Monday, October 29, 2012

peragut berpistol

Rebah dibedil peragut

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SUNGAI BULOH: “Dia memang berani kerana mengejar empat lelaki yang cuba menyamun beg tangan dua pelanggan restoran kerana menyangkakan mereka peragut biasa sebelum terkena tembakan,” kata pemilik kedai perabot, Raymond Yam, 24, saksi kejadian tembakan di Pusat Perniagaan Megamas, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang juga pemilik pusat aksesori dan pendingin hawa kereta, Lee Chee Long, 32, parah akibat ditembak di dada kiri dan belum sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh (HSB).

Menurut Yam, ketika kejadian, mangsa sedang melayan pelanggan di depan pusat aksesori miliknya apabila tiba-tiba terdengar bunyi jeritan wanita dari restoran yang terletak selang tiga kedai dari premisnya.
“Sejurus jeritan itu, dua motosikal dinaiki empat lelaki dipecut laju dari restoran berkenaan dan mangsa cuba menghalang mereka daripada meninggalkan tempat kejadian.

“Namun, tiba-tiba seorang daripada lelaki terbabit melepaskan empat hingga lima tembakan rambang bagi menakut-nakutkannya. Tetapi, satu tembakan terkena Ah Long manakala satu lagi terkena sebuah kereta yang diparkir berhampiran,” katanya ketika ditemui, semalam.

Yam berkata, adik mangsa yang bekerja di pusat yang sama juga cuba membantu abangnya menahan keempat-empat lelaki terbabit tetapi terpaksa menyorok selepas tembakan dilepaskan.
“Ah Long kemudian rebah di depan premisnya akibat terkena tembakan di dada kiri sebelum seorang pelanggan membantu dengan membawanya ke hospital dengan menaiki kereta.

“Manakala,keempat-empat lelaki terbabit terus melarikan diri sebelum orang ramai menghubungi polis,” katanya.
Katanya, dia difahamkan kumpulan lelaki terbabit cuba menyamun beg tangan dua pelanggan wanita yang sedang minum di restoran itu.

“Seorang lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh turun dari motosikal dan terus menuju ke arah dua wanita berkenaan.

“Dia kemudian cuba meragut beg seorang daripadanya yang diletakkan di atas meja tetapi berlaku tarik-menarik sebelum rakan mangsa cuba membantu,” katanya.

Yam berkata, tiba-tiba lelaki terbabit mengacu pistol di kepala rakan mangsa. Namun, rakan mangsa menyangkakan ia senjata mainan sebelum bertindak menolak lelaki terbabit.

“Tindakan itu menyebabkan lelaki terbabit naik berang dan menghentak kepala rakan mangsa dengan gelas sehingga cedera.

“Kedua-duanya kemudian menjerit meminta tolong dan berlari ke arah belakang kedai untuk menyelamatkan diri sebelum lelaki terbabit segera beredar,” katanya.

Adik mangsa, Sam Lee, 27, berkata tembakan itu mengenai paru-paru abangnya dan sudah menjalani pembedahan mengeluarkan peluru serta darah daripada organ berkenaan kira-kira jam 11 malam, kelmarin.

“Bagaimanapun, abang saya yang masih bujang belum sedarkan diri.

“Kami sekeluarga bersedih dengan kejadian ini dan tidak menyangka niat murni abang yang juga anak sulung mahu membantu mangsa tetapi dia pula ditimpa tragedi,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Tuah Masrom, mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 kerana kesalahan memiliki senjata api.

“Siasatan mendapati keempat-empat suspek menaiki dua motosikal dan semua mereka memakai topi keledar berpenutup bagi mengelak wajah dikenali dan menggunakan pistol jenis semi automatik 9 milimeter.

“Bagaimanapun, polis sudah menubuhkan pasukan khas bagi memburu mereka termasuk mengadakan sekatan jalan raya melalui Ops Tutup,” katanya.

