Saturday, January 22, 2011

Penyamun Toreh Muka

Penyamun toreh muka
Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

MARAN: “Mereka begitu kejam dan seperti setan apabila tergamak menoreh muka anak saya hingga berlumuran darah,” kata wanita warga emas, Habesah Maamor, 61, ketika menceritakan detik cemas selepas rumahnya di Kampung Bukit Lada, dekat sini, diceroboh tiga penyamun, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, tiga penyamun bersenjatakan parang melarikan wang tunai RM600 dan barangan kemas dianggarkan bernilai RM3,000 dari rumah mangsa.


Habesah berkata, sebelum kejadian, dia dan anaknya Roshadi Rosli, 39, sedang tidur dalam bilik masing-masing sebelum dia terjaga apabila terdengar bunyi seperti pergaduhan diikuti jeritan anaknya.

Menurutnya, dia mulanya menyangkakan Roshadi mengigau lalu memanggil nama anaknya itu, namun panggilan itu dijawab dengan nada kurang difahami kecuali jeritan sekuat hati anaknya yang meminta dia melarikan diri.


Katanya, dia tidak mengendahkan permintaan itu kerana masih kabur dengan kejadian yang berlaku, apatah lagi suasana kembali sunyi sebelum dia baring semula.


“Tidak sampai setengah jam melelapkan mata, tiba-tiba pintu bilik diketuk kuat diikuti diterajang hingga tercabut sebelum saya melihat tiga penyamun dengan dua daripada mereka bertopeng tercegat di depan pintu.


“Mereka terus menghunus parang di leher dan mengugut membunuh anak jika saya bersuara. Tangan saya diikat dengan kain sebelum mereka menyelongkar bilik dan ruang tamu,” katanya.


Menurutnya, dia yang berjaya membuka ikatan tangan kemudian bergegas meminta bantuan penduduk kampung sebaik tiga penyamun terbabit melarikan diri bersama barang kemas dan wang tunai.

Katanya, selepas meminta bantuan, dia pulang semula ke rumah untuk melihat keadaan anaknya sebelum menemuinya dalam keadaan separuh sedar dan berlumuran darah di muka.


Katanya, dia mendapati anaknya tidak mampu bercakap kecuali mengerang menahan kesakitan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.


Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.


“Saya begitu sebak selepas melihat anak dalam keadaan separuh sedar dan berharap dia cepat sembuh. Saya juga membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera tampil bagi membantu siasatan.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Kongsi Artikel | Facebook MySpace Google Twitter

No comments:

Post a Comment