Thursday, September 27, 2012

perogol bersiri

Polis tahan lelaki rogol wanita selepas temu duga

26 September 2012
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang merogol dan merompak wanita selepas sesi 'temuduga' yang dilakukan di dalam bilik hotel, ditahan polis awal hari ini di sebuah rumah di Seksyen 27, Shah Alam.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata hasil risikan polis, lelaki berusia 29 tahun itu yang diklasifikasikan sebagai perogol bersiri dan amat dikehendaki polis sejak 2010, ditahan di rumahnya pada 2 pagi ketika sedang tidur.
  
Beliau berkata modus operandi lelaki itu ialah mengiklankan tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan di internet, khas untuk golongan wanita sahaja.
  
Suspek akan menghubungi mangsa yang kononnya disenaraikan pendek bagi mengatur sesi temuduga di hotel-hotel mewah dengan meminta mangsa mendaftar masuk atas nama mangsa sendiri.
  
"Dia akan bagi alasan tak bawa kad pengenalan lah, duit tertinggal la. Ini semua bagi mengelakkan namanya direkod dan disyaki pihak berkuasa. Mangsa sebelum itu juga diminta membawa barangan berharga seperti I-Pad, telefon bimbit dan sebagainya," katanya.

Ku berkata selepas dirogol, barangan berharga milik mangsa juga dilarikan, namun, mangsa tidak dicederakan.
  
Beliau berkata suspek dipercayai terlibat dalam beberapa kes yang sama, yang dikesan sejak 2010 di Kuala Lumpur dan Selangor berdasarkan modus operandi yang digunakan.
  
"Namun kita percaya suspek terlibat dalam banyak lagi kes, (yang sama), namun tidak dilaporkan mangsa," katanya dan meminta kaum wanita yang pernah menjadi mangsa lelaki itu supaya tampil bagi membantu siasatan polis.
  
Beliau berkata suspek yang merupakan seorang jurujual direman pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 dan 392 Kanun Keseksaan, masing-masing atas kesalahan rogol serta melakukan rompakan. - Bernama

Saturday, September 22, 2012

jangan mudah percaya pada sebarang pelaburan


Rugi RM10 bilion

Rugi RM10 bilion

Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat pelaburan emas berpangkalan di luar negara termasuk di Panama, Geneva dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dikesan menjadikan golongan kenamaan dan berpengaruh di negara ini termasuk mereka yang bergelar Datuk Seri sebagai mangsa penipuan dengan nilai kerugian keseluruhan lebih RM10 bilion.
Tanpa sebarang lesen atau pendaftaran perniagaan, dengan jumlah pelaburan antara RM4 juta hingga RM36 juta, rangkaian perniagaan terbabit turut mensasarkan syarikat berkaitan kerajaan negeri sejak empat tahun lalu dengan jumlah pelaburan antara RM4 juta dan RM36 juta.
Taktik mengaut keuntungan mudah itu dikesan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menerima aduan daripada ejen berkaitan selepas mereka menanggung kerugian disebabkan kegagalan mendapatkan ‘habuan’ seperti dijanjikan.

Wednesday, September 19, 2012

bomoh sex


Bomoh nikah batin didakwa


KEADAAN Mohd. Sombas ketika ditahan oleh JHEAINS dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu kelmarin.


SEREMBAN - Seorang lelaki yang diberkas berhubung dakwaan memperdayakan wanita untuk tujuan seks dilepas tanpa dibebaskan dengan bon jaminan sebanyak RM15,000 bagi empat kes berasingan di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.
Bon jaminan itu dikenakan terhadap Mohd. Sombas Abdullah, 48, sementara menunggu keempat-empat pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1992 Negeri Sembilan dibacakan terhadapnya pada 9 Oktober depan.
Di Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd. Sombas dikenakan bon jaminan RM12,000 dengan enam penjamin kakitangan awam atas tiga kesalahan mengikut Seksyen 49, 50 dan 52 Enakmen Jenayah Syariah 1992 Negeri Sembilan.
Hakim Syarie Abu Zaky Mohamad mengeluarkan perintah bon jaminan tersebut bagi kesalahan mencela agama Islam, mempermain ayat suci al-Quran dan hadis serta melakukan perbuatan ajaran salah.
Sementara itu, di Mahkamah Rendah Syariah, Hakim Syarie Hamizan Mohd. Nor mengenakan bon jaminan RM3,000 terhadap Mohd. Sombas dengan dua penjamin kakitangan awam.
Lelaki yang mendakwa dirinya sebagai bomoh itu disiasat mengikut Seksyen 77 Enakmen Jenayah Syariah 1992 Negeri Sembilan iaitu memperdaya serta melarikan wanita untuk tujuan seks.
Pendakwa Syarie Kanan, Wan Mohd. Helmi Masran dan Zulzaidi Mahmod dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengendalikan kesemua kes yang dikenakan terhadap tertuduh manakala Mohd. Sombas tidak diwakili peguam.
Mohd. Sombas yang sudah berkeluarga gagal membayar bon jaminan tersebut. Tiada ahli keluarga tertuduh kelihatan di mahkamah. Malam tadi tertuduh ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai sebelum dia kemudian ditahan di penjara.
Kosmo! semalam melaporkan seorang bomoh yang didakwa memperdaya pesakitnya yang terdiri daripada wanita untuk melakukan hubungan seks dengan alasan perubatan terperangkap apabila dia ditahan oleh JHEAINS di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu di sini kelmarin.
Sebelum melakukan hubungan seks dengan pesakitnya, lelaki itu didakwa turut mengadakan upacara nikah batin dengan wanita berkenaan.

bunuh rakan kerana wang

Bunuh rakan untuk larikan wang


ANGGOTA polis memeriksa sebuah van keselamatan yang terlibat dalam kejadian samun dan bunuh di Taiping semalam.