Wednesday, October 24, 2012

surirumah disamun

Samun: Surirumah rugi RM15,500
Wartawan Sinar Harian
24 Oktober 2012
TELUK INTAN - Seorang isteri kepada ahli perniagaan bukan sahaja berdepan dengan detik mencemaskan malah terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM15,500 dalam satu kejadian samun dekat kawasan Bumbung Biru, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari, apabila mangsa berusia 28 tahun, baru sahaja menunaikan cek dengan sejumlah wang untuk urus niaga milik suaminya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitendan Mohd Zaki Harun berkata, setelah cek ditunaikan di salah sebuah bank di Teluk Intan, mangsa telah menyerahkan sebahagian wang itu kepada rakan niaga suaminya di dalam premis tersebut sebanyak RM 17,000.

Menurutnya, baki wang berkenaan kemudiannya, dibawa pulang, namun sebelum pulang ke rumah, mangsa berhenti sebentar untuk mengambil anaknya di kedai milik ibunya di kawasan Bumbung Biru.

“Setelah anak-anaknya masuk di dalam kereta, secara tiba-tiba datang seorang lelaki membuka pintu kereta mangsa dan melarikan beg tangannya.

“Suspek mengambil beg tangan mangsa yang mengandungi wang tunai kira-kira RM15,000 sebelum melarikan diri dengan kereta jenis Perodua MyVi berwarna hitam yang dipandu oleh seorang lelaki,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini.

Beliau berkata, mangsa yang terkejut dengan kejadian itu segera menelefon polis sebelum sekatan jalan bagi mengesan kereta yang digunakan oleh suspek dibuat di sekitar kawasan Hilir Perak.

Berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya,  mangsa telah diekori sejak dalam bank sehingga ke kawasan Bumbung Biru sebelum insiden berlaku.

Katanya, polis juga percaya, kejadian itu dilakukan lebih daripada seorang berdasarkan kejadian dan maklumat diterima yang kini sedang giat menjejaki suspek bagi bantu siasatan pihaknya.

Beliau turut menasihati kepada orang awam untuk lebih berhati-hati selepas mengeluarkan wang dalam jumlah banyak daripada bank selain memerhatikan kawasan sekeliling untuk pastikan keadaan selamat.

Tambah beliau, selain itu juga, orang awam dinasihati supaya terus pulang ke rumah selepas mengeluarkan wang dan tidak berhenti di mana-mana tempat walaupun sekejap.

Jelasnya, kejadian seperti ini sering berlaku, apabila penjenayah menggunakan modus operandi sama dengan mengambil kesempatan di sebalik kelalaian mangsa.

“Pihak kami sedang menjejaki suspek bagi membantu siasatan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

peragut cari hingga ke rumah

Mangsa ragut terancam keluarga suspek cari sampai rumah
AZIZAN INCHE HARUN
24 Oktober 2012
 Mangsa ragut terancam keluarga suspek cari sampai rumah
Shui Wen bersama bapanya menunjukkan laporan polis dan foto kecederaan yang dialami
JOHOR BAHRU – Mangsa ragut di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Danga City Mall, di sini berasa terancam dengan kehadiran keluarga suspek yang meminta kes itu ditarik balik.

Yong Shui Wen, 30, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama bapanya, Yong You Kim, 58, menunggang motosikal ke tempat kerjanya di Singapura kira-kira jam 6.30 pagi, 10 Oktober lepas.

Menurutnya, secara tiba-tiba seorang lelaki bermotosikal menarik beg sandang milik bapanya yang diletakkan di dalam bakul sehingga mereka terjatuh.

“Saya bersama bapa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk muka dan kedua-dua belah tangan dan kaki sehingga dikejarkan ke hospital.

“Kami bernasib baik kerana ketika kejadian anggota polis berada berhampiran sehingga suspek berjaya ditangkap tidak berapa jauh dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, di sini, semalam.

Shui Wen berkata, apa yang membuatkannya resah ialah, dia sudah dua kali didatangi beberapa individu yang mengaku keluarga mangsa ke rumahnya pada Sabtu dan Ahad lepas.

“Dua kali mereka datang ke rumah saya dengan menaiki van dan Perodua Kembara meminta maaf dan minta kes ditarik balik kerana katanya ibu suspek tidak sihat dan hidup susah.

“Kami mula rasa tidak selamat dan terancam kerana suspek sudah mengetahui alamat kediaman kami,” katanya.
Katanya, walaupun di dalam beg sandang milik bapanya tidak mengandungi barang berharga, tetapi kejadian dua kali diragut itu benar-benar membuatnya trauma.

