Saturday, October 26, 2013

rompak am bank

Suspek kes tembak, rompak Ambank larikan RM450,000


KUALA LUMPUR 25 Okt. - Pengawal keselamatan yang menembak mati pegawai wanita dalam kejadian rompakan di Ambank cawangan Subang Jaya Rabu lepas, melarikan wang tunai berjumlah RM450,000.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supt Tan Ah Chua ketika dihubungi Bernama hari ini, berkata maklumat itu disalurkan oleh pihak bank kepada polis.
Mengenai identiti sebenar suspek yang menggunakan nama Ardi Hamza itu, beliau berkata perkara berkenaan masih dalam siasatan.
"Polis sedang menunggu pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara," katanya.
Dalam kejadian 6.18 petang itu, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita.
Mangsa yang sudah berkerja selama 16 tahun di bank itu meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat ditembak dengan ’pump gun’ oleh suspek. - BERNAMA

rakan suspek ditangkap

3 ditahan kes tembak pegawai bank


MOHD. Shukri Dahlan menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki polis selepas terbabit dalam kes rompak dan menembak mati pegawai bank di USJ Subang Jaya dalam sidang akhbar di Pusat Media Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, semalam. - UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH
SHAH ALAM 25 Okt. - Polis menahan dua pengawal keselamatan dan seorang wanita yang mempunyai kaitan dan dipercayai bersubahat dengan suspek lelaki yang menembak mati seorang pegawai operasi AmBank di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya, dekat sini kelmarin.
Dua pengawal keselamatan terbabit merupakan saudara kepada suspek manakala wanita itu pula merupakan isterinya. Kesemua mereka berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.
Ketiga-tiga suspek itu merupakan rakyat negara jiran tetapi dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Kemuning, Klang pada malam kejadian.
Susulan penahanan ketiga-tiga mereka, polis menemui wang tunai RM20,000, dipercayai sebahagian daripada RM450,000 hasil rompakan suspek dari peti besi bank berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, penahanan itu hasil siasatan pasukan khas yang ditubuhkan untuk menyelesaikan kes rompakan dan menembak mati pegawai operasi bank tersebut.
Beliau berkata, polis percaya selepas melarikan diri dari bank berkenaan, pengawal keselamatan itu telah mengagih-agihkan sebahagian kecil hasil rompakan kepada ketiga-tiga suspek.
Menurut beliau, wang tunai RM20,000 itu disembunyikan di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya yang merupakan tempat kerja dua pengawal keselamatan yang ditahan.
"Polis sedang memburu suspek yang dipercayai masih berada di negara ini bersama hasil rompakan dan selaras pump gun yang digunakan untuk menembak mati mangsa.
"Kita juga percaya suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza, 37, bukan berasal dari Sabah, sebaliknya dari negara jiran dan dia dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu.
"Polis sedang menyiasat bagaimana suspek memperolehi kad pengenalan dan mempunyai permit senjata api," kata beliau kepada pemberita di Pusat Media Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Difahamkan, suspek yang diburu berasal dari Sulawesi, Indonesia.
Dalam kejadian pukul 6.18 petang kelmarin, Norazita Abu Talib, 37, bersama suspek serta empat kakitangan bank sedang membuka sebuah peti besi berisi wang sebelum suspek tiba-tiba melepaskan tembakan sejurus selepas pintu itu dibuka.
Tembakan itu mengenai muka Allahyarham Norazita mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.
Menurut Mohd. Shukri lagi, tiga yang ditahan kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan siasatan juga menjurus kepada penglibatan mereka dalam perbuatan jenayah suspek.
Beliau memberitahu, polis juga sedang menyiasat penyebaran gambar serta video kejadian rompakan di AmBank dan rakaman suspek menembak mati mangsa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Kita telah membuat laporan dan sedang menyiasat adakah penyebaran itu dilakukan oleh anggota polis atau orang awam kerana perkara itu adalah satu kesalahan dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan," tegas beliau.

Saturday, October 19, 2013

abang jongang tipu aweq


Kuala Lumpur – Seorang mangsa setiap bulan. Itu purata gadis negara ini yang menjadi mangsa kelicikan seorang kasanova berasal dari Singapura yang setakat ini merogol dan memperdaya 10 mangsa sejak Januari lalu.
Suspek baru berusia 25 tahun dan semua mangsa dipancing melalui Internet dengan memaparkan gambar lelaki berwajah tampan di laman Facebook (FB) sedangkan wajah dia sebenarnya tidak kacak, malah bergigi jongang.
Sumber polis berkata, lelaki berbangsa Cina itu juga bijak mengumpan mangsanya dengan menjanjikan peluang perniagaan serta kemewahan.
Menurutnya, semua mangsa lelaki kaki belit itu berusia 18 dan 19 tahun yang turut membabitkan gadis Melayu, Cina serta India.
“Mangsa terbarunya ialah seorang remaja perempuan berusia 19 tahun berasal dari Johor yang membuat laporan polis 13 Oktober lalu mendakwa dia bukan saja dirogol, malah turut disamun hingga kerugian lebih RM2,000,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Menurut sumber itu, di dalam aduannya mangsa memaklumkan dia mengenali suspek menerusi laman FB pada Ogos lalu dan lelaki itu mengumpannya dengan pelbagai kemewahan termasuk mengajaknya menjadi rakan kongsi untuk membuka perniagaan kafe siber.
“Selepas dipujuk hampir dua bulan melalui FB, mangsa yang berasal dari Johor kemudiannya datang ke ibu kota pada 4 Oktober lalu untuk bertemu suspek.
“Mangsa tiba di Pudu Sentral kira-kira jam 8.30 malam dan disambut suspek, namun mangsa terkejut apabila mendapati wajah suspek bukanlah tampan sebagaimana dipaparkan di dalam FB, sebaliknya hodoh dan bergigi jongang,” katanya.
Sumber itu berkata, mangsa yang tidak mempunyai pilihan kerana tiada kenalan lain di ibu kota memberitahu dia terpaksa mengikuti suspek sebelum dibawa penjenayah itu ke sebuah hotel di ibu kota.
“Mangsa dikurung dalam hotel itu selama enam hari dan dirogol berulang kali. Pada 10 Oktober barulah mangsa berjaya keluar dari hotel itu selepas suspek menghilangkan diri ketika mangsa menunggunya di lobi hotel berkenaan untuk dihantar ke stesen bas.
“Suspek turut melarikan wang tunai dan telefon bimbit milik mangsa bernilai RM2,200,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian pulang ke kampung di Johor dan menceritakan kejadian kepada keluarga sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.
“Kes berkenaan dirujuk ke Balai Polis Tun HS Lee dan sedang disiasat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur,” katanya.
Harian Metro difahamkan, setakat ini pihak berkuasa belum berjaya menahan lelaki terbabit, namun usaha mengesannya sedang giat dijalankan. – HMetro.