TAIPING – Seorang pengawal keselamatan yang memaksa rakan setugasnya menggunakan laluan lain ketika hendak pulang ke pejabat rupa-rupanya berniat jahat apabila dia disyaki menembak mati mangsa sebelum lesap bersama wang lebih RM1.2 juta semalam.
Kejadian pukul 3 petang di Jalan Tekah-Aulong berdekatan sebuah pasar raya di sini itu mengakibatkan Hasnol Hafiz Saad, 28, mati akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat di dada. Mangsa ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan kecederaan parah di perut, dada, bahu kanan dan betis kiri.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek dalam perjalanan pulang selepas memungut wang daripada mesin deposit tunai beberapa buah bank di bandar ini.
Suspek yang dikenali sebagai Mohamad Hafizuddin Zainal Abidin (gambar kecil), 25, yang menghilangkan diri bersama wang dan selaras senapang kini menjadi buruan polis.
Seorang saksi mendakwa, dia melihat suspek melarikan diri bersama beberapa beg mengandungi wang dengan menaiki sebuah kereta Honda Civic hitam yang berada beberapa meter di belakang van keselamatan tersebut.
Kebiasaannya, mereka akan menggunakan Jalan Taman Long Jaafar di Kampung Boyan di sini iaitu hanya sejauh lima kilometer untuk pulang ke pejabat tetapi semalam Hasnol telah dipaksa menggunakan Jalan Tekah-Aulong selepas mengutip wang. Jarak jalan itu kira-kira 10 kilometer dari pejabat mereka.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, pemeriksaan mendapati enam daripada 13 karung berisi wang lesap.
“Enam karung itu dipercayai mengandungi wang lebih RM1.2 juta dan siasatan awal mendapati bahagian luar van itu tidak mempunyai kesan dilanggar.
“Tempat kejadian bukan laluan yang biasa digunakan untuk pulang ke pejabat selepas mengutip wang. Van itu didapati terbabas di kiri jalan dipercayai akibat tindakan agresif suspek,” kata Yusof yang masih menyiasat jumlah sebenar wang yang dilarikan serta penglibatan individu lain.
Tambahnya, polis kini giat memburu Mohamad Hafizuddin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping di sini untuk bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di talian 05-829 1222.

kemaruk rogol

Gadis dirogol lelaki kemaruk seks dalam bilik air
Wartawan Sinar Harian
19 September 2012
Gadis dirogol dalam bilik air, mangsa lelaki kemaruk seks
Mangsa diheret dari bilik tidurnya sebelum dirogol dalam bilik air.
Gadis dirogol dalam bilik air, mangsa lelaki kemaruk seks
Suspek turut menggeledah bilik tidur mangsa untuk mencari barang berharga.
Gadis dirogol dalam bilik air, mangsa lelaki kemaruk seks
Suspek dipercayai memecah masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci.
KUALA LIPIS - Berikutan tidak mampu mengawal nafsu serakah, seorang lelaki sanggup menceroboh rumah seorang gadis sunti di Kampung Gemunchor, di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Lebih menyayat hati, suspek bersama dua rakan sanggup mengikat ibu gadis terbabit sebelum mengheret mangsa yang berusia 17 tahun ke dalam bilik air lalu merogolnya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, sebelum kejadian berlaku, suspek bersama dua rakannya dipercayai pergi ke rumah mangsa dengan menaiki sebuah kereta.

“Suspek dan dua rakannya menaiki sebuah kereta dan berhenti di hadapan rumah mangsa sebelum memecah masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci.
“Suspek kemudiannya mengikat ibu mangsa di bahagian dapur sebelum mengheret mangsa yang ketika itu berada di rumah tamu ke bilik air untuk merogolnya,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, selepas merogol mangsa, suspek bertindak merampas gelang tangan emas milik ibu mangsa sebelum melarikan diri.

“Namun dalam keadaan tergesa-gesa, gelang tangan itu terjatuh di pekarangan rumah mangsa. Mangsa kemudiannya bertindak berlari ke rumah kakaknya yang terletak kira-kira 500 meter untuk meminta pertolongan,” katanya.

Abdul Razak berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membuat laporan polis sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Berdasarkan siasatan awal daripada mangsa dan ibunya, polis percaya suspek mengenali keluarga terbabit. Ibu mangsa juga dipercayai dapat mengecam suspek berdasarkan bentuk tubuhnya.

“Polis giat mengesan suspek yang dipercayai tinggal berhampiran dengan rumah mangsa,” katanya.

Manakala, mangsa pula menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, akibat cedera selepas bergelut dengan suspek.


Acu parang

Sementara itu, nenek mangsa yang mahu dikenali sebagai Wan ketika ditemui Sinar Harian memberitahu, dia turut berada dalam sebuah bilik di rumah sama ketika kajadian itu berlaku.

