apabila adanya kasih sayang ini, sekiranya mereka ingin melakukan sesuatu ke atas wanita seperti merogol atau membunuh, mereka akan terfikir perasaan mereka sekiranya mangsa itu adalah kaum keluarga sendiri.

“Sikap kasih sayang serta rasa bertanggungjawab ini harus diterapkan ketika anak-anak masih kecil. Ajar mereka untuk menghormati wanita tanpa mengira agama dan bangsa.

“Ini sangat penting supaya apabila mereka meningkat remaja, kebarangkalian untuk melakukan kekasaran atau jenayah ke atas wanita boleh dielakkan,” katanya.

Pembunuhan kejam membabitkan wanita dan kanak-kanak:

4 Januari 2010
Pengurus katering dituduh di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan membunuh isterinya, Fazlina Ahmad, yang ditemui dalam almari pakaian di rumah dua tingkat di Taman Pinggiran Ukay, 30 Disember tahun lalu.

Fazlina Ahmad, 39, ditemui terperosok dalam almari pa kaian di rumahnya dengan mulut dan hidung ibu dua anak itu ditampal pita pelekat lalu disembunyikan dalam almari.

3 Februari 2010
Wanita berusia 50 tahun, Sulastari, ditemui mati di Kam pung Selayang Indah, Selangor selepas dijerut sekuat hati oleh perompak menggunakan langsir rumahnya.

Kematian mangsa hanya disedari selepas mayatnya ditemui suaminya yang baru pulang daripada bekerja di Pasar Borong Selayang. Ketika ditemui, mayat mangsa tertiarap dengan kedua-dua kaki dan tangan diikat di rumah sewa mereka di kampung itu.

22 Mac 2010
Penjaga stor ke tali gantung selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati dia membunuh teman wanitanya meng gunakan tudung wanita itu gara-gara tertekan apabila mangsa, Nurul Hazira Bharum, 26, mahu berkahwin dengan lelaki lain.

Tertuduh, Shahrul Nizam Mohd Shah, 38, mendakwa dia dan Nurul Hazira bercadang membunuh diri dan mendakwa mangsa memaksanya untuk minum racun. Laporan bedah siasat bagaimanapun mengesahkan punca kematian Nurul Hazira adalah kerana lemas akibat dicekik dan tiada kesan racun ditemui di dalam tubuh mangsa.

1 Mei 2010
Lelaki berusia 30-an diberkas polis selepas kenderaan dipandunya terbabas ketika dia cuba melarikan diri dalam kejadian di Nilai Spring, Negeri Sembilan, hingga terbong karnya penemuan mayat teman wanita lelaki itu.

Lelaki itu dipercayai menjerut wanita warga Indonesia berkenaan selepas bergaduh dengan mangsa di Bangi, Se langor dan mengaku membunuh wanita itu sebelum me mandu ke Nilai untuk membuang mayat wanita terbabit.

29 Julai 2010
Bekas peninju remaja Negeri Sembilan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh wanita hamil lapan bulan dan suaminya di Taman Desa Anggerik, Senawang, tiga tahun lalu.

Mohamad Azli Azhari, 23, didakwa menyebabkan kematian Aniza Ayob, 24 dan suaminya, Syed Herie Azmi Syed Kassim, 25, dengan menggunakan pisau untuk menikam hingga menyebabkan kecederaan pada organ si mati pada 16 Jun 2007.

3 September 2010
Ustazah dan anak lelakinya berusia 10 tahun ditemui mati dengan kedua-dua tangan serta kaki diikat manakala muka mereka dibalut dengan kain sarung.
Norliza Ishak, 35, dan anaknya, Amirul Ayman Mohd Yusoff dipercayai dibunuh pada 2 September, namun hanya ditemui sehari selepas itu di kediaman mereka di Apartmen Seri Bandar, Taman Bandar, Port Dickson. Suaminya ketika itu berada di Mesir atas urusan perniagaan.

Suspek turut bertindak kejam dengan membuka air pan curan mandi sebelum menghempap mangsa menyebabkan mereka sukar bernafas dan meninggal dunia.

8 September 2010
Terdapat 34 kecederaan luaran termasuk pada bahagian kemaluan mayat Aaliyah Ayman Hussin Abdullah, 3, yang mati dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya, seorang warga Sudan. Mohannad Taha Ismail, 25, dituduh membunuh Aaliyah di Kondominum Venice Hill di Cheras pada 12 Oktober 2009.

Pakar forensik mendapati kematian mangsa disebabkan perdarahan teruk di bahagian selaput keras otak akibat goncangan yang kuat. Ia merujuk kepada tindakan meng goncang dengan tekanan luar biasa akibat kemungkinan terlampau geram.

22 September 2010
Pemandu teksi, Mohd. Fazli Azri Jamil dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh kanak-kanak perem puan berumur tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari pada 25 Februari lalu.

Tertuduh, seorang pemandu teksi yang juga teman lelaki kepada ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, 25, didakwa membunuh kanak-kanak itu dengan cara menendang dan memijak perut mangsa.

Fokus Jenayah

Fokus: Punca si bijak jadi pembunuh
Oleh Nor Faizah Mohamed dan Siti Zarinah Sahib

2010/09/23

JENAYAH kejam nyata tidak mengenal mangsa.

Daripada bayi yang terdampar di dalam longkang sehinggalah kepada tindakan menyembelih dan membakar mangsa.

Dalam kebanyakan kes, wanita dan kanak-kanak antara korban utama keganasan sama ada menjadi mangsa deraan atau rogol, juga pembunuhan meskipun tidak dinafikan ada pelaku jenayah terdiri daripada wanita sendiri.


Ikuti temubual wartawan Nor Faizah Mohamed (faizah@ hmetro.com.my) dan Siti Zarinah Sahib (sitizarinah@ hmetro.com.my) yang menyelami masalah keganasan dan pembunuhan yang rancak diperkatakan kini.


MASALAH kecelaruan mental dikenal pasti menjadi antara faktor penyumbang kepada gejala keganasan serta pembunuhan kejam ke atas wanita dan kanak-kanak yang banyak berlaku sejak akhir-akhir ini.


Menurut Penasihat Psikiatri Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman, wujud tiga hingga empat sub-faktor yang menyokong kepada masalah kecelaruan mental itu antaranya penyakit psikotik, berada di bawah pengaruh dadah, kecelaruan personaliti dan gagal mengawal tekanan.


“Tiga atau empat faktor psikologi ini boleh dikaitkan dengan kecenderungan kekejaman ke atas manusia lain, dalam hal ini wanita dan kanak-kanak.


“Penyakit psikotik dan berada di bawah pengaruh dadah menjadi salah satu faktor penyumbang utama kepada tindakan tidak rasional pelaku yang boleh dikesan daripada tingkah laku seharian.


“Seseorang yang mengalami kecelaruan mental dan emosi ini biasanya merasakan dirinya mengalami pengalaman luar biasa, delusi dan halusinasi.


“Delusi berlaku apabila seseorang mudah merasa syak wasangka tidak berlandaskan kebenaran hingga akhirnya mencederakan orang lain yang berada di sekelilingnya sementara halusinasi adalah apabila seseorang mengatakan dia mendengar suara ghaib yang menyuruhnya melakukan perbuatan itu,” katanya.