“Sepanjang 10 tahun bekerja di Singapura, saya dengan bapa sebelum ini pernah diragut, tapi tidak mengalami kecederaan.

“Kejadian pada kali ini masih membuatkan saya trauma, tambahan apabila melihat kesan luka-luka pada badan yang masih berparut,” katanya.

Sementara itu, Adun Skudai, Dr Boo Cheng Hau berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dan Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff supaya siasatan terperinci dapat dilakukan segera.

Monday, October 22, 2012

ganas mat rempit

Diserang 200 Mat Rempit

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TERUK...kereta mangsa dipecahkan kumpulan bermotosikal, kelmarin.
TERUK...kereta mangsa dipecahkan kumpulan bermotosikal, kelmarin.
ADU...mangsa memberi keterangan kepada pegawai polis bertugas.
ADU...mangsa memberi keterangan kepada pegawai polis bertugas.
ALOR SETAR: Sekumpulan 200 lelaki dipercayai Mat Rempit bertindak ganas dengan memecahkan cermin kereta dinaiki dua lelaki sebelum membelasah mereka, menyebabkan seorang daripada mangsa parah dalam kejadian di Jalan Pegawai, di sini, awal pagi kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu menyebabkan mangsa remaja berusia 18 tahun parah di kepala serta badan dan kini masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, manakala rakannya berusia 21 tahun dirawat sebagai pesakit luar HSB.
Difahamkan, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa menaiki Proton Saga Aeroback dikatakan dalam perjalanan ke sebuah restoran di Lebuh raya Darulaman, di sini, untuk menikmati makan tengah malam bersama rakan.

Sebaik tiba di satu persimpangan lampu isyarat, pemandu kereta itu mahu membelok ke kiri sebelum dikatakan terlanggar seorang Mat Rempit sehingga terjatuh menyebabkan kumpulan berkenaan mengejar mangsa bersama rakan-rakannya sejauh satu kilometer.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Md Jan berkata, kumpulan remaja yang menunggang motosikal itu dipercayai menyerang dan terus membelasah mangsa serta memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan topi keledar dan besi papan tanda.

Saturday, October 20, 2012

lanun digagalkan

Sembur lanun Indonesia

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUCHING: Dua daripada lapan kru sebuah kapal dagang menggunakan alat pemadam kebakaran bagi menyelamatkan diri selepas kapal yang sarat membawa muatan kontena dirompak sekumpulan lanun warga Indonesia di perairan negara ini, kira-kira 10 batu nautika dari Tanjung Po, di sini, petang kelmarin.

Tindakan berani anak kapal itu bukan saja berjaya menghalang mereka daripada dirompak, malah empat lanun terbabit turut ditangkap anggota Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) Sarawak sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.30 tengah hari.


Sebelum kejadian, kapal itu menunda tongkang membawa muatan 116 kontena dari Pelabuhan Klang, Selangor, dalam perjalanan ke Bintulu, sebelum dihampiri sebuah bot pancung dinaiki lebih 10 lanun.

Kejadian berlaku ketika kapal dan tongkang berkenaan menuju ke Bintulu sebelum sebuah bot pancung yang dinaiki penjenayah terbabit menghampirinya.

Pemangku Ketua Penguat kuasa Maritim Wilayah Sarawak, Abim Sungom berkata, beberapa lanun cuba memanjat kapal penunda (Hub 1), namun gagal berikutan tindakan pantas anak kapal mengambil alat pemadam kebakaran lalu menyembur ke arah mereka.

Friday, October 19, 2012

terima akibat dari kesalahan lampau

Penkid terperangkap di port dadah
Wartawan Sinar Harian
19 Oktober 2012
penkid
Sebahagian daripada penagih termasuk seorang gadis penkid yang ditahan polis narkotik dalam serbuan di sekitar Paka pagi kelmarin.
DUNGUN - Tindakan seorang gadis berlagak seperti lelaki mengunjungi sebuah rumah, dipercayai port penagih memerangkap dirinya sendiri apabila lokasi terbabit tiba-tiba diserbu pihak berkuasa di Kuala Paka dekat sini, pagi kelmarin.