Wan berkata, anaknya berada di dapur, sementara cucunya pula sedang mengemas pakaian dalam bilik tidur kerana mahu kembali ke asrama sekolahnya, semalam.

Kemudian dia dikejutkan dengan kekecohan di ruang dapur sebelum mendengar anak dan cucunya meminta tolong.

"Saya keluar dari bilik selepas mendengar suasana kecoh di dapur sebelum melihat dua lelaki sedang mengacukan golok ke leher anak saya. Kemudian, saya nampak seorang lagi lelaki mengheret cucu keluar dari bilik dan dibawa ke bilik air," katanya.

Menurutnya, akibat ketakutan, dia masuk ke dalam bilik sebelum menolak katil ke pintu untuk menghalang penjenayah masuk.

"Penjenayah itu menendang pintu bilik, tapi tak dapat membukanya. Ketika itu, saya masih dengar jeritan anak dan cucu meminta tolong. Saya hanya mampu menangis sambil berdoa supaya keluarga tidak diapa-apakan penjenayah itu," katanya.


Mangsa pengsan

Wan berkata, lebih kurang 15 minit kemudian, keadaan kembali tenang apabila semua penjenayah melarikan diri. Menurutnya, dia memberanikan diri keluar dari bilik untuk melihat anak dan cucunya.

"Ketika keluar, saya dapati anak saya sedang menangis, manakala cucu sudah tiada dalam rumah kerana keluar meminta bantuan kakaknya yang tinggal berhampiran," katanya.

Manakala, kakak mangsa yang enggan dikenali berkata, adiknya berlari dalam keadaan separuh bogel ke rumahnya untuk meminta pertolongan.

"Saya mendengar jeritan adik meminta tolong dan memberitahu dia bersama ibu jadi mangsa rompakan. Namun saya terkejut apabila melihat dia dalam keadaan separuh bogel dan memberikan sehelai kain batik untuk dipakai sebelum dia pengsan di rumah saya," katanya.

Sinar Harian difahamkan seorang daripada suspek adalah bekas banduan berusia dalam lingkungan 50-an yang pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan rogol. Lelaki itu dikatakan sudah mengamati pergerakan mangsa ketika bertemu di sebuah kenduri beberapa hari sebelum kejadian .

Tuesday, September 18, 2012

jangan terpedaya pada bomoh

'Pengamal perubatan Islam' ditahan ketika cuba lakukan seks ke atas pesakit

17 September 2012

SEREMBAN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains) menahan seorang lelaki yang mendakwa diri sebagai pengamal perubatan Islam ketika cuba melakukan seks ke atas pesakit wanitanya di sebuah rumah di Kampung LBJ di sini.

Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan Jheains pada pukul 12.30 tengah hari tadi, ketika cuba melakukan perbuatan keji tersebut yang didakwa sebahagian daripada cara rawatan, dengan seorang wanita berusia 24 tahun di rumah mangsa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jheains Ahmad Husaini Mustafa berkata pada mulanya, suspek dari Kuala Lumpur dihubungi mangsa untuk mengubati dirinya yang menghadapi masalah mendapatkan anak.

"Apabila tiba di rumah mangsa, suspek kemudian menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran untuk merawat mangsa dan melakukan 'nikah batin' iaitu menikahkan dirinya dengan wanita itu tanpa mengikut ajaran Islam yang sebenar.

"Suspek kemudiannya cuba mengambil kesempatan dengan melakukan seks ke atas mangsa yang ketika itu sudah terpedaya dengan rawatan lelaki itu, sebelum rumah itu diserbu Jheains," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ahmad Husaini berkata dalam serbuan yang dilakukan hasil maklumat dan aduan orang ramai, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai anak itu, ditahan sebelum sempat melakukan hubungan seks dengan mangsanya.

"Kita percaya suspek bukan seorang yang pandai agama tetapi menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran hanya untuk memperdaya mangsa sebelum mengambil kesempatan ke atas mangsa," katanya.

Beliau berkata beberapa barangan turut dirampas termasuk senaskhah Al-Quran dan sebuah kitab yang dipercayai digunakan untuk memperdaya mangsa.

Katanya, lelaki itu dipercayai sudah lama menjalankan kegiatannya, dan siasatan awal mendapati suspek telah merawat tiga wanita.

Ahmad Husaini berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 49 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana mempermainkan ayat Al-Quran; Seksyen 50 Enakmen sama kerana mencemar dan menghina Agama Islam; dan Seksyen 77 Enakmen sama kerana memikat wanita untuk melakukan niat jahat. - Bernama