Tambahnya, apa yang berlaku dalam kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya oleh seorang peguam dan beberapa pekerjanya, baru-baru ini adalah contoh kecelaruan personaliti yang lebih dikenali sebagai psikopatik atau sosiopatik.


Dr Daniel menjadikan pembunuh bersiri era 70-an dari Amerika Syarikat (AS), Ted Bundy yang pernah menuntut di Universiti Puget Sound dan Universiti Washington sebagai contoh tepat kes psikopatik atau sosiopatik, selain watak Dr Hannibal Lecter dalam novel dan filem The Silence of the Lambs.


“Ada sesetengah penjenayah mengganas secara terangterangan, namun golongan psikopatik atau sosiopatik ini biasanya lebih banyak memanipulasi orang di sekelilingnya untuk melakukan jenayah itu bagi pihaknya, di samping cekap dalam penipuan.


“Wujud kes di mana golongan psikopatik atau sosiopatik ini mempunyai darjah kecerdasan (IQ) tinggi, berpenampilan menarik, berkarisma serta pandai berkata-kata bagi membolehkannya menggunakan orang lain untuk kepentingan sendiri terutama daripada segi kuasa dan kewangan.


“Dalam sesetengah kes, suspek utama sebelum ini menggambarkan dirinya seorang yang pemurah, suka membantu dan disenangi masyarakat di kawasannya serta menjalani kehidupan berprofil rendah.

“Namun, sebaliknya suspek itu yang dilaporkan mendalangi dan merancang jenayah kejam itu menerusi manipulasi ke atas orang lain lalu menggunakan mereka sebagai alat bagi membantunya melicinkan kegiatan itu.


“Golongan yang mengalami kecelaruan emosi ini tidak lagi mempunyai rasa simpati dan empati pada manusia lain malah tiada rasa kesal pada diri mereka.


“Bagi golongan ini, mereka mengambil apa yang dikatakan haknya, cuma sama ada menerusi terang-terangan atau kebanyakan secara manipulasi,” ujarnya.


Apabila diteliti semua latar belakang golongan yang mengalami kecelaruan mental dan emosi ini, rata-rata hadir daripada keluarga bermasalah namun ada juga daripada keluarga baik-baik dan ternama.


Justeru, apa punca sebenarnya yang menyebabkan penjenayah ini terdorong melakukan sesuatu yang di luar batas pemikiran manusia normal? “Dalam hal ini, wujud dua unsur utama yang mendorong mereka melakukannya iaitu faktor genetik dan alam sekeliling.


“Berdasarkan banyak kajian psikologi di AS yang masih dijalankan sehingga kini, otak mereka didapati berbeza daripada yang normal hingga menyebabkan mereka gagal menangani kawalan emosi terlampau.


“Dalam otak dan urat saraf kita terdapat bahan kimia yang mengawal mental, emosi dan riak pergerakan jadi golongan bermasalah itu didapati mengalami jumlah bahan kimia yang tidak seimbang.


“Walaupun mereka datang daripada keluarga yang baikbaik, sedikit sebanyak pasti ada kesan genetik tertentu pada golongan itu yang menjurus kepada kerosakan struktur fizikal urat saraf mereka.


“Keadaan akan tambah buruk apabila digabungkan dengan alam sekeliling, misalnya mereka terbiasa melihat keganasan di rumah yang dilakukan bapa ke atas ibu atau adik beradik perempuan, lalu kesannya membawa hingga dewasa.


“Bagi mereka, keganasan ke atas wanita itu adalah perkara biasa dan mendorong mereka turut melakukannya kerana ia sesuatu yang dialami sejak kecil,” katanya.


Jelas Dr Daniel, institusi kekeluargaan yang utuh memainkan peranan penting bagi mengelakkan lebih banyak kes seperti ini berlaku. Dengan banyaknya kes keluarga yang berpecah, ia menyumbang kepada keruntuhan masyarakat secara keseluruhan seperti fenomena yang berlaku di negara maju ketika ini.


“Apabila masyarakat mula maju, nilai diri makin kurang hingga keluarga tergadai kerana terlalu mencari kekayaan dunia. Jadi apabila sesebuah keluarga berpecah, ia menyebabkan komuniti masyarakat itu turut roboh lalu menyumbangkan kepada peningkatan pelbagai masalah sosial dan jenayah.


“Di AS, diramalkan peratusan masyarakatnya yang mengalami masalah mental dan bunuh diri akan meningkat secara mendadak untuk tempoh lima tahun lagi berdasarkan peningkatan kes keruntuhan institusi kekeluargaan di negara itu.


“Tiada penyelesaian mudah kepada masalah mental ini tapi sedikit sebanyak ia boleh dielakkan menerusi unit kecil iaitu keluarga yang utuh, harmoni dan mementingkan agama.


“Agama Islam sendiri menekankan aspek kesederhanaan dalam apa juga yang dilakukan, tidak kira kewangan, gaya hidup dan aspirasi diri.


Tawakal dan reda dengan apa yang ada juga perlu disemai dalam diri serta keluarga supaya apabila berlaku perkara yang tidak diingini, kita tidak merasa terlalu kecewa hingga mengakibatkan gejala buruk berlaku,” katanya.

Tip Menghadapi Jenayah

Senjata lawan penjenayah


2010/09/23

SESIAPA juga berupaya melakukan jenayah tanpa mengira umur, agama, bangsa dan taraf pendidikan sama ada jenayah dilakukan itu besar atau kecil.

Namun, lebih ramai memilih untuk tidak meneruskan niat kerana proses pemikiran mereka melalui beberapa tapisan seperti dimensi moral, perspektif agama dan kesedaran sivik.

Malah individu yang melakukannya memilih melakukan jenayah tertentu dengan kaedah tersendiri mengikut acuan serta tahap kepuasan yang mahu dikecapi mereka, demikian menurut penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim mengenai perilaku penjenayah dewasa ini. Bagaimanapun katanya, pemilihan senjata yang digunakan penjenayah ketika melakukan kekerasan terhadap mangsa bergantung kepada perancangan perlakuan jenayah itu. Jika sesuatu jenayah itu sudah dirancang, persiapan dan persediaan yang cukup akan dilakukan oleh penjenayah bagi mencapai maksud jenayahnya. Ada berpendapat individu harus membawa sesuatu sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Namun menurutnya, senjata yang boleh melindungi mangsa bergantung kepada kecekapan tindakan seseorang. Dalam hal ini, apa saja boleh dijadikan senjata termasuk diri sendiri.


