Thursday, January 13, 2011

Pukul Syok Kena Tahan

Kes pukul: 5 pelajar direman 4 hari

ALOR SETAR 12 Jan. - Polis hari ini menahan reman lima pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini bagi membantu siasatan kes pukul seorang pelajar tingkatan dua di asrama sekolah tersebut, Ahad lalu.

Perintah tahanan reman tersebut yang bermula hari ini dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen, Datin Chan Lee Fong bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Kesemua pelajar terbabit yang memakai baju lokap tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini dengan menaiki kenderaan polis pada pukul 10 pagi sebelum keluar kira-kira sejam kemudian.

Sejurus selepas tiba di mahkamah, pelajar terbabit menundukkan kepada dan menutup muka dengan tangan bagi mengelak wajah mereka dirakam jurugambar.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu berkata, pelajar terbabit ditahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

"Polis akan melengkapkan kertas siasatan kes ini sebelum mengemukakannya kepada pihak pendakwaan untuk dituduh di mahkamah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kesemua pelajar terbabit ditahan pukul 2.30 petang semalam setelah menerima laporan berhubung dakwaan pukul oleh pelajar tingkatan dua tersebut.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini, Mohd. Syazwan Johari, 14, mengalami retak tulang lutut kiri akibat dibelasah lima pelajar tingkatan tiga di asrama sekolah itu pada Ahad lalu.

Mohd. Syazwan mendakwa, dalam kejadian itu, dia ditarik ke sebuah bilik sebelum dibelasah oleh para pelajar itu.

No comments:

Post a Comment