Hasil serbuan di rumah berdekatan pangkalan nelayan yang dipercayai sering menjadi port lepak kumpulan penagih itu, tiga suspek berjaya ditahan termasuk dua daripadanya difahamkan adik beradik kepada gadis penkid berkenaan.

Hasil ujian saringan awal air kencing  mendapati gadis berusia 19 tahun itu bebas daripada pengaruh dadah.

Bagaimanapun perasaan lega gadis yang berasal dari Paka itu tidak kekal lama apabila semakan rekod polis mendapati dia gagal hadir perbicaraan atas  dakwaan satu kes lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

Akhirnya gadis yang pernah memiliki rekod positif dadah jenis methampethamine itu dihadapkan ke mahkamah sebelum terpaksa meneruskan kehidupan selama enam bulan di sebalik tirai besi akibat gagal menjelaskan denda RM2,500 yang dikenakan ke atasnya.

Selain gadis terbabit, 22 lagi penagih turut ditahan dalam serbuan berasingan pada hari sama oleh sepasukan polis narkotik diketuai Inspektor Ismail Omar sekitar Kuala Paka, Kampung Limbong dan Kampung Cacar.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor yang mengesahkan tangkapan tersebut memaklumkan 16 daripada kesemua yang ditahan didapati positif dadah jenis methampethamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua daripadanya disiasat mengikut Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah berbahaya.

Wednesday, October 17, 2012

contohi wanita ini lawan peragut

'Kau silap orang kalau nak ragut'
SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
17 Oktober 2012
'Kau silap orang kalau nak ragut'
Mangsa nekad mengejar peragut walaupun beg yang dilarikan hanya berisi RM2.
MELAKA - “Kau silap orang lah kalau nak ragut,” kata seorang remaja perempuan yang berang selepas  berjaya menangkap seorang lelaki yang meragut begnya di Telok Emas, di sini, malam kelmarin.
Peragut yang salah sasaran bukan sahaja tidak dapat menikmati RM2 hasil aktiviti jenayahnya, malah lebih malang dia turut ‘diganyang’ mangsa berusia 19 tahun.

Mangsa nekad mengejar lelaki terbabit selepas mengejarnya sejauh kira-kira dua kilometer dengan menunggang motosikalnya.

Sinar Harian difahamkan, penduduk kampung berhampiran turut membantu mangsa menghalang suspek berumur 21 tahun itu melarikan diri sebelum menghubungi pihak polis.
Sementara itu, mangsa ketika ditemui berkata, dia yang mengesyaki sesuatu terus menghafal nombor pendaftaran motosikal  suspek sebaik sahaja suspek menutup lampu hadapan motosikalnya ketika di persimpangan lampu isyarat Kandang/Alai.

“Saya meneruskan perjalanan dan tidak sedar bila dia menghampiri kerana laluan di situ gelap. Tiba-tiba dia ragut beg saya hingga menyebabkan telefon bimbit saya dalam jaket yang pakai turut terjatuh.

“Tanpa berfikir panjang, apatah lagi keselamatan diri, saya terus kejar lelaki terbabit yang melarikan beg saya memasuki simpang ke Taman Seri Emas,” katanya.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik ini, suspek jatuh terpelanting dari motosikal selepas cuba menendang motosikalnya.

“Dia cuba tendang motosikal saya tetapi saya dapat elak, malah saya sempat baling air minuman yang saya bawa balik dari tempat kerja. Selepas itu dia jatuh di sebelah longkang.
“Mula-mula saya ingat dia sudah mati sebab dia langsung tak bergerak tetapi seorang pakcik memeriksanya berkata dia masih hidup. Saya tidak dapat kawal diri lalu memukulnya.

“Ketika itu juga saya berkata ‘Kau silap orang lah kalau nak ragut. Kau buat macam ni seolah-olah kau hina perempuan. Kalau perempuan lain mungkin boleh jerit macam tu sahaja tapi dengan aku, aku kejar sampai lubang cacing,” katanya.
Menurutnya, dia yang masih trauma bagaimanapun menguatkan semangat untuk ke tempat kerja keesokan hari apabila disuruh ibunya dan menasihatkan supaya wanita lain berhati-hati serta tidak cuai sepertinya.
“Jangan letak beg dalam raga motosikal kerana memudahkan peragut mencapainya," katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam.