Sunday, September 16, 2012

jutawan pelarian

ARKIB : 15/09/2012

Jutawan pelarian dipenjara

JUTAWAN Pelarian... Hui Gao dalam perjalanan ke mahkamah di Hong Kong selepas berjaya diberkas di sempadan masuk ke wilayah tersebut dari negara China. - EDWARD WONG/SOUTH CHINA MORNING POST
BAYANGKAN pada suatu hari, akaun bank anda yang sememangnya anda sendiri tahu berapa jumlahnya tiba-tiba menunjukkan angka RM10 juta. Terbeliak mata anda bukan? Jauh di sudut hati anda pasti tahu ia berpunca daripada kesilapan pihak bank.
Namun apakah anda akan memaklumkan kepada pihak bank sekali gus berputih mata atau menghabiskan wang yang bukan hak anda? Senario itulah yang dialami oleh seorang lelaki berketurunan Cina, Hui 'Leo' Gao yang menetap di New Zealand, tiga tahun lalu bersama teman wanitanya ketika itu, Kara Hurring.
Daripada memulangkan semula wang tersebut kepada pihak bank, Gao memilih untuk menggunakan wang yang tidak pernah dimimpikannya itu. Menyedari hakikat wang itu bukan miliknya, dia kemudian melarikan diri ke China.
Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah nasib Gao apabila dia berjaya diberkas semula pada penghujung tahun lalu.
Mengimbau kembali insiden pada April 2009, nasib Gao berubah apabila bank Westpac secara tidak sengaja memasukkan NZ$10 juta (RM25 juta) ke dalam akaun Gao apabila dia memohon mendapatkan overdraf bagi membiayai perniagaan stesen minyak yang diusahakan bersama ibunya di Rotorua.
Dia pada asalnya memohon overdraf bagi jumlah NZ$100,000 (RM250,000) tetapi kesilapan kakitangan bank terbabit menyebabkan dia diberikan jumlah sehingga 100 kali ganda.
Dalam tempoh sebulan, pasangan itu telah memindahkan berjuta-juta dolar ke dalam bank di Hong Kong dan China. Selain digunakan untuk berjudi di Macau, beberapa juta dolar lagi dipindahkan ke dalam akaun bapa Gao, Alex Wang.
Kesilapan itu hanya disedari oleh pihak bank pada awal Mei tahun yang sama, ketika pasangan yang dikenali sebagai 'jutawan pelarian' itu telah pun melarikan diri ke Hong Kong.
Pada waktu itu sejumlah NZ$6.78 juta (RM16.95 juta) telah pun dipindahkan ke dalam akaun bank luar pesisir pantai.
Kes itu kemudian dibawa ke pengetahuan pihak berkuasa yang kemudian meminta campur tangan Interpol untuk menjejaki pasangan tersebut.
Selepas menjadi pelarian selama dua tahun, Gao akhirnya berjaya diberkas pada September 2011 ketika dia cuba memasuki Hong Kong melalui tanah besar China. Dia kemudian diekstradisi ke New Zealand.
Hurring pula ditangkap pada Februari 2011 ketika dia pulang ke New Zealand untuk memperbaharui pasport anak perempuannya yang berusia enam tahun.
Pada 23 Ogos lalu, Gao dihukum penjara empat tahun tujuh bulan oleh Mahkamah Daerah Rotorua di Wellington selepas dia mengaku bersalah atas tujuh tuduhan mencuri.
Hurring dijatuhi hukuman yang lebih ringan iaitu dikenakan tahanan rumah selama sembilan bulan dan diperintah membayar semula NZ$12,000 (RM30,000) yang diperolehinya dengan menggunakan kad kredit Gao.
Hukuman yang lebih ringan itu dikenakan sekalipun Hurring didapati bersalah selepas dibicarakan atas 25 tuduhan mencuri, tiga tuduhan dengan curangnya menggunakan satu dokumen dan dua tuduhan pengubahan wang haram.
Ketika mereka menjadi pelarian selama 22 bulan, Hurring telah melahirkan seorang anak lelaki Gao, sebelum mereka berpisah.
Mahkamah diberitahu bahawa wang sebanyak NZ$3.8 juta (RM9.5 juta) masih belum ditemui dan Gao gagal memberi penjelasan mengenai wang tersebut.
Hakim Philip Cooper dalam keputusannya menyatakan, Gao merupakan seorang oportunis meskipun kejadian itu bukan sesuatu yang dirancang. Namun, katanya, hukuman itu menggambarkan fakta bahawa dia telah memindahkan wang tersebut ke akaun luar pesisir pantai dan mengelak daripada ditangkap selama mungkin.
''Kamu ditangkap kerana kamu berjaya dikesan oleh pihak berkuasa Hong Kong, bukannya disebabkan kamu menyerah diri,'' tegas hakim tersebut.

Saturday, September 15, 2012

wartawan pun kena serang

Wartawan diserang lelaki berparang
Wartawan Sinar Harian
15 September 2012
Wartawan diserang lelaki berparang
Faizah (kiri) melakonkan kembali bagaimana dia diserang lelaki berparang.
PENDANG – Wartawan Sinar Harian Pendang, Ku Noor Faizah Ku Mustafa atau mesra dipanggil Faizah bersyukur kerana terselamat daripada diserang seorang lelaki berusia 30-an yang bertindak membawa parang dalam keadaan marah ke arahnya di Kampung Sungai Rotan semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 11.15 pagi apabila wartawan itu ke kampung terbabit bagi membuat liputan selepas menerima aduan melalui Pengerusi Majlis Ketua-Ketua Kampung (MKK) berkaitan masalah perparitan yang dihadapi beberapa penduduk di situ.

Faizah berkata, dia sempat melarikan diri dengan bertindak masuk segera ke dalam kereta lalu beredar selepas melihat lelaki terbabit meluru ke arahnya dengan memegang parang panjang sambil bercakap sesuatu yang kurang jelas.

Menurutnya, setibanya di hadapan dewan Umno Sungai Rotan, MKK terbabit yang telah menunggunya di situ dan memaklumkan liputan berkaitan masalah berkenaan terpaksa dibatalkan.
Kurang dua minit selepas itu tiba-tiba muncul sekali lagi lelaki terbabit dari rumah berhampiran membawa parang ke arahnya.