Tetapi senjata yang paling baik adalah kebolehan mengelak risiko jenayah daripada berlaku. "Pemilihan senjata bergantung kepada beberapa keadaan. Misalnya senjata yang memang kebetulan berada dalam capaian penjenayah seperti seterika, air panas, besi dan kayu. Ini termasuk juga pakaian, tali beg tangan atau apa saja yang boleh membantu semasa perlakuan itu dibuat. "Dalam kes keganasan rumah tangga atau penderaan misalnya, letusan kemarahan yang berlaku secara tiba-tiba itu menyebabkan penjenayah menggunakan objek domestik sebagai senjata. "Dalam kes rogol pula, penjenayah datang dengan persediaan yang cukup. Begitu juga dalam kes pembunuhan terancang, penjenayah menggunakan peralatan yang sememangnya dirancang untuk membunuh mangsa," jelasnya. Dalam hal ini menurut Kamal, wanita, kanak-kanak, orang tua serta mereka yang kurang upaya lebih mudah menjadi sasaran kerana terdapat sedikit saja rintangan daripada mangsa yang menyebabkan penjenayah boleh melakukan apa saja ke atas mangsa. "Seorang wanita dan lelaki misalnya, walaupun mempunyai ketinggian, ukuran dan berat badan yang sama, namun kekuatannya tidak sama. Ini dipanggil disparity of force. "Justeru, golongan ini yang dikatakan lemah dipilih berdasarkan keupayaan mereka untuk melawan penjenayah sangat tipis," katanya. Dia turut menasihati orang ramai terutama kumpulan sasaran ini supaya mengetahui dan mengurus risiko diri sama ada ketika bersendirian ataupun berkumpulan. Selain itu, masyarakat hendaklah mengambil bahagian dalam menghadiri bengkel pencegahan jenayah dan bukan hanya hadir semasa pelancarannya saja. Ini sangat penting kerana pencegahan jenayah memerlukan kerjasama semua pihak terutama ahli masyarakat supaya peka dengan apa yang berlaku di sekitar kawasan rumah mereka. Kanak-kanak, remaja atau mereka yang masih di bawah tanggungan keluarga harus memberitahu ibu bapa atau penjaga mengenai destinasi, anggaran masa dan paling penting, siapa yang hendak ditemui. Sekiranya dalam bahaya cari tempat ramai orang ataupun lokasi selamat seperti rumah ibadat, hospital dan balai polis.


"Maklumat ini sangat penting supaya keluarga boleh mengetahui destinasi terakhir anak mereka berada sekiranya dalam kecemasan. Tidak kira kanak-kanak mahu pun dewasa harus mengamalkan prinsip pengurusan risiko, mengelak risiko, memecahkan risiko, mengalih risiko, mengubati risiko dan menganggar risiko yang boleh diperoleh menerusi pengalaman, kempen kesedaran dan ilmu yang diperoleh menerusi pembacaan," katanya. Secara umumnya, semua kawasan adalah selamat. Perbezaannya hanyalah pada peluang untuk melakukan jenayah. Sekiranya terdapat kehadiran tiga komponen iaitu penjenayah, mangsa dan peluang bertembung dalam satu ruang waktu, jenayah boleh berlaku.


"Justeru semuanya berbalik kepada kesedaran bagaimana meningkatkan keselamatan diri. Jenayah tidak kira kecil atau besar adalah kejam. Oleh itu peningkatan kadar jenayah juga kerana kesediaan orang ramai untuk melapor kejadian," katanya.

Tip Jika Dirogol

Langkah awal jika dirogol


2010/09/23

ADA beberapa panduan jika wanita berada dalam bahaya dan dirogol seperti dinyatakan dalam laman sesawang Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), http://www.wao.org.

Apa yang boleh dilakukan wanita sekiranya dirogol:
> Jangan membersihkan diri. Walaupun gerak hati mahu membersihkan diri, elak berbuat demikian. Pergi ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan. Mungkin terdapat kesan air mani, cecair badan, lumpur, debu dan helaian rambut yang boleh dijadikan bukti penting.

> Pergi ke bilik kecemasan di hospital kerajaan. Doktor akan menjalankan pemeriksaan ke atas anda dan kawasan kemaluan termasuk pakaian. Anda diminta mengisi borang kebenaran untuk pemeriksaan yang akan dijalankan dan maklumat pemeriksaan itu akan digunakan dalam penyiasatan polis.

> Anda boleh meminta untuk diperiksa oleh doktor sakit puan wanita jika kurang selesa untuk diperiksa doktor lelaki. Staf hospital harus memberitahu pihak polis mengenai kejadian yang menimpa anda.
Seorang pegawai polis wanita akan mengambil maklumat laporan anda di hospital. Jika anda ke balai polis terlebih dulu, seorang pegawai polis wanita akan mengambil laporan anda dan menemankan anda ke hospital. Selepas laporan yang pertama, satu kenyataan bertulis lebih terperinci akan diambil. Anda mungkin akan diminta untuk menghadiri sesi mengenal pasti penjenayah.

> Menghubungi pertubuhan wanita. Anda mungkin memerlukan kaunseling dan sokongan.

Tindakan sekiranya dalam bahaya:
> Buat pelan tindakan mengenai apa yang anda akan lakukan dan ke mana anda akan pergi jika dalam bahaya. Beritahu anak-anak mengenai rancangan anda jika mereka cukup matang untuk memahaminya.

> Bawa bersama anak-anak jika anda boleh berbuat demikian. Jika anda terpaksa meninggalkan mereka buat sementara waktu, pastikan mereka boleh bersama anda secepat mungkin. Dapatkan nasihat peguam mengenai hak penjagaan segera.


> Apa juga jenis kenderaan yang anda gunakan, pastikan mempunyai petrol mencukupi.

> Simpan satu set kunci dan nombor kecemasan di tempat selamat.

> Selalu pastikan anda ada menyimpan wang untuk membantu anda melarikan diri.

> Bawa bersama kad pengenalan, surat penting dan ubat-ubatan yang perlu untuk anda dan anak-anak anda.

> Simpan senarai nombor penting yang anda boleh hubungi dan duit di tempat tersembunyi.

> Gunakan perkataan berkod yang anda boleh gunakan di telefon dengan seseorang yang anda boleh percayai apabila anda dalam bahaya.

Thursday, September 23, 2010

Kaya Ambik Upah Menjahit

Disamun, dibogel pemandu teksi

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 22 Sept. - Rezeki yang dicari tetapi malang menimpa. Itulah nasib dua wanita warga Kemboja yang sanggup merantau jauh ke Malaysia semata-mata mengumpul wang untuk mengubah nasib keluarganya.

Setelah dua tahun bekerja sebagai tukang jahit di Johor, dua sahabat baik itu bersiap sedia pulang ke kampung halaman untuk membawa wang hasil pendapatan yang dikumpul.

Namun, hasrat mereka menikmati wang hasil titik peluh itu bersama keluarga di negara asal mereka tidak kesampaian apabila disamun dua pemandu teksi malam tadi.

Lebih malang, mereka bukan setakat disamun malah turut dibogel dan ditinggalkan dalam kegelapan di ladang kelapa sawit pada pukul 11 malam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, kedua-dua wanita terbabit telah menaiki bas dari Johor ke hentian bas sementara di Bukit Jalil di sini untuk pulang ke Kemboja memandangkan pasport mereka akan tamat tempoh esok.

Beliau berkata, dari Bukit Jalil, mangsa mengambil keputusan menyewa sebuah teksi pergi ke hentian bas Bukit Tinggi di Klang dan merancang menaiki bas ke Kelantan sebelum meneruskan perjalanan ke Kemboja melalui sempadan negeri itu.

"Teksi dinaiki bagaimanapun tidak menghantar mereka sampai ke hentian bas Bukit Tinggi sebaliknya membawa mereka ke ladang kelapa sawit Felda Gedangsa di Hulu Selangor.

"Di ladang tersebut, pemandu teksi dan pembantunya telah menyamun kedua-dua mangsa sebelum membogel dan meninggalkan mereka di situ," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa berusia 30-an bernasib baik apabila ditemui oleh orang awam yang kemudian membawa mereka ke balai polis untuk membuat laporan.