Menurutnya, mangsa yang bekerja di sebuah restoran makanan segera di Melaka Raya menunggang motosikal sendirian, dalam perjalanan balik ke rumahnya di Serkam, Jasin.
Katanya, sebelum kejadian, mangsa menyedari suspek memadamkan lampu motosikal jenis Yamaha ditunggangnya ketika mereka berada di persimpangan lampu isyarat Alai/Kandang sebelum meneruskan perjalanan.

“Namun apabila sampai di laluan berbukit di hadapan sebuah sekolah agama, suspek meragut beg mangsa yang diletakkan dalam raga motosikal mangsa jenis Honda EX5.
“Mangsa yang berang mengejar suspek hingga ke Telok Emas sebelum suspek terjatuh sendiri ketika cuba menendang motosikal mangsa apabila tiba di laluan mati di Jalan Seri Emas Utama,” katanya di sini, semalam.
Salehhudin berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kandang, sementara suspek yang cedera seluruh anggota badan dihantar ke Hospital Melaka.
“Selain motosikal suspek, beg mangsa mengandungi RM2 dijadikan barang kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, “ katanya.

Saturday, October 13, 2012

ibu tunggal dipukau

Mangsa pukau hilang RM500,000




PETALING JAYA – Seorang ibu tunggal yang juga bekas eksekutif syarikat swasta di Amerika Syarikat mendakwa menanggung kerugian hampir RM500,000 selepas dipukau oleh seorang kenalan wanitanya.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Madam G, 55, (gambar) mendakwa, lebih malang lagi dia turut kehilangan sebuah kereta jenis Toyota Camry dan rumah yang akan dilelong oleh pihak bank.
Menceritakan kisah hitam yang dialaminya, wanita keturunan Punjabi itu mendakwa, dia terpaksa hidup dalam keadaan sengsara sejak tiga tahun lalu selepas tidak sedarkan diri dengan apa yang dilakukan.
Dakwanya, wanita terbabit telah melakukan manipulasi terhadap harta miliknya apabila dia berjaya mengeluarkan wang tunai melalui beberapa transaksi.
“Bukan setakat itu, dia turut berjaya memalsukan dokumen penjualan rumah saya di Sri Damansara tanpa persetujuan saya,” katanya pada sidang akhbar di Subang Jaya dekat sini semalam.

jel 50, rotan 18, usia baru 21

Rogol pelajar: Penghantar surat dipenjara 50 tahun

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Seorang penghantar surat hari ini dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 50 tahun dan 18 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua tuduhan merogol seorang pelajar di kawasan semak di Gombak, dekat sini, pada April tahun lepas.
Hakim Rozianayati Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Mazrin Mustafa, 21, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagi tuduhan pertama, Mohd Nazrin dihukum penjara 25 tahun dan lapan sebatan manakala pertuduhan kedua yang sama dia dihukum penjara 25 tahun dan 10 sebatan.
Hakim memerintahkan hukuman penjara tersebut dijalankan serentak mulai hari ini.
Dalam penghakimannya, Roszianayati berkata Jabatan Kimia mengesahkan asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh terdapat di dalam kemaluan mangsa dan tiada kecacatan dari segi pengambilan sampel yang dibuat.
Mengikut fakta kes, mangsa yang berusia 15 tahun ketika itu pulang dari sebuah pusat beli-belah di Jalan Imbi di sini bersama jirannya menaiki sebuah motosikal apabila ditahan oleh tertuduh yang mendakwa dirinya polis.
Tertuduh kemudian membawa mangsa ke satu kawasan semak sebelum dia dirogol.
Mohd Nazrin didakwa merogol pelajar itu dua kali tanpa kerelaannya, di kawasan semak di Gombak, di antara pukul 1.40 pagi hingga pukul 4.30 pagi, 3 April 2011.
Bagi kedua-dua tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
"Saya menghadapi tekanan perasaan dan pelajaran terganggu di sekolah. Semua impian dan cita-cita saya dah hancur," kata mangsa ketika memberi keterangan di mahkamah.
Seramai 15 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberui keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzlin Abd Zawawi manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Yusoff Ag. Lah dan Mohd Firdaus Mohd Razi. - BERNAMA

Thursday, October 11, 2012

pencuri tetap ke lokap jua

Curi di Kajang, tangkap di Melaka


MUHD. NUR HISAMUDDIN (kiri) dan pegawainya menunjukkan salah sebuah kereta curi yang dirampas daripada lima lelaki pada sidang akhbar di Jasin semalam.


MELAKA – Kelicikan lima penjenayah yang melarikan lima buah kereta jenis Honda daripada bilik pameran kenderaan itu di Bandar Sungai Long, Kajang Selangor 25 September lalu tidak ke mana apabila kesemuanya diberkas selepas pulang dari Pulau Besar di sini kelmarin.
Suspek-suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu diberkas pada pukul 5.20 petang kelmarin sebaik menghabiskan masa selama enam jam untuk bersembahyang di pulau tersebut.
Kesemua penyangak tersebut datang dengan menaiki dua buah kereta jenis Honda Accord pada pukul 10 pagi sebelum menaiki bot untuk ke pulau berkenaan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd. Nur Hisamuddin Hashim berkata, pihaknya terus membuat intipan di Jeti Anjung Batu pada pukul 4.20 petang selepas mendapat maklumat mengatakan kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, sebaik sampai, pihaknya yang membuat pemeriksaan mendapati kereta itu tidak mempunyai cukai jalan selain menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Kita kemudian telah menunggu selama satu jam sebelum mendapati lima lelaki berkenaan terus

Friday, October 5, 2012

pura2 pengsan menyelamatkan nyawa

Remaja diculik tiga lelaki guna van putih

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TRAUMA...mangsa menceritakan detik cemas kepada wartawan Harian Metro.
TRAUMA...mangsa menceritakan detik cemas kepada wartawan Harian Metro.
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang remaja perempuan berpura-pura pengsan selepas dipukul tiga lelaki yang menculiknya dalam sebuah van menyelamatkannya daripada menjadi mangsa rogol, bunuh dan bakar dalam kejadian di Bandar Sri Permaisuri, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang berusia 17 tahun berjalan keseorangan ke sebuah sekolah di kawasan berhampiran untuk menjemput sepupunya berusia lapan tahun pulang apabila tiba-tiba van putih berhenti dan terus menariknya masuk ke dalam kenderaan itu.
Bagaimanapun, selepas 500 meter perjalanan, mangsa berpura-pura pengsan sejurus dipukul sebelum berjaya melarikan diri ketika tiga lelaki terbabit keluar untuk menculik seorang lagi gadis berhampiran jambatan laluan komuter di Salak Selatan.

Menceritakan kejadian itu, mangsa yang ingin dikenali sebagai Iqa berkata, setiap hari dia menghantar sepupunya itu ke sekolah.

Tuesday, October 2, 2012

berlawan dengan perompak

4 beranak belasah perompak
SYAMILAH ZULKIFLI
2 Oktober 2012
Polis melakukan siasatan terhadap kereta mewah milik mangsa.
Polis melakukan siasatan terhadap kereta mewah milik mangsa.
Kejadian rompak di seremban
Kejadian rompak di seremban.
Kepala anak sulung mangsa yang cedera akibat dihentak dengan pistol.
Kepala anak sulung mangsa yang cedera akibat dihentak dengan pistol.
SEREMBAN – Enggan berputih mata, empat beranak nekad membelasah seorang perompak yang cuba melarikan kereta mewah milik mereka di Taman Kwang Tong, Templer, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam itu, tujuh sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia 2 tahun dan sebulan, berdepan detik mencemaskan apabila diserang dua lelaki bersenjatakan pistol.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ho, 58, berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga mahu menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga di bandar ini.

Menurutnya, dia bersama isteri, dua anak berusia 38 dan 24 tahun termasuk dua cucunya berada di dalam kereta, sedang menunggu menantunya yang masih berada di dalam rumah.

Bagaimanapun katanya, ketika berada di dalam kereta, seorang lelaki tiba-tiba meluru ke arah mereka dan mengugut menggunakan sepucuk pistol.

"Dia ugut akan melepaskan tembakan sambil mengarahkan kami keluar.

"Perompak mungkin meletakkan kereta tidak jauh dari kawasan kediaman kami sebelum bertindak," katanya.