Sementara itu, MKK Sungai Rotan, Suraini Hamid berkata, beliau juga terkejut dan tidak faham dengan tindakan lelaki terbabit.

"Saya tak tahu apa motif lelaki itu berbuat demikian.

"Ini kerana keluarganya yang meminta saya membawa media melaporkan masalah perparitan di kawasan itu," katanya.

Kes itu telah dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

tipu kawan

Mangsa penipuan jual tanah kerugian jutaan ringgit
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
14 September 2012
Mangsa penipuan jual tanah kerugian jutaan ringgit
Abidin (kanan) dan Musa (dua, kiri) menunjukkan laporan polis dan dokumen pembelian tanah palsu oleh sindiket jual tanah.
ALOR SETAR - Hampir 10 pembeli mengalami kerugian ribuan ringgit setelah menjadi mangsa penipuan sindiket jual tanah di sekitar Kedah sejak beberapa tahun lalu.

Mangsa sindiket, Musa Abdullah, 74, berkata, dia tidak menyangka akan ditipu oleh sindiket ini kerana orang tersebut adalah kenalan rapatnya sejak dulu.

Katanya, ahli sindiket ini bijak berkata-kata dan pandai meyakinkan pembeli untuk membeli tanah yang ditawarkan dengan beberapa bukti dokumen pembelian.

“Ketika kejadian, ejen tanah yang juga kenalan rapat saya menawarkan sebidang tanah di Hutan Kampung untuk dijual dengan harga RM60,000. Bagaimanapun, sebelum membuat sebarang bayaran, saya dibawanya melawat ke sebuah tempat yang didakwa kawasan tanah yang akan dijual kepada saya.

“Setelah berpuas hati dengan lawatan dan dokumen geran yang diberikan, tanpa berfikir panjang saya terus bayar kepadanya RM60,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, katanya, tanah yang ditawarkan adalah bukan di tempat tersebut, sebaliknya di kawasan lain. Malahan pula, penama penjual tanah asal dalam dokumen tersebut juga adalah palsu.

“Saya mula sedar ditipu setelah proses penukaran nama di pejabat tanah ditolak kerana mendakwa dokumen yang diberikan adalah palsu.

“Tidak puas hati dengan penipuan ini, saya meminta ejen tanah itu supaya pulangkan wang tersebut kerana pembelian itu tidak sah. Bagaimanapun, dia enggan berbuat demikian.

“Atas faktor keselamatan, saya membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar. Namun tiada sebarang tindakan dan siasatan dikenakan terhadap dia sehingga hari ini,” katanya.

Sementara itu, Abidin Ahmad, 38, berkata, dia didatangi kenalan rapatnya itu pada 3 Ogos lalu di rumahnya yang terletak di Taman Hidayah, Jalan Langgar, di sini untuk mengambil wang pendahuluan pembelian tanah dengan harga RM10,000.

Katanya, selang beberapa hari kemudian, dia pergi ke pejabat tanah untuk membuat semakan status pembelian tanah tersebut. Namun, jawapan yang diberikan oleh pejabat tanah bahawa semua dokumen yang diberikan oleh ejen itu adalah palsu.

“Tidak berpuas hati dengan penipuan ini, saya membuat laporan di IPD Kota Setar untuk tindakan pihak berkuasa,” katanya.

Abidin berkata, lebih memeranjatkan apabila penama dokumen yang tertera pada geran tanah tersebut adalah seorang lelaki yang telah meninggal dunia pada 30 April 1986, namun masih
terdapat tandatangannya pada surat pembelian yang bertarikh 21 Mac 2012.

Dalam pada itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar turut mengesahkan menerima laporan berhubung isu penipuan pembelian tanah daripada hampir 10 orang. Menurut jurucakap polis, kes tersebut masih dalam siasatan.

Wednesday, September 12, 2012

dirogol kerana fb

Suspek kes rogol diberkas, sasar mangsa menerusi Facebook
HASNIZA HUSSAIN
12 September 2012
SHAH ALAM - Seorang pekerja sebuah syarikat penghantaran tidak serik walaupun pernah dituduh di mahkamah kerana terbabit dalam kes rogol, dia sekali lagi ditahan selepas dikesan melakukan perbuatan sama terhadap tiga lagi mangsa berusia belasan tahun.

Suspek berusia 20 tahun itu menyasarkan kenalan perempuan yang dikenali menerusi laman sosial facebook sebagai mangsa untuk memuaskan nafsunya.

Suspek bijak menjalinkan hubungan cinta dengan semua mangsanya, sebelum mengumpan mereka untuk ke rumahnya di Kampung Sungai Udang, Klang dan melakukan perbuatan terkutuk itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, suspek itu berjaya ditahan di rumahnya pada 6 September lalu, selepas mangsa terakhir berusia 13 tahun membuat laporan polis.

Beliau berkata, berdasarkan laporan mangsa terbabit, dia mendakwa dirogol suspek kira-kira dua minggu lalu.

"Perkara itu hanya terbongkar selepas keluarga mangsa memaksanya menceritakan kejadian yang berlaku kerana curiga dengan tindakannya yang tidak pulang ke rumah pada hari kejadian.

