Friday, January 14, 2011

Kemaruk Kontrak Kena Tipu

Kontraktor diminta waspada individu tawar tender sekolah

KUANTAN 13 Jan. - Para kontraktor di negeri ini diminta berwaspada terhadap seorang individu yang menyamar sebagai pegawai pelajaran daerah untuk menawarkan tender membuat laluan pejalan kaki di sekolah di negeri ini.

Individu yang dikesan menjalankan penipuan itu melalui panggilan telefon, akan meminta wang pendahuluan RM1,500 hingga RM3,000 bagi mendapatkan tender.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Zaini Jass berkata, wang itu yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun peribadi kononnya untuk sumbangan kepada sekolah terbabit.

Setakat ini kata beliau, pihaknya menerima lapan aduan berhubung kes tersebut sejak Oktober tahun lalu.

"Kes terbaru dilaporkan pada Isnin lalu melibatkan dua kontraktor kelas F, masing-masing di Kuantan dan Bera.

"Kita percaya suspek adalah orang sama berdasarkan nombor telefon dan akaun yang diberikan kepada mangsa," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini semalam.

Menurut Zaini, setakat ini, jumlah kerugian dikesan adalah sebanyak RM24,000 melibatkan lapan kontraktor yang dilaporkan sejak Oktober tahun lalu sehingga bulan ini.

Selain empat kes di daerah ini, jelasnya, pihaknya juga mendapat dua laporan di Temerloh dan masing-masing satu kes di Jerantut dan Pekan.

"Jangan mudah tertipu dan percaya kepada tawaran seperti ini. Kalau boleh siasat dahulu sebelum buat apa-apa tindakan," tegasnya.

Beliau menambah, siasatan kes-kes itu dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment