Sunday, May 19, 2013

hulur coklat tarik tangan

Hulur coklat sambil tarik tangan
Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2013
Hulur coklat sambil tarik tangan
Nur Ezzati bersama adiknya, Muhammad Syazreel Haikal, 10, dan Megat Muhammad Arif, 3, menunjukkan laporan polis dan fotofit suspek.
KEMAMAN– “Lelaki itu hulur coklat, tapi saya tak ambil lalu dia hulur sekali lagi sambil tarik tangan saya. Saya sempat tepis dan berlari ke arah rumah,” kata murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, Nur Ezzati Nadhirah Amaram yang nyaris menjadi mangsa culik ketika pulang dari sekolah, Rabu lalu.

Ketika kejadian kira-kira jam 1.30 petang, sebuah van berwarna perak secara tiba-tiba berhenti berdekatan Nur Ezzati ketika dia berjalan pulang keseorangan kira-kira 200 meter dari rumahnya.

Menceritakan detik menakutkan itu, Nur Ezzati yang masih trauma berkata, selepas sebuah van berhenti, seorang lelaki berkulit gelap dipercayai Melayu turun dari van lalu menegurnya dan mahu menyerahkan sekeping coklat.

“Dia tegur saya ‘Adik nak coklat tak? Abang kenyang dah, ambillah’ sambil hulur coklat, tapi saya tak cakap apa-apa sebab takut dan ingat pesan mama yang melarang saya bercakap dengan orang tak dikenali. Lepas saya tepis tangan dia, saya lari sekuat hati ke arah rumah, waktu saya toleh ke belakang saya tengok van itu mengundur dan berlalu pergi.

“Waktu lihat van itu, saya tengok ada antara empat atau lima orang lelaki dan semuanya pakai cermin mata hitam termasuk lelaki yang hulur coklat,” katanya semalam kepada Sinar Harian.

Jarak sekolah dan rumahnya hanya kira-kira 500 meter dan ketika kejadian, Nur Ezzati melalui hadapan padang futsal Binjai dan pulang sekolah agak lewat kerana menjalani latihan untuk sambutan Hari Guru.

“Mulut lelaki itu senget sedikit sebelah kiri dan pakai baju berwarna gelap. Dia macam sebaya abah saya, mungkin dalam lingkungan umur 40-an.

"Saya sempat tengok nombor pendaftaran van itu yang bermula dengan huruf T dan nombor 3 di belakang,” katanya yang mengakui takut untuk ke sekolah kerana khuatir akan berulang perkara sama.

Sementara itu, ibu Nur Ezzati yang juga suri rumah, Roziah Harun, 43, berkata, dia terduduk apabila mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu selepas pulang ke rumah pada waktu Maghrib.

Katanya, pada waktu pagi hari kejadian, dia menghantar anak ketiganya itu ke sekolah seperti biasa namun tidak mengambil anaknya itu pada waktu pulang sekolah kerana berada di Kuala Terengganu bagi menyelesaikan urusan.

Berikutan itu, mereka membuat laporan polis di Balai Polis Chukai kira-kira jam 10.27 malam pada hari sama dan fotofit suspek pula siap kelmarin.

“Saya sendiri pun trauma, pada malam itu saya terkejut dalam tidur dan masih teringatkan kejadian yang menimpa anak saya. Tapi saya syukur sebab anak selamat.

“Jadi saya harap ibu bapa, masyarakat dan anak berjaga-jaga kerana kita tidak mahu peristiwa yang menimpa anak saya ini berlaku lagi. Ibu bapa perlu sentiasa mengawasi dan memberi ingatan
kepada anak untuk elak kejadian culik berlaku,” katanya sambil berharap polis dapat membuat rondaan lebih kerap terutama ketika waktu pergi dan pulang dari sekolah.

Katanya, kejadian itu perlu dipandang serius kerana kes culik yang kerap terjadi di kawasan Pantai Barat sebagaimana yang disiarkan media massa sekarang turut berlaku di Pantai Timur.

Friday, May 10, 2013

macau scam lagi

Sindiket Macau Scam tumpas

Sekumpulan warga China yang disyaki terlibat dalam Macau Scam ditahan di sebuah banglo di Kuching, Sarawak, semalam. - Utusan/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN
KUCHING 9 Mei - Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama polis dari Taiwan dan China menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian melibatkan perpindahan wang melebihi RM4 bilion dikenali sebagai Macau Scam di sini hari ini.
Kejayaan ini berikutan tertangkapnya 84 warga asing dan seorang lelaki tempatan di dua buah rumah mewah di bandar raya ini pagi ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi, suspek berusia antara 20 hingga 30-an terdiri daripada 55 warga Taiwan, 29 warga China dan seorang warga tempatan ditahan di dua buah banglo di Laman Bong Ching dan Jalan Bampfylde.
Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, 55 suspek warga Taiwan terdiri daripada 31 lelaki dan 24 perempuan dan seorang lelaki warga tempatan ditahan di banglo pertama di Laman Bong Ching.
Beliau berkata, sebanyak 29 suspek warga China terdiri daripada 16 lelaki dan 13 perempuan ditahan di banglo di Jalan Bampfylde.
"Modus operandi yang digunakan adalah menyamar sebagai anggota polis, sama ada dari China atau Taiwan, menghubungi mangsa memaklumkan kononnya akaun bank mereka sedang disiasat kerana disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah dan mungkin akan dibekukan.
"Setelah berjaya menakutkan mangsa, seorang lagi ahli sindiket akan menelefon mangsa dan menyamar sebagai pegawai bank serta mencadangkan mereka memindahkan wang ke dalam akaun sementara yang beroperasi di luar negara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Acryl Sani, polis turut merampas wang tunai lebih RM10,000, 113 unit telefon, 11 unit komputer riba, dua unit komputer desktop, 11 peralatan sokongan internet seperti modem dan router serta 12 unit telefon bimbit.
Sindiket tersebut dipercayai menjalankan kegiatan sejak Februari lalu menggunakan kediaman tersebut sebagai pusat operasi untuk membuat panggilan telefon kepada mangsa yang kebanyakan merupakan warga asing.
Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, sindiket terbabit menggunakan Voice Over Internet Protocol (VoIP) yang membolehkan mereka membuat panggilan telefon dari Kuching ke China atau Taiwan.
Beliau berkata, kesemua suspek akan diekstradisi ke negara masing-masing untuk menghadapi pendakwaan.