"Susulan itu, mangsa dan keluarganya membuat laporan polis, sebelum suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol," katanya pada sidang akhbar,
semalam.

Mohamad berkata, semakan mendapati suspek pernah dituduh di mahkamah pada 9 Mac lalu kerana melakukan satu kes rogol, namun dia dibebaskan dengan ikat jamin.

"Dalam tempoh jamin tersebut, suspek melakukan tiga lagi kes rogol membabitkan remaja berusia 13 hingga 16 tahun," katanya.

Tuesday, September 11, 2012

pak arab pukau

Pak Arab kebas RM150
Wartawan Sinar Harian
11 September 2012
Pak Arab kebas RM150
Mangsa kini bimbang didatangi individu tidak dikenali.
ALOR GAJAH - Kedatangan dua pelanggan warga Arab dipercayai sindiket Pak Arab Cepat Tangan untuk membeli 100 helai kertas hanya sekadar penyamaran sebelum melesapkan duit seorang pekerja di sebuah kedai alat tulis di pekan Masjid Tanah, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 petang itu, mangsa, Siti Khadijah Khalil, 19, berada di dalam kedai berkenaan didatangi suspek lelaki dan wanita berkenaan yang menyatakan mahu membeli 100 helai kertas namun tidak mempunyai duit pertukaran.

Menurut Siti Khadijah, suspek lelaki itu memintanya menunjukkan contoh wang kertas RM50, lantas dia ke belakang kedai untuk mengambil dompet.

“Suspek mengekori saya sementara majikan dan rakan melayan wanita terbabit di kaunter pembayaran. Sebaik saya mengeluarkan RM50, lelaki itu terus mencapainya dari tangan saya sambil membelek.

“Kemudian lelaki terbabit terus merampas dompet saya dan mengeluarkan kesemua wang,” katanya.

Katanya, dia yang terkejut terus menarik dompet itu sebelum lelaki itu merampasnya semula dan membelek setiap helaian wang kononnya mahu melihat nombor siri.

“Disebabkan takut, saya terus mendapatkan majikan di kaunter pembayaran. Sejurus tiba di kaunter, lelaki itu turut memasuki ruangan kaunter dan menarik sekali lagi dompet pada tangan saya,” katanya.

Menurutnya, dia yang takut diapa-apakan terpaksa membiarkan sahaja sebelum lelaki itu memasukkan sehelai kertas resit pembayaran.

“Menurut lelaki itu, dia akan datang semula ke kedai ini pada hari Isnin (semalam) sebelum beredar menaiki kereta Proton Wira,” katanya.

Siti Khadijah yang berasa tidak sedap hati segera memeriksa dompetnya mendapati wang RM100 dan RM50 hilang tanpa menyedari bila lelaki berkenaan melesapkannya sedangkan dia memerhati pergerakan lelaki itu.

“Saya berasa seperti dipukau apabila tidak melawan apa saja tindakan lelaki itu, malah saya hanya memerhatinya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan laporan berhubung kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau terserempak dengan individu berkenaan diminta menghubungi balai polis cawangan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah  di talian 06-5563222,” katanya.

gores dan menang untung 2 ratus ribu sehari

Kereta jadi tilam

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
RAMPAS...anggota penguat kuasa KPDNKK merampas  barangan elektrik dan tilam jed dalam serbuan, semalam.
RAMPAS...anggota penguat kuasa KPDNKK merampas barangan elektrik dan tilam jed dalam serbuan, semalam.
KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan ratusan ringgit, sebuah syarikat ‘gores dan menang’ mengaut keuntungan mencecah RM200,000 sehari hasil penipuan.
Mereka menjanjikan hadiah kereta mewah seperti dipamerkan pada kad yang diserahkan kepada mangsa untuk mencuba nasib, bagaimanapun sebaik mangsa menyerahkan wang tunai, mereka menukarkan hadiah kepada tilam jed yang hanya bernilai RM200.

Itu antara taktik syarikat terbabit yang turut merekrut beberapa kakitangannya bagi mengaburi mata pelanggan mereka.
Namun, kegiatan mereka tumpas sebaik pejabat latihan dan stor simpanan di tingkat satu Jalan Kuchai Maju 13, Kuchai Lama, di sini, diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jam 12 tengah hari, semalam.

Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan, Abu Samah Shabudin berkata, serbuan terbabit dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya sejak beberapa bulan lalu.

“Serbuan diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan, Amran Daud bersama empat anggota lain dan mendapatkan waran geledah berikutan premis terbabit tidak berpenghuni.
“Hasil serbuan, kami menemui sebuah stor simpanan yang ditempatkan tersorok di belakang almari. Anggota kami mengalihkan almari itu sebelum menemui pelbagai barangan seperti kad gores dan menang, tilam jed, mesin jahit, mesin urut kaki dan dapur elektrik,” katanya.

