Tuesday, April 30, 2013

cinta dgn mat gelap rugi juta2

Cinta beracun warga Afrika


SYED ISMAIL (kiri) menunjukkan barangan rampasan daripada sindiket Love Scam yang tumpas pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.


KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket penipuan internet Love Scam yang dikendalikan 14 lelaki warga Afrika selepas tiga wanita warga China kerugian hampir RM9.5 juta selepas masing-masing terjerat dengan ayat-ayat cinta ahli sindiket itu pada Disember tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, kesemua suspek yang berumur antara 25 dan 33 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di empat buah premis di Taman Mutiara Indah, Puchong pada Jumaat lalu.
Menurut beliau, ketiga-tiga mangsa yang menetap di China itu mendakwa, mereka berkenalan dengan ahli sindiket itu melalui laman sosial Yahoo Messenger yang menggunakan nama samaran Goodman.
"Setiap mangsa terpedaya dengan ayat-ayat cinta suspek-suspek itu yang kemudian turut berjanji akan memberi emas atau berlian kepada mangsa-mangsanya.
"Salah seorang mangsa membuat transaksi sebanyak RM4.5 juta ke dalam akaun bank tempatan milik seorang warga tempatan manakala dua lagi mangsa turut membuat transaksi wang masing-masing kepada ahli sindiket yang menggoda mereka," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini semalam.

Thursday, April 25, 2013

peragut dibelasah

Penyamun parah dibelasah orang ramai


SEORANG lelaki parah selepas dibelasah orang ramai di Seremban semalam.


SEREMBAN - Malang menimpa seorang lelaki apabila dia bukan sahaja gagal mendapatkan hasil samun malah, ditinggalkan rakan apabila melihat dirinya teruk dibelasah oleh orang awam dalam kejadian di Biz Avenue di Seremban 2 dekat sini semalam.
Kejadian pukul 3 petang itu berlaku apabila suspek bersama seorang lagi rakannya yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z cuba menyamun rantai leher seorang lelaki berusia 34 tahun.
Jurucakap polis berkata, mangsa yang enggan menurut arahan cuba melawan menyebabkan suspek terus menetak kepala lelaki itu sebanyak dua kali sebelum cuba melarikan diri.

Friday, April 12, 2013

barang bukti hilang

Wanita dakwa barang kemas RM50,000 arwah ibu disimpan polis hilang

11 April 2013
KUANTAN -  Seorang wanita hari ini membuat laporan polis selepas mendapati barangan kemas bernilai lebih RM50,000 milik keluarganya yang dijadikan bahan bukti dalam kes pembunuhan ibunya pada 1999 hilang dalam simpanan polis.

Tuan Rozita Tuan Kechil, 46, berkata barangan kemas itu berupa seutas rantai leher bermutiara, sepasang subang, seutas loket, seutas rantai tangan dan seutas rantai leher yang didakwanya hilang selepas disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Tuan Rozita telah membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam pada 15 September  lalu serta menghubungi Pegawai Penyiasat kes berkenaan, namun tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga kini.

"Saya dimaklumkan pegawai terbabit telah berpindah ke tempat lain, saya gagal menghubunginya lagi. Saya hanya mahu mendapatkan semula barangan kemas milik arwah ibu saya yang dimaklumkan kepada saya yang telah hilang," katanya dengan ditemani peguamnya Mohd Fadzli Mohd Ramly ketika membuat laporan di Balai Polis Kuantan hari ini.

"Kes sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana itu merupakan barangan kes dalam simpanan polis dan tidak sepatutnya hilang apabila dituntut semula," katanya.

Mohd Fadzli pula berkata, kehilangan harta pusaka milik keluarga mangsa menimbulkan persoalan sama ada peti besi yang menyimpan barang kemas itu diceroboh atau sebaliknya namun berharap polis dapat menjalankan siasatan semula dengan teliti dan telus.

"Kami berharap kes ini dapat diselasaikan dengan segera dan jika tiada apa-apa maklum balas diterima, kami tidak menolak kemungkinan akan memfailkan tuntutan sivil di mahkamah bagi memastikan keluarga mangsa mendapatkan semula hak  mereka,” katanya.

Ibu Tuan Rozita, Nik Khazanah Wan Yaakob, 50, seorang peniaga barang kemas ditemui rentung dalam van miliknya selepas dibakar tiga penagih di Kampung Kempadang di sini pada 4 Jun 1999.

Kesemua mereka kemudiannya dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2001. - Bernama
Artikel Berkaitan

ditipu

Ibu tunggal rugi hampir RM30,000 ditipu lelaki ajak berniaga

10 April 2013
PETALING JAYA - Seorang ibu tunggal di Muar, Johor mendakwa kerugian hampir RM30,000 apabila ditipu seorang lelaki yang kononnya ingin menjalankan perniagaan bersamanya.