Menurut Norel Azmi, dalam laporan mereka, mangsa memaklumkan suspek melarikan pasport, barang kemas serta wang tunai berjumlah RM900 dan 6,000 dolar Amerika Syarikat (AS) bernilai RM18,564.

"Mangsa membawa wang yang banyak hasil pendapatan yang dikumpul selama dua tahun bekerja sebagai tukang jahit di Johor," katanya.

Hasil laporan mangsa, kata Norel Azmi, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor dan JSJ dari IPD Cheras berjaya menahan seorang suspek di Pantai Dalam di sini pada pukul 3 pagi ini.

Beliau berkata, suspek berusia 30-an berjaya ditangkap dalam tempoh tidak sampai 24 jam setelah polis mengesan teksi yang digunakan dalam kejadian samun itu melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di Plaza Tol Bukit Tagar, dekat sini.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek, katanya, polis menemui pasport milik salah seorang daripada mangsa serta beberapa keping mata wang ringgit Malaysia (RM), Kemboja dan dolar AS.

"Polis kini memburu seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dan juga merupakan pemandu teksi berusia 20-an," katanya.

Tuesday, September 21, 2010

Nak Jadi Jutawan Konon

Taksub nak menang RM1.5 juta, lelaki kerugian RM62,000

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Sukar dipercayai apabila seseorang sanggup membayar sejumlah wang yang besar semata-mata mahu jadi jutawan.

Bagaimanapun, itulah terjadi kepada seorang penyelia stor yang kerugian RM62,000 selepas ditipu 'Tok Guru' palsu, kononnya boleh memberi ramalan nombor ekor.

Segala-galanya bermula apabila mangsa, Lim Choon Leong, 50, menerima sehelai kertas iklan yang diletakkan di peti surat rumahnya awal bulan lalu menunjukkan kisah-kisah tentang kemampuan 'Tok Guru' itu membantu orang susah di Kedah dengan memberikan ramalan nombor ekor.

Dia kemudian menghubungi nombor telefon tertera pada iklan tersebut dan mengatur pertemuan dengan seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Tan di sebuah tokong terletak di Padang Terap, Kedah.

"Meskipun saya pernah terbaca berita-berita mangsa ditipu sami palsu, saya tetap ingin mencuba nasib dan sangat berhati-hati," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Pertemuan yang diaturkan pada 8 Ogos lalu bagaimanapun tidak menjadi apabila Tan tidak dapat hadir dengan alasan ada hal kecemasan.

"Tan bagaimanapun menelefon dan memaklumkan saya sekiranya ikhlas, 'Tok Guru' boleh membantu saya tanpa perlu bertemu dengan syarat saya membuat bayaran RM180 yang bertujuan untuk upacara sembahyang.

"Selepas saya membuat bayaran itu, saya dijanjikan ramalan satu nombor dan akan dikirimkan menerusi kurier ke alamat rumah saya," kata mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

Menurut mangsa, pada 23 Ogos, dia menerima kurier mengandungi nombor 4469 yang memenangi hadiah utama dua hari sebelum itu.

Berikutan itu, Choon Leong menjadi yakin bahawa ramalan sami itu tepat, cuma menyangka kurier yang sepatutnya diperolehi pada 20 Ogos, tiba lewat empat hari kemudian.

"Tanpa menyedari muslihat Tan, dia sekali lagi menghubungi saya, kali ini menjanjikan saya akan diberi lagi ramalan nombor, namun diperlukan membuat bayaran setiap hari mengikut permintaannya.

"Secara berperingkat-peringkat sehingga 4 September, saya telah mendepositkan sebanyak RM62,000 dan wang itu datangnya daripada simpanan, meminjam dengan saudara malah separuh daripadanya saya pinjam daripada ah long," ujar Choon Leong.

Sunday, September 19, 2010

Tipu Guna Face Book

Geng Afrika dicekup salah guna Internet

BATU PAHAT 18 Sept. - Wanita tempatan kini dikesan bersubahat dengan penyangak dari benua Afrika untuk menipu mangsa di daerah ini dengan menyalahgunakan kemudahan Internet termasuk menerusi laman sosial Facebook.

Suspek yang terdiri daripada dua wanita tempatan, seorang perempuan warga Bostwana dan seorang lelaki Nigeria berusia dalam lingkungan 22 hingga 29 tahun bagaimanapun berjaya dicekup oleh pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arsyad berkata, salah seorang mangsa yang merupakan ahli perniagaan wanita berusia 33 tahun kerugian RM81,000 setelah diperdaya oleh suspek yang dikenali menerusi Facebook.

Katanya, mangsa menempah barangan berharga menerusi Internet dan dimaklumkan suspek sendiri akan menghantar barangan itu kepadanya.

Bagaimanapun, katanya, suspek kemudiannya menghubungi mangsa dan memberitahu dia kononnya telah ditahan oleh pihak Imigresen kerana membawa barangan tersebut bersama wang tunai dalam jumlah yang terlalu banyak.

"Selepas itu, suspek akan memperdayakan mangsa dengan memintanya supaya berhubung dengan sindiket yang menyamar sebagai pegawai Imigresen untuk mengesahkan yang suspek telah ditahan.

"Mangsa kemudiannya diminta untuk memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun milik orang tempatan yang telah diberikan bagi mendapatkan barangan yang ditempah," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Difahamkan, wanita tempatan yang ditahan itu menyamar sebagai pegawai Imigresen dan memberikan nombor akaun bank bagi memperdayakan mangsa.

Mohd. Fawzi berkata, pihaknya yakin dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes penipuan seperti itu dengan tertangkapnya empat suspek tersebut.

Beliau turut meminta orang ramai agar mendapatkan nasihat polis sekiranya turut mengalami atau ditawarkan untuk berurus niaga seperti dalam modus operandi sindiket itu.

Saturday, September 18, 2010

Awas Dekat Mesin ATM

Kerumun dan tukar
Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my
2010/09/18

KLUANG: Sekumpulan tiga lelaki termasuk warga asing dari Amerika Selatan menggunakan taktik ‘kerumun dan tukar’ bagi memperdaya pelanggan bank yang mengeluarkan wang dari ATM sebelum mencuri kad ATM dan mengeluarkan duit mangsa.

Taktik kumpulan itu ialah dengan berkumpul dekat pelanggan yang sedang mengeluarkan wang di ATM sebelum mengalihkan perhatian lalu menukar kad ATM mangsa dengan kad palsu.

Hingga kini, enam kes dilaporkan apabila mangsa mendapati kad ATM milik mereka tidak boleh digunakan sedangkan wang di dalam akaun hilang.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Fawzi Arshad berkata, modus operandi kumpulan berkenaan ialah mereka berkumpul berhampiran mangsa dengan seorang daripada mereka menghafal nombor pin mangsa.


“Mereka bertindak ketika mangsa menunggu wang keluar dari mesin, biasanya sejumlah wang dijatuhkan sebelum seorang daripada kumpulan berkenaan menepuk bahu mangsa.


“Ketika perhatian mangsa dipesongkan, seorang daripada mereka menukar kad ATM mangsa dan berpura-pura ke mesin ATM lain sambil menunggu mangsa keluar dari premis berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Katanya, sebaik mangsa meninggalkan premis bersama kad ATM palsu, tiga penjenayah berkenaan menggunakan kad ATM mangsa untuk mengeluarkan wang.