Menurut Abu Samah, premis itu dijadikan pejabat urusan dan pusat latihan kakitangan syarikat terbabit berdasarkan dokumentasi yang ditemui selain dijadikan stor simpanan.
“Sebelum ini KPDNKK sudah menyerbu tiga premis di Bandar Tasik Permaisuri, Sungai Besi dan Kuchai Maju 8 yang dipercayai didalangi kumpulan sama berdasarkan modus operandi dan dokumen yang ditemui,” katanya.

penyamar tnb menipu

Nenek rugi RM10,000 ditipu 2 ‘pekerja TNB’


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
ALOR GAJAH: Seorang warga emas kerugian kira-kira RM10,000 apabila diperdaya dua penyangak yang menyamar sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di rumahnya di sebuah kampung di Lubok Cina, di sini.
Difahamkan, dalam kejadian jam 11.30 pagi Selasa lalu, mangsa yang juga ibu tunggal berusia 79 tahun berada di rumahnya seorang diri.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, wanita itu didatangi dua lelaki menaiki Perodua Myvi berwarna putih dengan mendakwa dari TNB Alor Gajah dan memberitahu mahu melakukan pemeriksaan elektrik di setiap rumah. “Mangsa yang tidak mengetahui niat sebenar suspek membenarkan lelaki itu masuk ke dalam rumah untuk melakukan pemeriksaan pada peralatan elektrik.
“Seorang suspek berpura-pura melakukan pemeriksaan peralatan elektrik di dalam rumah, manakala rakannya mengambil gambar dalam dan luar rumah,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, seorang suspek kemudian menyuruh wanita itu mengambil kad pengenalan untuk direkodkan ke dalam buku catatan sebelum pemeriksaan selanjutnya dilakukan.

Katanya, tanpa berfikir panjang, mangsa masuk ke dalam bilik dan mengambil kad pengenalan dalam beg sebelum meletakkan semula beg itu di atas katil.
“Mangsa menyerahkan kad pengenalannya kepada seorang suspek yang bertindak mengisi butirannya. Selepas 15 minit di sekitar rumah mangsa, kedua-dua suspek menyatakan tugas mereka sudah selesai lalu meminta diri sebelum menghilangkan diri.

“Beberapa minit selepas suspek beredar, mangsa masuk ke dalam biliknya dan mendapati wang dalam sampul surat berjumlah RM750 hilang,” katanya.
Menurutnya, selain wang tunai, satu rantai leher, dua rantai tangan dan dua bentuk cincin emas disimpan dalam beg turut lesap.

Umar berkata, wanita itu mengalami kerugian dianggarkan RM10,000 selepas wang tunai dan barang kemasnya dilarikan dua lelaki terbabit.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkulit cerah, seorang daripadanya memiliki susuk tubuh kurus dan tinggi, manakala rakannya berbadan rendah.

“Polis menasihatkan orang ramai berhati-hati sekiranya didatangi individu berkenaan dan segera menghubungi balai polis berhampiran atau talian 06-5562222 untuk tindakan lanjut,” katanya.

mat hitam menipu

Didakwa tipu RM200,000

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MELAKA: Seorang pelajar wanita tempatan bersama rakan lelakinya warga Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini, semalam, atas tiga pertuduhan menipu seorang wanita membabitkan kerugian RM200,000 Jun lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Siti Elfina Azyze Ezami Azyze, 23, dari Taman Melawati, Kuala Lumpur, dan Fred Ajiri Okpeva, 27, dari Selangor mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaharah Hussain.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama seorang yang masih bebas menipu Teresa Fernandez, 56, dengan memperdayakannya bagi menyerahkan wang RM19,000 dengan memasukkannya ke dalam akaun AmBank.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama seorang yang masih bebas menipu mangsa sama dengan memperdayakannya bagi menyerahkan wang RM77,227.96 dengan cara memasukkannya ke dalam akaun AmBank.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di RHB Bank, Jalan Melaka Raya, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi masing-masing pada 1 dan 5 Jun lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa bersama seorang yang masih bebas menipu mangsa sama dengan memperdayakannya bagi menyerahkan wang RM85,000 dengan cara memasukkannya ke dalam akaun AmBank di AmBank, Jalan Melaka Raya, pada jam 11.46 pagi, 7 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420/109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin, mencadangkan kepada mahkamah supaya Siti Elfina Azyze diikat jamin RM100,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan, manakala tiada jaminan ditawarkan kepada Fred.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya mencadangkan ikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin warga Malaysia kepada Fred dengan syarat tambahan pasportnya disimpan mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Peguam M Tharuma Ratnam yang mewakili Siti Elfina Azyze memohon jaminan terhadap anak guamnya diringankan dengan alasan tertuduh masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu negara.

Dalam pada itu, peguam Krishnan Papoo yang mewakili Fred memohon jaminan diringankan kerana anak guamnya juga menuntut di IPTS dan bapanya hanya bekerja sebagai kakitangan kerajaan di Nigeria serta tidak mampu membayar jaminan yang terlalu tinggi.

Friday, September 7, 2012

orang tamak selalu rugi

Rugi besar ditipu penjual mesin


MOHAMAD NASIR (kiri) menunjukkan sebahagian komponen motosikal curi yang dirampas daripada dua lelaki pada sidang akhbar di Muar semalam.