Mangsa yang dikenali sebagai Fatimah, 42, berkata beliau berkenalan dengan lelaki yang dikenali sebagai Ally, 35, itu dalam satu program di Melaka pada 2011.

Fatimah yang juga seorang penjawat awam di Melaka berkata selepas beberapa bulan berkenalan, lelaki tersebut menawarkan peluang untuk menjana pendapatan sebelum Fatimah melaburkan sebanyak RM12,000.

"Beliau menawarkan membuat perniagaan membekalkan komputer riba dan minta saya keluarkan modal RM12,000 dan berjanji akan memulangkan kembali duit saya beserta keuntungan RM20,000," katanya pada sidang media di pejabat Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, dekat sini hari ini.

Katanya selepas pemberian RM12,000 itu, beliau telah beberapa kali memberikan wang kepada lelaki itu kononnya untuk menyelesaikan masalah berkaitan perniagaan.

Ibu kepada dua orang anak itu menyedari ditipu pada penghujung tahun lepas apabila lelaki tersebut sukar untuk dihubungi malah beliau pernah dihamburkan dengan kata-kata kesat kerana asyik menghubunginya.

"Bulan Mac baru-baru ini saya telah ke rumahnya dan memberitahu isterinya tentang penipuan tersebut, hal itu menyebabkan beliau berang dan mengugut untuk melakukan sesuatu yang buruk," katanya yang kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, Melaka.

Sementara itu, Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Prof Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berkata, sebanyak empat aduan diterima pihaknya mengenai penipuan terhadap individu yang sama membabitkan kerugian sehingga RM50,000.

Beliau berkata, daripada aduan yang diterima kebanyakan mangsa adalah rakan atau saudara yang memang dikenali lelaki terbabit.

"Saya meminta sesiapa yang merasakan ditipu oleh individu yang sama atau menjadi mangsa tipu dalam pelaburan supaya menghubungi pejabat saya di talian 03-5622 5717," katanya. - Bernama

Tuesday, April 9, 2013

geng tumpas

Kumpulan samun, cabul guru tumpas
NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
8 April 2013
Kumpulan samun, cabul guru tumpas
Tun Hisan (dua,kiri) menunjukan alat ubah suai nombor chasis enjin yang dirampas selepas polis memberkas semua lapan lelaki Jumaat lalu.
SHAH ALAM – Kumpulan penjenayah ini bukan hanya menyamun dua guru tadika malah turut mencabul kehormatan mereka di hadapan murid-muridnya di Bukit Sentosa, baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 7 Januari itu, dua lelaki bersenjatakan parang memecah masuk tadika dan terus mendapatkan guru yang sedang mengajar sebelum menyamun dan mencabul kehormatan mereka.

Penjenayah kemudiannya memecah masuk empat buah rumah di kawasan berhampiran dan melarikan pelbagai barang.

Mereka juga dipercayai menyamun seorang peniaga nasi lemak dan lima pelanggan yang sedang beratur di tepi jalan di Kuala Selangor, 19 Januari lalu.

Bagaimanapun kegiatan kumpulan ini disekat sepenuhnya dalam serbuan di sebuah rumah di Wangsa Maju, Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 1.20 petang itu, lapan lelaki, berusia 20 hingga 30 tahun, ditahan. Katanya, polis merampas 57 telefon bimbit, 47 utas jam tangan, lapan buah motosikal curi, kerangka motosikal dan tiga buah kereta.

Tun Hisan berkata, polis turut merampas pelbagai senjata tajam digunakan ketika menyamun dan alatan curi kenderaan.

“Kumpulan ini aktif sejak awal 2012 dan turut terlibat dalam kejadian samun di beberapa buah negeri antaranya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan serta Melaka.

“Ahli kumpulan akan menggunakan tiga motosikal jenis Kawasaki Kips berwarna merah, biru dan hijau ketika melakukan samun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Katanya, polis turut menyerbu rumah ibu bapa kepada salah seorang suspek dan turut merampas antaranya lapan buah motosikal curi serta 10 geran motosikal.