Menurutnya, hasil siasatan mangsa mengenal pasti seorang penjenayah itu berasal dari Amerika Selatan, manakala dua rakannya dipercayai penduduk tempatan.


Fawzi berkata, hasil pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pihaknya sudah mengenal pasti tiga penjenayah berkenaan dan usaha mengesan mereka giat dilakukan.


Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mengeluarkan wang menerusi ATM diminta berhati-hati dan sebaik-baiknya membawa seseorang untuk menemani mereka.

Jangan Bawa Beg Orang

Usah terpedaya individu minta bawa beg


2010/09/18

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya permintaan sesetengah pihak yang mahu mereka membawa beg atau bungkusan ke destinasi tertentu supaya tidak menjadi mangsa penipuan sindiket pengedaran dadah.

Ini kerana sindiket terbabit bertindak menangguk di air keruh bagi memperdaya orang ramai untuk membawa bungkusan yang dikhuatiri mengandungi dadah. Ketua Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata taktik itu dikesan berlaku di perhentian bas, stesen kereta api dan lapangan terbang sejak beberapa tahun lalu.

“Taktik itu sering diguna pengedar dadah terutama ketika orang ramai sibuk untuk ke destinasi masing-masing terutama ketika musim perayaan. Oleh itu, kami memerlukan kerjasama masyarakat supaya tidak membawa beg kepunyaan orang lain yang tidak dikenali atau menumpangkan barang yang mencurigakan,” katanya.


Menurutnya, pengedar dan pembekal akan meletakkan beg atau bungkusan mengandungi dadah di dalam bas, kawasan bagasi kereta api atau menumpang beg orang lain di lapangan terbang. “Kebiasaannya, sindiket terbabit akan membuat helah kononnya tidak dapat pulang kerana kehabisan tiket atau terlewat mengepos barangan kononnya hadiah untuk ahli keluarga sedangkan di dalam bungkusan itu disembunyikan dadah,” katanya.

Friday, September 17, 2010

Belasah Je Peragut

Pemeras ugut kena belasah


2010/09/17

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang cuba memeras ugut seorang remaja dibelasah orang ramai dalam kejadian di Jalan Lumut berhampiran Chow Kit, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, suspek yang berusia 33 tahun dan mempunyai enam rekod jenayah menggertak seorang remaja lelaki yang melalui tempat kejadian berseorangan supaya menyerahkan wang.

Sumber polis berkata, mangsa berusia 17 tahun diugut supaya menyerahkan wang RM150 kepada suspek.


“Mangsa yang memberitahu tidak mempunyai wang sebanyak itu dikepit lehernya oleh suspek seperti aksi ahli gusti sebelum suspek merampas dompet mangsa.


“Sebaik memperoleh wang berkenaan, suspek melarikan diri sebelum dikejar mangsa. Difahamkan suspek berlari hampir 500 meter sebelum ditangkap mangsa berhampiran kawasan Chow Kit, di sini,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang menjatuhkan suspek meminta suspek memulangkan dompetnya, namun suspek hanya memberikan RM40.


“Mangsa yang berkeras mahukan wang miliknya dikembalikan menumbuk suspek sebelum kejadian itu menarik perhatian orang ramai yang melalui kawasan berkenaan. Berikutan itu, orang ramai yang cuba membantu mangsa menumbuk dan memukul suspek beramai-ramai hingga menyebabkannya luka pada seluruh tubuh,” katanya.

Alim Kucing

4 lelaki alim kucing pura-pura sesat jalan


2010/09/17

KUALA LUMPUR: Dengan berlagak seperti orang baru di sesuatu kawasan, sekumpulan empat pakar pukau didalangi seorang wanita berusia lewat 30-an dikesan bergerak aktif di sekitar pasar raya di ibu kota untuk memerangkap mangsa, sejak sebulan lalu.

Kumpulan terbabit hanya menggunakan sekeping kertas bagi memukau mangsa sebelum merampas barang berharga milik mangsa.

Bagi memudahkan mereka mendekati mangsa terutama wanita, seorang daripada ahli kumpulan terbabit akan berpakaian seperti orang alim lengkap memakai jubah sebelum berpura-pura bertanya jalan kononnya sesat. Pada masa sama, tiga lagi ahli kumpulannya bersiap sedia menunggu dalam kereta di kawasan berhampiran. Sebaik menghampiri mangsa, lelaki terbabit akan menunjukkan ‘kertas ‘ menyebabkan mangsa patuh semua arahannya. Mangsa dibawa menaiki kereta bersiar-siar sebelum semua barang kemas termasuk wang tunainya dirampas. Selepas menghantar mangsa ke tempat pertemuan terdahulu, kumpulan terbabit akan ‘menghadiahkan’ sekeping kertas mengandungi nombor ramalan sebagai sagu hati. Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 9 pagi di sebuah pasar raya di Wangsa Maju, di sini, baru-baru ini seorang warga emas menjadi mangsa kelicikan ilmu pukau kumpulan terbabit. Mangsa, Halimah Ramli, 63, berkata ketika kejadian, dia berseorangan sebelum dihampiri seorang lelaki berusia 20-an yang memakai jubah bertanyakan jalan. “Lelaki itu berpakaian seperti orang alim menyebabkan saya terpanggil untuk membantunya. Selepas itu, saya seperti dipukau sebaik melihat kertas yang ditunjukkan lelaki terbabit. “Saya seperti ‘orang bodoh’ dan dibawa menaiki sebuah kereta. Dalam kereta, saya melihat ada seorang wanita dan seorang lelaki sebelum dibawa bersiar-siar.


“Mereka mengambil barang kemas dan wang tunai saya satu persatu. “Saya dihantar semula ke pasar raya berkenaan. Ketika hendak keluar dari kereta itu, wanita itu memasukkan sehelai kertas dalam beg tangan selain mengarahkan supaya tidak membukanya sehingga esok,” katanya. Mangsa yang tersedar segera pergi ke rumah rakannya untuk mendapatkan pertolongan supaya membuka beg tangannya itu. “Hasil pemeriksaan dua rantai leher, satu gelang tangan termasuk wang tunai RM300 lesap,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju di sini. Dalam beg tangannya, suspek memasukkan sekeping kertas mengandungi nombor ramalan. Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Monday, September 13, 2010

Bila Wang Menguasai Fikiran

Diseksa sampai mati


2010/09/13

KUALA LANGAT: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu hilang bersamanya melalui detik ngeri diseksa, dibelasah selain ditikam menggunakan senjata tajam oleh sekumpulan penjenayah hingga mati berlumuran darah.


SIDANG AKHBAR...Bakri(kiri) mengadakan sidang akhbar berhubung kehilangan Sosilawati bersama tiga rakannya, semalam.

CARI BUKTI...anggota polis memeriksa sisa tulang dan abu mayat di Banting, semalam. Gambar kecil, salah seorang suspek yang ditahan. Penjenayah yang seolah-olah tidak mempunyai belas kasihan mencurahkan petrol sebelum membakar mayat mangsa sehingga menjadi abu bertujuan menghilangkan bukti jenayah.