Ho berkata, mereka mengikut arahan suspek kerana takut dicederakan dan dia turut mengarahkan isteri membawa dua cucu mereka masuk ke dalam rumah.

Menurutnya, suspek memintanya menyerahkan kunci kereta atau memilih menyerahkan wang sebanyak RM30,000.

Namun katanya, disebabkan dia enggan menyebabkan suspek mula berang lalu menghentak kepala anak sulungnya menggunakan pistol.

“Jadi saya serahkan sahaja kunci kereta kerana tidak mahu anak sulung terus dicederakan. Suspek terus meluru ke dalam kereta dan cuba menghidupkan enjin.

 “Namun, kami tidak mahu terus mengalah dan kedua-dua anak saya yang tidak berpuas hati cuba mematahkan usaha suspek melarikan kereta kami dengan salah seorang anak saya mencekik leher suspek.

“Jadi, saya mengambil peluang memukul tangan suspek menyebabkan pistol yang dipegangnya terjatuh sebelum saya mengambil dan menyimpan pistol tersebut ke dalam poket seluar,” katanya.

Ho yang bekerja sebagai subkontraktor berkata, seorang rakan suspek yang menunggu di dalam kereta menyedari rakannya diserang, bertindak melanggarnya anak beranak.

Katanya, dia dan anaknya menolak suspek keluar dari kereta menyebabkannya terjatuh sebelum nyaris dilanggar rakannya sendiri.

“Insiden menakutkan ini tidak berhenti setakat ini sahaja kerana rakan suspek yang mula naik angin turun dari kereta sambil membawa sebatang besi dan memukul anak sulung saya.

“Ketika itulah, saya dan seorang lagi anak cuba melawan mangsa. Isteri saya juga turut membantu memukul mangsa menggunakan kayu menyebabkan berlaku pergelutan beberapa minit,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua suspek yang cedera dipukul segera melarikan diri dengan menaiki kereta mereka.

“Saya percaya suspek mahukan kereta mewah milik anak sulung saya yang baru beberapa bulan dibeli,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek dipercayai lingkungan 20-an.

“Ketika kejadian, mereka tidak memakai topeng dan menaiki kereta jenis Mercedes menggunakan nombor pendaftaran WVY9188.

“Kita percaya suspek mengalami kecederaan dan memerlukan rawatan. Jadi, saya minta kepada semua klinik atau hospital untuk menghubungi segera mana-mana balai polis berhampiran jika suspek terbabit cuba mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api 1971.

susahnya kalau tidak percaya ditipu

100 pembeli emas berang

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Lebih 100 perunding dan pembeli emas berhimpun di depan sebuah syarikat memperdagang emas di Kuchai Lama, di sini, selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu premis itu, semalam.
Serbuan dijalankan mulai jam 2 petang dengan kerjasama polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas syarikat terbabit dipercayai menjalankan aktiviti mengambil deposit secara haram daripada lebih 50 ribu pelanggan.

Menurut jurucakap BNM, syarikat sama yang beroperasi sejak 2007 dan didaftarkan di bawah Sendirian Berhad, pernah didakwa kerana kesalahan sama pada 2009.
“Selepas didakwa, syarikat terbabit menukar nama pada tahun lalu dan meneruskan aktiviti perdagangan.

“Sehingga kini, BNM dan agensi berkenaan yang turut menjalankan serbuan sedang menyiasat mengikut akta dan kesalahan di bawah bidang kuasa masing-masing,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, serbuan serentak turut dijalankan ke atas sebuah lagi syarikat pelaburan emas yang didaftarkan mengikut nama sama di Singapura dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan sama ada syarikat itu mempunyai kaitan dengan syarikat di Malaysia.
Dalam serbuan itu, BNM merampas dokumen urus niaga syarikat terbabit, komputer, emas dan wang tunai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 25 (1) Bafia dan Seksyen 4 (1) Akta Pengubahan Wang Haram.

Sehingga jam 10 malam tadi, tiga pejabat urusan syarikat terbabit dipenuhi ratusan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak penguat kuasa melakukan serbuan menyebabkan sepasukan polis ditempatkan di lokasi serbuan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Seorang perunding emas yang hanya mahu dikenali sebagai Eddy, 50, berkata, mereka dijangka memperoleh emas yang dibeli dua minggu lalu esok (hari ini).