Monday, April 8, 2013

sendikit kereta mewah

Sindiket tipu jual kereta mewah tumpas

TUN Hisan Tun Hamzah (kanan) memeriksa kereta mewah yang dibeli dari seorang lelaki menggunakan geran dan nombor pendaftaran palsu di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor, di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 7 April - Polis menumpaskan sindiket menjual kereta mewah menggunakan nombor pendaftaran palsu dengan tertangkapnya seorang lelaki di kediamannya di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dekat sini pada 4 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, sindiket yang menjalankan operasi sejak tahun lalu, mensasarkan penjualan kenderaan mewah hasil samun dan curi di sekitar Lembah Klang.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa geran kenderaan dan cukai jalan palsu serta seunit komputer riba.
Katanya, penahanan suspek berusia 48 tahun adalah hasil maklumat orang awam selepas 15 pembeli yang kebanyakannya ahli perniagaan membuat laporan polis selepas mengesyaki ditipu oleh suspek yang menjual kenderaan mewah di bawah paras harga sebenar.
"Antara kenderaan yang diserahkan oleh pembeli berkenaan kepada polis ialah kereta mewah jenis Toyota Vellfire, Porsche dan Mini Cooper.
"Modus operandi sindiket ialah hanya berjumpa dengan pembeli sebelum menawarkan kereta mewah dengan harga yang rendah.
"Pembeli terbabit tampil membuat aduan kerana mengesyaki kenderaan yang dibeli adalah kenderaan curi ekoran harga ditawarkan terlalu murah dan terdapat beberapa dokumen yang meragukan semasa urus niaga," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah.
Menurut Tun Hisan, hasil pemeriksaan Unit Forensik mendapati kesemua kenderaan mewah terbabit telah ditukar nombor casis dan bagi menyakinkan pembeli semasa urus niaga, suspek turut memberikan geran baru yang dipercayai palsu.
Beliau berkata, nilai kesemua 15 kereta mewah yang diserahkan kepada polis dianggarkan kira-kira RM3.4 juta, namun hasil maklumat yang diperoleh melalui pembeli, kenderaan jenis Toyota Vellfire hanya dijual pada harga RM40,000, manakala Porsche RM80,000.
"Kami percaya masih ramai lagi pembeli kereta mewah telah tertipu dengan sindiket berkenaan dan meminta sesiapa yang pernah berurus niaga dengan suspek dikenali sebagai Nor Jaya Lokman atau popular dengan gelaran 'Kenong' supaya tampil membantu siasatan.
"Suspek kini direman sehingga 9 April ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan, Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 420 kanun yang sama," katanya.
Dalam pada itu, katanya, polis juga sedang menjalankan siasatan bagaimana suspek boleh memiliki geran dan cukai jalan palsu.
Katanya, sesiapa yang pernah berurusan dengan suspek boleh menghubungi Deputi Supritendan Kamarudin di talian 012-3047022 atau Inspektor Zulkifli (013-3546379) untuk memberi maklumat.

ketua ajaran sesat menipu

Ketua ajaran sesat ditahan

KUANTAN 7 April - Seorang lelaki dipercayai ketua kumpulan ajaran sesat dikenali sebagai 'Tuhan Harun' ditahan pada Khamis lalu, bagi membantu siasatan kes penipuan bernilai RM400,000, lima tahun lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, penahanan itu dibuat setelah polis menerima laporan daripada seorang kontraktor berusia 56 tahun yang mendakwa ditipu suspek pada 2008.
Menurutnya, pada Oktober 2008, mangsa terbabit telah didatangi suspek yang menawarkan pelaburan di Islamic Business Central, Sungai Buloh, Selangor, melalui projek perumahan, import dan eksport barangan dari China serta mengedar telefon bimbit di Brunei.
"Suspek telah menawarkan mangsa untuk membeli seunit saham bernilai RM200,000 dan dijanjikan pulangan 40 peratus setiap bulan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sepasukan anggota penguatkuasaan dari Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah menahan suspek bersama pengikutnya semasa sedang menjalankan 'ritual' bermain muzik berentak rock pada waktu Maghrib sambil menyanyikan lagu dengan lirik memuja dirinya.
Turut ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Lorong Pandan Damai di sini ialah 31 individu termasuk enam wanita berusia 12 hingga 49 tahun dalam kumpulan itu.
Mengulas lanjut kes penipuan itu, Sharifuddin berkata, tawaran dibuat suspek telah menarik minat mangsa sehingga sanggup menyerahkan wang kepada lelaki itu di rumahnya.
"Selepas menerima wang RM200,000 itu, suspek sekali lagi meminta mangsa membuat pelaburan tambahan iaitu seunit saham lagi.
"Mangsa yang mempercayai suspek tidak membantah dan menyerahkan lagi RM200,000 kepada lelaki itu di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang tinggal di bandar ini akhirnya membuat laporan polis pada 2011 selepas gagal mendapatkan pulangan keuntungan seperti dijanjikan.
Katanya, suspek merupakan seorang komposer berasal dari Kampung Jelutung Kok Lanas dekat Ketereh, Kelantan dan memiliki Sijil Agama dari Yayasan Islam Kelantan direman sehingga Selasa ini untuk disiasat lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