Penjenayah kemudian mengutip cebisan dan abu mayat semua mangsa yang dimasukkan ke dalam guni atau bekas tertentu sebelum dibuang ke Sungai Panchau, di sini, kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dibunuh.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Sri Bakri Zinin, selepas anggotanya melakukan soal siasat lapan suspek ditahan selepas dipercayai ada hubung kait kes kehilangan jutawan berkenaan sejak 12 hari lalu.

Menurutnya, hasil siasatan, polis memberkas seorang peguam berstatus Datuk berusia 41 tahun disyaki dalang utama merancang kes penculikan dan pembunuhan kejam selain adik suspek berusia 38 tahun.

“Polis mengesan lokasi mangsa dipercayai dibunuh berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, di sini, selepas menahan adik-beradik terbabit selain enam lagi suspek turut terbabit.

“Lima suspek awal diberkas Jumaat lalu sebelum peguam berstatus Datuk dan adiknya diberkas kelmarin. Polis menahan seorang remaja berusia 19 tahun turut dikaitkan kes pembunuhan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, semua suspek berusia 19 hingga 45 tahun berkenaan dikenal pasti pekerja kepada Datuk berkenaan termasuk ada antara mereka pekerja di ladang tempat mangsa dibunuh

“Polis setakat ini tidak menolak kemungkinan mangsa dibawa ke ladang itu sebelum dibunuh dengan kejam, Ada kemungkinan mangsa dipukul sehingga mati menggunakan senjata sebelum sengaja dibakar hingga menjadi debu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Banting di sini, petang semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa yang bertukar menjadi debu dicampak ke sungai berhampiran dan dihanyutkan ke laut berhampiran pantai Morib, di sini.

|”Polis percaya mangsa dibunuh dan dibakar di tempat sama di dalam ladang kelapa sawit terbabit berdasarkan bukti awal diperoleh. Suspek dipercayai turut membuang senjata digunakan untuk membunuh mangsa di dalam sungai sama.

“Setakat ini polis masih menjalankan gerakan memburu saki-baki dan rangkaian kumpulan penjenayah merbahaya terbabit. Polis percaya kumpulan terbabit turut bertanggungjawab dalam satu lagi kes sama awal tahun ini,” katanya.

Difahamkan empat individu turut mempunyai kaitan dan urusan perniagaan dengan peguam berkenaan dilaporkan hilang sebelum ini dipercayai dibunuh dengan kaedah sama.

“Ada kemungkinan kes pembunuhan ini bermotifkan saingan perniagaan, namun polis masih menyiasat motif sebenar mangsa dibunuh kejam. Semua suspek akan ditahan reman sehingga 19 September depan untuk tujuan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan.

“Apa yang boleh saya katakan, andaian mangsa masih hidup amat tipis. Bagaimanapun polis masih perlu mendapatkan pengesahan forensik mengesahkan sepenuhnya perkara berkenaan termasuk DNA bagi mengesahkan identiti mangsa dibunuh,” katanya.

Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu semasa keempat-empat mangsa berada di Banting untuk bertemu peguam bergelar Datuk berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Bakri berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar mereka dibunuh, tetapi ia mungkin antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehingga semalam.

Mengenai keluarga mangsa, beliau memberitahu, keluarga mangsa sudah dimaklumkan berhubung kes terbabit dan polis menjelaskan kepada mereka pengesahan lanjut daripada forensik dan Jabatan Kimia diperlukan mengesahkan sepenuhnya kematian semua mangsa.

“Apa yang saya boleh sahkan sekarang, pengakuan suspek menjurus ke arah itu,” katanya.

Mengenai tahap siasatan, beliau berkata, pihaknya tidak dapat menyatakan daripada segi peratusan, namun semua perkara hanya dapat disahkan dan disempurnakan selepas polis menerima laporan forensik dan kimia.

“Laporan forensik dan kimia akan mengambil masa, dan keluarga mangsa dan media akan dimaklumkan sebaik saja kami menerima semua laporan mengenai perkara ini,” katanya.

SMS Tipu

Kegiatan penipuan SMS masih aktif

SEREMBAN 12 Sept. - Licik dan masih aktif kegiatannya.

Itu yang dapat disimpulkan mengenai kegiatan sindiket penipuan menerusi peraduan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang masih bergerak aktif memburu orang ramai.

Hadiahnya cukup lumayan sehinggakan pengguna mampu 'gelap mata' apatah lagi pada musim perayaan ini kerana jumlah yang ditawarkan berupa wang tunai mencecah hampir RM20,000.

Lebih menarik, modus operandi sindiket itu tetap sama dengan cuba memperdaya mangsa dengan menggunakan nama pelbagai syarikat ternama.

Sindiket berkenaan yang dipercayai didalangi oleh warga asing akan menghantar SMS kepada orang ramai dengan memaklumkan sim kad mereka memenangi hadiah wang tunai dari syarikat berkenaan

Seorang pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Hisham, 30, memberitahu, dia hampir terpedaya selepas menerima satu SMS yang mendakwa sim kad miliknya memenangi wang tunai berjumlah RM17,000 daripada sebuah syarikat minuman antarabangsa.

Katanya, SMS tersebut turut memintanya menghubungi pejabat syarikat itu tetapi nombor telefon yang diberi adalah nombor telefon bimbit.

''Rasa terkejut juga pada awalnya apabila saya ditawarkan hadiah wang tunai sebanyak itu. Namun setelah menelitinya beberapa kali saya tahu ini satu penipuan.

''Saya juga menghubungi nombor telefon yang diberikan dan ia dijawab oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Mohd. Ismail Ali," katanya baru-baru ini.

Jelas Hisham, lelaki berkenaan kemudiannya berpura-pura menyemak nombor telefon bimbitnya di komputer sebelum mengucapkan tahniah kerana memenangi hadiah wang tunai berkenaan.

''Lelaki yang bercakap dalam loghat Indonesia itu kemudiannya memberitahu bahawa wang tunai tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun bank saya.

''Bagaimanapun, lelaki berkenaan kemudiannya mengarahkan saya memasukkan wang berjumlah RM500 ke dalam satu akaun sebagai yuran untuk proses hadiah kemenangan.

''Namun saya terus mematikan talian telefon kerana tahu lelaki berkenaan cuba memperdaya saya," ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, kegiatan berkenaan dipercayai masih berlaku dengan menggunakan pelbagai taktik yang mengelirukan.

Justeru katanya, orang ramai seharusnya lebih bijak dalam menghidu apa juga perkara yang mampu menyebabkan mereka menjadi mangsa penipuan.

''Mereka perlu tahu, sekarang ini pelbagai taktik digunakan bagi memanipulasi orang ramai dengan tujuan meraih keuntungan lebih-lebih lagi di musim perayaan.

''Oleh demikian kita mahu supaya orang ramai tidak terus tertipu akan tetapi terus berwaspada dengan kegiatan ini,'' kata beliau.

Saturday, September 11, 2010

Taktik Perogol

TELUK INTAN: Polis mencari seorang lelaki dipercayai boleh membantu siasatan berhubung satu kes cubaan culik dua murid sekolah dan satu kes rogol pelajar berusia 17 tahun di daerah ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, lelaki berkenaan dikenali G Thiyagarajan (gambar), 35, memegang ked pengenalan 751101-08-5549, beralamat di No, 73, Jalan 4, Taman Arif, Kuala Kubu Baru, Selangor Darul Ehsan.