“Serbuan ini menyebabkan kami gagal mendapat emas yang dibeli kerana ia mungkin disita pihak berkuasa untuk siasatan.

“Ini menyebabkan urusan pengagihan imbuhan pembelian emas kepada pembeli di bawah perunding masing-masing akan tergendala,” katanya.

Sementara itu, BNM dalam kenyataan akhbar berkata, pihaknya mengadakan serbuan dengan kerjasama polis dan KPDNKK terhadap syarikat itu dan serbuan sama dijalankan terhadap syarikat nama sama di Singapura.

tipu jongkong emas

Syarikat jongkong emas diserbu

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Sebuah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd. yang dipercayai menjalankan urus niaga bernilai kira-kira RM4 bilion termasuk melibatkan pelaburan kerajaan negeri dan orang kenamaan (VIP) diserbu pihak berkuasa hari ini.
Serbuan itu dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Difahamkan, siasatan dan serbuan terhadap syarikat itu yang terletak di Jalan Kuchai Lama di sini dilakukan setelah beberapa pelabur yang menjadi mangsa tampil membuat laporan polis baru-baru ini.
Sumber memberitahu, syarikat berkenaan sebelum ini pernah terlibat memperdayakan pelabur melalui skim pelaburan berbentuk piramid.
Menurutnya, syarikat itu bagaimanapun ditutup dan pemiliknya menghilangkan diri selepas kegiatan mereka terbongkar.
"Bagaimanapun, pemilik syarikat sama dipercayai kembali menubuhkan syarikat pelaburan baru menggunakan nama lain untuk memperdayakan pelabur.
"Kali ini, syarikat berkenaan menawarkan pelaburan emas bagi menarik pelabur yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kerajaan negeri, VIP dan artis," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, ada beberapa mangsa sanggup membuat pelaburan mencecah jutaan ringgit kerana dijanjikan pulangan yang lumayan.
Difahamkan, selain menawarkan pelaburan kepada rakyat tempatan, syarikat berkenaan turut mempunyai cawangan di Singapura dan memperdayakan pelabur di negara jiran itu.
Menurut sumber itu, aktiviti penipuan pelaburan emas itu berkembang luas di seluruh negara tetapi laporan polis paling banyak diterima daripada mangsa di Perak.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan di sini memaklumkan bahawa satu operasi serbuan telah dilakukan hari ini terhadap Genneva Malaysia Sdn. Bhd.
Menurut kenyataan itu, syarikat tersebut dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh agensi-agensi penguat kuasa berkenaan.
"Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura juga telah mengambil tindakan yang sama ke atas Genneva Pte. Ltd. di republik itu.
"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melabur wang mereka bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.
Pada Mei lalu, sebuah akhbar melaporkan transaksi jual beli dan pelaburan emas syarikat Genneva Malaysia didapati tidak mematuhi sepenuhnya peraturan hukum syariah dan undang-undang negara.
Ini disahkan sendiri oleh Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin.
Pada 1 Ogos lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat laporan polis terhadap syarikat pelaburan emas itu yang didakwa menjalankan urus niaga syariah tidak mematuhi keputusan muzakarah itu.
Sementara itu, kira-kira 400 pelabur dan juru runding syarikat itu berkumpul di hadapan pejabat syarikat tersebut sejak petang ini selain terkejut dengan serbuan pihak berkuasa.
Mereka tidak berpuas hati dengan tindakan itu kerana mendakwa syarikat berkenaan beroperasi secara sah dan tidak pernah menipu pelanggan sejak ditubuhkan pada tahun 2010.
Seorang jururunding yang ditemui Mohd. Sani Royan, 52, berkata, urusan perniagaan di syarikat pelaburan tersebut berjalan lancar sejak dua tahun lalu sebaik sahaja dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, malah urus niaga pelaburan emas di syarikat tersebut adalah berdasarkan syariah supaya orang Islam boleh melabur emas dalam bentuk jongkong dan tablet.
"Saya yakin syarikat ini adalah betul dan membawa keuntungan berpatutan kepada pelabur termasuk saya yang merupakan seorang pesara kerajaan.
"Kami sebenarnya menjadi mangsa pesaing dari syarikat lain yang cemburu dengan kejayaan syarikat ini," katanya.