rawatan terlampau

Penagih maut dipercayai dipukul

Di bilik inilah Mohd. Ilias Ibrahim dipercayai dipukul hingga meragut nyawanya di sebuah pusat rawatan pemulihan dadah di Kampung Lambor, Tumpat, Kelantan, kelmarin. - UTUSAN/ Zuharman Mohammad Nor
TUMPAT 7 April - Seorang pemuda maut dipercayai dipukul semasa menjalani rawatan pemulihan di sebuah pusat rawatan dadah tradisional di Kampung Lambor dekat sini malam tadi.
Mangsa, Mohd. Ilias Ibrahim, 27, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tumpat pada pukul 8 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, mangsa dikejarkan ke hospital oleh pihak pengurusan pusat rawatan itu selepas tidak sedarkan diri ketika sedang menjalani rawatan pemulihan bersama penghuni yang lain.
Beliau berkata, polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.30 malam selepas pihak hospital membuat laporan bagaimanapun curiga dengan kematian mangsa kerana ada kesan lebam di beberapa bahagian badannya.
"Hasil bedah siasat mendapati mangsa yang berasal dari Pasir Mas, mati akibat dipukul dan terdapat kesan kecederaan di beberapa bahagian badan seperti di belakang badan, lengan dan kepala.
"Sehubungan itu, kematian mangsa disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini.
Sementara itu, pengasas pusat rawatan tersebut, Mohd. Zain Abu Bakar, 72, berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 7 malam selepas seorang penghuni pondok terbabit memaklumkan mangsa tidak sedarkan diri kerana dikatakan terjatuh dalam bilik air.
Katanya, dia segera mengarahkan beberapa penghuni dan pihak pengurusan mengangkat mangsa ke dalam kenderaan untuk dibawa ke hospital
"Saya lihat mangsa mengalami kecederaan lebam di belakang badan, bengkak di kepala dan lengan serta dimaklumkan mangsa pernah menghentak kepala ke dinding sebelum terjatuh dua kali.
"Sebelum kejadian, mangsa pernah mengadu kepada saya mahu pulang ke rumah kerana tidak selesa berada di pusat rawatan ini dan saya sungguh terkilan dengan peristiwa tersebut," katanya.
Katanya, sepanjang 14 tahun dia mengasas pusat rawatan berkenaan, tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu.

kempunan hasil samun

Kempunan nikmati hasil samun, jatuh bumbung ketika cuba melarikan diri

TINDAKAN seorang perompak mahu melarikan diri melalui bumbung rumah setelah memecah masuk sebuah rumah di Subang Jaya, semalam, sempat dirakam.
KUALA LUMPUR 7 April - Hasrat dua lelaki untuk menikmati hasil samun dari sebuah rumah teras di Jalan SS 17/3C, Subang Jaya dekat sini semalam, tidak kesampaian setelah mereka terjatuh dari bumbung dan berjaya ditahan polis semasa cuba melarikan diri.
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, kedua-dua penjenayah terbabit sudah bersedia untuk melarikan diri dari rumah itu semasa penghuninya keluar bekerja apabila dikepung polis.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, sepasukan anggota polis peronda bergegas pergi ke rumah teras dua tingkat itu selepas dihubungi oleh adik ipar kepada pemilik rumah yang melaporkan kejadian samun tersebut.
Beliau berkata, tindakan pantas polis tiba di lokasi kejadian sebelum suspek sempat melarikan diri menyebabkan dua penjenayah itu panik lalu memanjat bumbung rumah untuk meloloskan diri.
Katanya, perbuatan mereka bagaimanapun mengundang padah apabila mereka terjatuh dan berjaya dicekup oleh polis.
"Semasa kejadian, pemilik rumah tiada di kediamannya kerana mempunyai urusan kerja di Klang dekat sini, manakala adik ipar bersama dua anak yang turut tinggal di rumah tersebut pula keluar ke kedai berhampiran untuk membeli barang.
"Apabila pulang, adik ipar mangsa terkejut mendapati sebuah kereta Wolkswagen Golf yang tidak dikenali berada di hadapan rumah manakala keadaan dalam kediaman itu berselerak lalu menghubungi polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, sebaik sahaja menerima panggilan daripada pengadu, sepasukan anggota polis segera pergi ke rumah tersebut dan berjaya memberkas suspek setelah mereka terjatuh dari bumbung bersama barang-barang yang dicuri.
Beliau berkata, pihaknya percaya ada seorang rakan suspek menunggu dalam kereta semasa kejadian tetapi sempat melarikan diri.
Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemui semula barang-barang yang dicuri dari rumah mangsa iaitu wang tunai RM5,000, barang kemas dan telefon bimbit yang dianggar bernilai RM20,000.
"Siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes pecah rumah," katanya.