“Pihak kami yakin dapat menyelesaikan kedua-dua kes berkenaan jika mendapat kerjasama lelaki itu. “Sesiapa mengenali ataupun terlihat lelaki berkenaan dinasihatkan menghubungi Deputi Superintendan Chan Kuang Yu di talian 019-2300999 ataupun hubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Teluk Intan di talian 05-6299222 ataupun hubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, 20 Ogos lalu, pelajar tingkatan lima yang menaiki basikal dan dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah dilanggar kereta dari arah belakang. Suspek yang berpura-pura mahu menolong mangsa mempelawanya menaiki keretanya kononnya dibawa ke hospital berdekatan, tetapi sebaliknya dibawa ke ladang kelapa sawit sebelum dirogol.

Wednesday, September 8, 2010

Bukan Hadiah Lumayan Tapi Rugi Lumayan

Sindiket tawar hadiah lumayan tumpas


2010/09/08

KUALA LUMPUR: Satu sindiket yang aktif menghubungi telefon bimbit mangsa dengan menyatakan mereka memenangi hadiah lumayan sebelum mengarahkan mangsa memasukkan wang ke dalam satu akaun bagi membolehkan hadiah berkenaan dituntut tumpas dengan penahanan empat lelaki di Negeri Sembilan, 1 September lalu.

Sindiket yang dianggotai empat lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 30 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Negeri Sembilan sebaik memperdaya seorang ahli perniagaan membabitkan kerugian kira-kira RM130,000.

Modus operandi sindiket itu cukup mudah iaitu dengan menghubungi telefon bimbit mangsa dan menyatakan mereka memenangi hadiah lumayan termasuk wang tunai.


Sebelum mendapatkan hadiah itu, mangsa akan disyaratkan memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan ahli sindiket terbabit. Sebaik mendapat wang itu, mereka akan melarikan diri.


Ketua Penolong Pengarah Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, berkata sindiket terbabit menyasarkan mangsa berusia 30-an hingga 70-an.


Katanya, pihaknya sebelum ini menerima laporan seorang mangsa dari Negeri Sembilan mendakwa ditipu sindiket terbabit apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita mengatakan memenangi hadiah loteri bernilai jutaan ringgit.

Sunday, September 5, 2010

Tip Mengelak Pecah Rumah

Pecah rumah di Aidilfitri
Oleh - Nurul Riduan Nor Ashaha


Tinggal empat hari sahaja lagi untuk umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ketika ini semua seisi rumah tidak menang tangan untuk menyediakan persiapan menyambut kemenangan setelah 30 hari berjuang berpuasa di bulan Ramadan.

Baju raya, kuih muih, perabot rumah, perhiasan diri antaranya barang kemas, dibeli untuk Aidilfitri kali ini.

Bagi yang beraya di kota, rumah perlu dikemas dan dihias agar nampak mewah tatkala jiran tetangga datang menjengah di hari raya.

Perantau pula mula sibuk dengan persiapan untuk pulang ke kampung halaman. Bukan sehari dua bercuti tetapi seminggu dan mungkin ada yang lebih dari itu.

Beg pakaian terisi baju melayu dan kebaya dibeli sempena raya sudah siap dimasukkan ke dalam bonet kereta. Enjin kereta sudah mula dihidupkan dan perjalanan bakal bermula untuk bertemu sanak saudara menyambut lebaran di kampung.

Tetapi, sebelum kita memulakan perjalanan balik kampung, adakah kita ‘siapkan’ keselamatan rumah? Jika tidak, penjenayah pasti tersenyum lebar melihat mangsa meninggalkan sarangnya.

Musim perayaanlah menjadi lubuk penjenayah jika kita abai akan aspek keselamatan sebelum kita pulang ke kampung halaman.

Berbicara bersama Penganalisis Jenayah, Kamal Afendi Hashim, laluan utama penjenayah untuk pecah masuk adalah melalui tiga cara iaitu pintu, tingkap dan siling.



Pintu

� Gril yang dipasang tidak mempunyai kualiti dan mudah dipotong

� Menggunakan mangga yang harganya murah

� Tidak menukar kunci yang rosak



Tingkap

� Penggunaan tingkap ‘sliding’ yang mudah diumpil dan seterusnya dibuka

� Tingkap berjeriji besi di potong

� Tidak menukar struktur ting kap yang telah rosak



Siling

� Penjenayah akan masuk melalui siling dari rumah yang tidak berpenghuni



Jelasnya, tiga laluan itu sering diabaikan pemilik rumah, tidak kiralah jenayah itu berlaku pada malam atau siang hari.

Tidak pernah kita dengar penjenayah korek lubang semata-mata untuk pecah masuk rumah. Oleh sebab itu, keselamatan perlu dititik beratkan.

Kadang-kala, oleh sebab struktur rumah yang lemah juga jadi punca penjenayah dapat menembus masuk. Sehinggakan penghuni mentafsirkan, barang-barang diambil toyol kerana tiada kesan pecah masuk.

Ada juga yang hanya membeli mangga rumah yang murah di pasar malam. Adakah nyawa dan barang berharga kita bernilai hanya RM15? Tidak bukan, jadi utamakan aspek keselamatan rumah kerana kitalah mencipta peluang untuk penjenayah.

Jadi, sebelum pulang berhari raya, pastikan apa yang harus dilakukan.

Perlindungan fizikal rumah

� Pasangkan ‘door viewer’ dan penyelak pada pintu utama

� Pintu utama perlu diperbuat daripada bahan yang kukuh

� Sistem kunci yang berkualiti

� Pasangkan pagar besi berkunci pada tingkap dan pintu rumah anda

� Simpan tangga dan alat-alat di tempat yang selamat supaya penjenayah tidak menggunakan alatan itu untuk memasuki rumah anda

� Potong ranting-ranting pokok dan semak-samun sepanjang pagar rumah yang membolehkan penceroboh menyembunyikan diri di halaman rumah

� Pasang lampu yang mempunyai alat pengesan untuk mengawal halaman dan boleh mengesan penceroboh

� Jika berkemampuan, pasang kamera litar tertutup (CCTV) di hadapan dan belakang rumah



Semua itu bukan hanya dilakukan untuk musim perayaan semata-mata kerana jenayah pecah rumah boleh berlaku bukan hanya pada waktu kita tiada di rumah, bahkan ketika sedang tidur pada waktu malam sekalipun.

Bukan tujuan untuk menakut-nakutkan semua, tetapi itu lah hakikat yang terjadi kini. Penjenayah tidak kenal erti takut malah pisau di dapur rumah boleh menjadi senjata penjenayah ketika menyamun. Mereka sebelum itu, boleh berlegar-legar di kawasan perumahan tanpa sebarang syak wasangka kerana mereka tidak membawa sebarang senjata. Tetapi bila masuk ke rumah, barang di dalam rumah itu sendiri menjadi senjata penjenayah.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedaya upaya menyedarkan kita semua untuk sentiasa pentingkan aspek keselamatan rumah. Menjelang perayaan ini, banyak aktiviti kesedaran balik kampung perlu dititik beratkan.

Semua itu merupakan langkah berjaga-jaga kita untuk membantu polis menjalankan tugas yang dipertanggungja�wabkan.