MUAR - Seorang pekerja kilang kerugian hampir RM110,000 selepas diperdaya satu sindiket yang kononnya mampu membuat mangsa kaya dengan hanya membeli mesin penapis air dan mesin terapi kaki berharga RM1,500 pada September tahun lalu.
Wanita berusia 58 tahun dari Tanjung Agas di sini menyedari dia ditipu pada awal bulan ini apabila mendapati hadiah wang sebanyak RM155,000 yang dijanjikan penjual lelaki dan wanita tersebut tidak diterima hingga kini.
Modus operandi suspek ialah menjanjikan pulangan yang lumayan sekiranya mangsa membuat banyak pelaburan dalam tempoh yang ditetapkan.
Suspek akan memberikan pelbagai alasan sekiranya mangsa bertanya mengenai hadiah tersebut hingga mangsa sendiri akhirnya tersedar yang dia telah diperdaya.
Sepanjang tempoh itu, mangsa telah melakukan 13 transaksi untuk memasukkan wang ke dalam sebuah akaun sebelum merasa curiga lalu memberitahu hal berkenaan kepada anak saudaranya.
Anak saudara mangsa yang curiga telah membuat pemeriksaan di syarikat yang didakwa tempat suspek bekerja sebelum mendapati identiti lelaki dan wanita itu tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek kemudian berhenti menghubungi mangsa selepas menyedari tembelangnya pecah.
"Suspek berusia lingkungan 30-an. Mangsa kerugian RM109,570. Sindiket bijak memperdaya dengan menggunakan beberapa taktik tertentu termasuk memakai nama Bank Negara," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohamad Nasir memberitahu, pihaknya menahan dua lelaki berusia 16 dan 17 tahun di Parit Punggor dan Parit Unas di sini pada pukul 1.30 pagi, 28 Ogos lalu kerana terlibat dalam kes mencuri motosikal.
Katanya, salah seorang suspek menjadikan belakang rumahnya sebagai bengkel untuk meleraikan motosikal curi untuk menjual komponennya seperti enjin, ekzos dan brek cakera.

bakar musuh

Bakar musuh perniagaan

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
ROSAK...keadaan dalam kabin mangsa yang dibaling botol kaca bersumbu.
ROSAK...keadaan dalam kabin mangsa yang dibaling botol kaca bersumbu.
DIBALING...kabin milik mangsa di tempat kejadian.
DIBALING...kabin milik mangsa di tempat kejadian.
KUALA LUMPUR: Angkara berebut kawasan letak kereta, seorang lelaki bertindak kejam dengan menyimbah petrol dan membakar musuh perniagaannya hidup-hidup di sebuah tempat letak kereta berhampiran sebuah hotel di Cheras, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun terbabit terbakar seluruh badan dan dia yang masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) itu berada dalam keadaan kritikal. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, suspek dan mangsa berselisih faham mengenai kawasan tempat letak kereta yang menjadi tempat mereka mencari rezeki.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa berada dalam kabin di tempat letak kereta itu seorang diri sebelum didatangi suspek untuk berunding mengenai hal sama dan akibat tidak mendapat persetujuan daripada mangsa untuk melepaskan tempat letak kereta yang dijaganya itu, suspek naik angin dengannya.
“Suspek bertindak agresif dengan menyimbah petrol ke atas mangsa dan membakarnya hidup-hidup. Lelaki terbabit turut membaling dua botol kaca bersumbu ke dalam kabin di tempat letak kereta itu,” katanya.

Susulan itu, katanya, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai yang nampak mangsa dalam keadaan terbakar sebelum pasukan peronda polis dari Balai Polis Cheras bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, selepas tiba di lokasi, pihaknya menemui mangsa terbaring dengan kesan melecur seluruh badan dan dikejarkan ke PPUKM untuk rawatan kecemasan.
Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa dibakar dalam kabin berkenaan di tempat letak kereta itu.

“Mangsa mengalami kesan melecur di seluruh badan dan dilaporkan berada di tahap kritikal.
“Kami memburu suspek yang dipercayai musuh perniagaan mangsa dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh,” katanya.

pencuri adik beradik

Kongsi minat curi motor


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Dua beradik bukan saja berkongsi pekerjaan sama sebagai pengawal keselamatan, malah mereka turut berkongsi minat sama iaitu mencuri motosikal di sekitar Setapak dan Hulu Klang sejak beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, tabiat mencuri kenderaan pasangan adik-beradik itu terbantut kelmarin selepas mereka dicekup di Medan Aneka, Jalan Genting Klang bersama sebuah motosikal yang baru dicuri pada 29 Ogos lalu di Wangsa Maju.

Sumber polis berkata, anggota Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K) mengesan motosikal Yamaha Lagenda berwarna hitam yang digunakan dua beradik itu di Jalan Genting Klang namun mereka melarikan diri ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, intipan berterusan ke atas kedua-dua suspek itu berjaya menemui mereka semula jam 8.35 malam dan ketika hendak menahan mereka, adik-beradik itu menyedari kehadiran polis sebelum menaiki motosikal untuk beredar.

“Anggota U3K bersama dua anggota tentera dari Cawangan Siasatan Jenayah yang cuba menahan mereka dirempuh sebelum seorang daripada mereka diheret lebih 500 meter.

“Namun hasil kekuatan pihak berkuasa, kedua-dua suspek itu ditahan selepas bergelut dan soal siasat mendapati pasangan terbabit mengaku mencuri motosikal berkenaan di Jalan AU 1A/1B, Wangsa Maju milik seorang pelajar pada 29 Ogos lalu,” katanya semalam.
Sementara itu, Pegawai Turus Penguatkuasa Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kedua-dua suspek berusia 31 dan 26 tahun yang dipercayai adik-beradik itu berasal dari Batu 8, Hulu Klang.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan sebelum diserahkan ke Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut,” katanya.