Itu yang harus dilakukan bagi memastikan aspek keselamatan diutamakan. Bagi menambahkan lagi aspek itu PDRM perlu dibabitkan kerana mereka ini lebih arif dalam menjaga keselamatan semua.

Maklumkan kepada balai polis berdekatan dengan meninggalkan nombor telefon, alamat rumah dan tempoh waktu ketiadaan.

Semua itu akan memudahkan polis untuk mengatur masa melakukan rondaan di kawasan rumah anda.

Jika semua itu telah dilakukan, percutian kita di hari raya ini akan lebih terjamin. Bukan sahaja keselamatan diri terjaga, malah rumah yang kita diami akan terbela.

Salam lebaran dari Sinar Harian untuk semua.

Sumber:

Laman web rasmi PDRM, www.rmp.gov.my

Jerat Percintaan


Tiga sahabat terjerat
Oleh NORAINON OTHMAN dan MARY VICTORIA DASS
metahad@hmetro.com.my
2010/09/04

JOHOR BAHRU: Hebatnya ayat ‘power’ seorang kasanova apabila menjerat tiga sahabat baik sekali gus sebelum mengikis barang kemas dan wang simpanan mereka untuk berjoli dan hidup selesa tanpa perlu bekerja.


ADUAN... Hana dan rakan menunjukkan laporan polis berhubung diperdaya oleh seorang kasanova.

Secara kebetulan, tiga sahabat berkenaan menepati kriteria ditetapkan sebelum lelaki itu menggunakan pelbagai ayat manis untuk meyakinkan mangsa dia mencintai mereka dan berhasrat mendirikan rumah tangga.

Seorang mangsa dikenali sebagai Hana, 35, berkata dia mengenali lelaki itu di Ulu Tiram pada November lalu, di mana kehadirannya mengisi kesunyian ketika mengalami krisis rumah tangga dan nyaris berpisah dengan suami.


“Lelaki itu yang berpura-pura seperti dalam kesusahan turut berkongsi kisah hidupnya yang pilu kononnya dipulau ahli keluarga dan tiada pekerjaan bagi menyara hidup.

“Dia pandai bermain kata-kata dan bersifat romantik bagi memenangi hati saya supaya percaya janji manisnya, di mana dalam tempoh beberapa bulan perkenalan itu dia pernah menyatakan hasrat mengahwini saya,” katanya.

Bagaimanapun, Hana berkata, perkara sebaliknya berlaku apabila lelaki itu mempengaruhinya untuk menyerahkan wang lebih RM2,000 secara berperingkat, termasuk barang kemas, bagi membantu setiap kali menghadapi masalah.
Katanya, pada masa sama lelaki itu memasang jerat terhadap dua rakannya iaitu ibu tunggal berusia 32 tahun dan isteri berusia 41 tahun yang ada masalah rumah tangga.

Menurutnya, lebih mengejutkan, lelaki itu juga menjerat mangsa lain yang dahagakan belaian lelaki sebelum mengikis wang mereka untuk berseronok tanpa perlu bekerja.

“Selepas kami bertiga mengetahui muslihat lelaki itu, saya pergi ke kampung halamannya dan terkejut mendengar cerita penduduk lelaki itu terkenal dengan sikap gemar menggoda wanita kesepian serta memperdaya mereka.

“Saya terkejut apabila difahamkan lelaki itu mampu memiliki dua kereta. Dia kini dikatakan menjalin hubungan dengan seorang janda anak dua di Batu Pahat. Bagi menampakkan kesegakan, dia gemar memakai cermin mata gelap serta bertopi.

“Lelaki itu sepatutnya dikenakan tindakan bagi mengelak lebih ramai wanita menjadi mangsa,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Ulu Tiram, di sini, semalam.

Hana berkata, dia tidak menyangka lelaki itu yang menjalin hubungan percintaan dengannya turut menggoda dua rakan baik sehingga mereka berhabis ribuan wang demi lelaki hidung belang itu.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, helah lelaki digelar Man itu terbongkar apabila dia terlihat SMS menggunakan ‘ayat power’ dihantar ke telefon rakannya yang juga bekerja sebagai operator di kilang sama.

Kelicikan Man memerangkap wanita bermasalah turut diakui seorang lagi rakan Hana, Ida, 32.

“Dalam tempoh sebulan bekerja di kilang, saya mengenali Abang Man menerusi rakan dan selesa dengan perwatakannya yang peramah serta penyayang. Dia kerap menelefon dan bertanya khabar anak,” katanya yang juga ibu tunggal.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia juga pernah beberapa kali keluar bersama lelaki itu yang kelihatan ikhlas ketika meluahkan hasratnya mahu mengahwininya jika anaknya bersetuju.

Katanya, lelaki itu juga pernah tinggal beberapa hari bersama keluarganya dengan alasan mahu menambat hati anak supaya memudahkannya melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa pada masa depan.

“Saya mula yakin terhadapnya selain sanggup mengeluarkan wang hasil simpanan arwah suami bagi membantunya.

“Perancangan kami untuk membuka perniagaan sendiri, di mana Abang Man menyatakan mahu membantu saya sepenuh masa,” katanya.

Ida berkata, dia juga pernah menyerahkan sejumlah wang kepada lelaki itu yang kononnya mahu mendaftar perniagaan, selain membeli beberapa peralatan bagi membolehkan mereka beroperasi dari rumah.

Bagaimanapun, katanya, impian itu hanya hangat-hangat tahi ayam apabila lelaki berkenaan enggan menjawab panggilan setiap kali dia cuba menghubunginya.
“Ratusan kali saya cuba menghubunginya tetapi gagal dan difahamkan dia mempunyai teman wanita baru.

“Mungkin silap saya kerana mudah percaya Abang Man dan saya berjanji akan lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya.

Seperti Ida, kasonova itu juga memerangkap Kasmah, 41, dengan modal sama iaitu berhajat memperisterikannya.

“Saya masih tidak dapat melupakan janjinya untuk mendirikan rumah tangga akhir tahun ini namun selepas kami bertiga menyedari helahnya, dia menghilangkan diri,” katanya yang masih bersuami.

Kasmah berkata, dia tidak menyangka boleh menjadi kekasih gelap kasanova itu hingga hanyut ke lembah dosa.

Menurutnya, menyedari dia menghadapi masalah rumah tangga dan suaminya bekerja di luar daerah, kasanova itu berpura-pura mengambil berat sebelum menunjukkan belang.

“Walaupun pada awalnya hubungan itu biasa saja namun lama-kelamaan saya mula jatuh hati terhadapnya.

“Saya kurang pasti sama ada dia menggunakan ilmu bagi menggoda saya dan dua rakan, namun sikap penyayangnya membuatkan saya cair sama seperti mereka,” katanya.

Kasmah berkata, dia insaf terhadap perbuatannya selepas menyedari helah kasanova itu yang mengambil kesempatan, termasuk memuaskan nafsu dan mengikis wangnya.

Dia juga terkejut apabila difahamkan kasanova itu memiliki dua kereta di mana ansuran bulanan kenderaan didakwa dibayar beberapa kekasihnya.

“Rupa-rupanya lelaki itu hidup secara mudah dengan hanya mengumpan ayat cinta pada wanita seperti kami. Saya berharap dia mendapat balasan secepat mungkin dan sedar kesilapannya,” katanya.