Friday, June 29, 2012

bila buku bertemu ruas

Penjenayah kampung kantoi
Wartawan Sinar Harian
29 Jun 2012
Penjenayah kampung kantoi
Mat Petai terpaksa diangkat penduduk kampung ke kawasan lapang selepas ditemui terbaring di dalam kebun salak kerana mengalami kecederaan pada kaki kirinya.
MARANG – Kantoi. Demikianlah nasib seorang lelaki yang dipercayai aktif mencuri hasil tanaman penduduk di dua buah kampung selepas dia ditemui terbaring kesakitan kerana cedera di kawasan kebun salak di Sungai Serai, di sini.

Penjenayah kampung yang biasanya memilih buah petai sebagai habuan itu ditemui pemilik kebun salak itu, Salleh Sulaiman, 57, sebelum perkara itu dimaklumkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Serai dan JKKK Gondang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, JKKK, ahli Rakan Cegah Jenayah (RCJ) bersama penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian lalu menahan lelaki terbabit, sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, lelaki berusia 43 tahun itu yang lebih dikenali sebagai ‘Mat Petai’ oleh pemilik kebun petai di kawasan dua kampung berkenaan mengalami kecederaan pada kaki kirinya selepas melarikan diri daripada Pengerusi JKKK Gondang, Marzuki Mat Zain.

Menurut Marzuki, sebelum Salleh menemui lelaki berkulit gelap itu terbaring di kebunnya, dia (Marzuki) terlebih dahulu terserempak lelaki itu menunggang motosikal bersama seorang rakannya di
hadapan sebuah kedai makan kira-kira jam 11 pagi.

“Saya menegur kedua-dua lelaki terbabit lalu menyoal kenapa membawa bersama guni dan dua bilah senjata tajam iaitu sebilah pisau dan parang. Saya tegur kerana mengesyaki mereka ingin mencuri hasil tanaman penduduk, namun mereka bercakap kasar.

“Kemudiannya berlaku pertengkaran antara kami lalu mereka memegang dua bilah senjata yang dibawa. Kerana bimbangkan keselamatan, saya bertindak dahulu dengan menyerang mereka termasuk berjaya merampas dua senjata tajam itu,” katanya.

Marzuki berkata, kedua dua lelaki itu kemudiannya melarikan diri dengan meninggalkan motosikal di hadapan kedai makan sebelum salah seorang daripada mereka ditemui terbaring di dalam kebun salak, manakala seorang lagi masih menghilangkan diri.

Menurutnya, penduduk dua kampung iaitu Gondang dan Sungai Serai percaya kedua-dua mereka yang terbabit menjadikan aktiviti mencuri hasil tanaman penduduk sebelum dijual bagi mendapatkan bekalan dadah dan keperluan lain kerana tidak bekerja.

Sementara itu, lelaki terbabit ketika ditemui mengakui mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah dipenjarakan sekali serta ditahan di pusat pemulihan dadah sebanyak dua kali.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu, namun enggan mengulas
lanjut kerana ia masih dalam siasatan pihak polis.

Monday, June 25, 2012

curi sawit malam hari

Dibelasah penduduk ketika sedang mencuri kelapa
Wartawan Sinar Harian
25 Jun 2012

BESUT- Tindakan seorang lelaki yang cuba mencuri buah kelapa sawit di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Gong Berangan dekat Kerandang, Jabi menemui padah apabila dia dicekup sebelum dibelasah penduduk.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, suspek berusia 29 tahun cedera di beberapa bahagian anggota badan akibat dipukul orang ramai yang berang dengan kegiatan mencuri buah kelapa sawit yang berleluasa sejak belakangan ini.

Difahamkan ketika dicekup suspek sedang mengangkut buah kelapa sawit ke dalam bonet sebuah kereta Proton Saga. Sebanyak tiga tandan buah berkenaan berada di dalam bonet kereta berkenaan manakala beberapa tandan lagi berada di tepi kereta.

Suspek yang dikatakan dari kampung berdekatan terserempak dengan penduduk kampung yang menjalankan rondaan di kawasan ladang sawit itu berikutan kekerapan kejadian kecurian buah kelapa sawit sejak belakangan ini di kawasan itu.

Penduduk mula mempergiatkan rondaan pada waktu malam apabila mendapati terdapat selonggok buah kelapa sawit di atas tanah pada siang hari dan ramai penduduk keluar sebaik mengetahui suspek berjaya ditangkap.

Dikatakan juga terdapat dua lagi lelaki yang terlibat bagaimanapun berjaya melarikan diri. Penduduk kampung kemudiannya menyerahkan suspek kepada polis sebelum pihak polis menghantar ke Hospital Besut untuk rawatan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian itu dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut. Menurutnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

curi gigi 1 bulan jel

Dipenjara sebulan curi berus gigi
RUBIAH OMAR
24 Jun 2012

KUALA TERENGGANU - Angkara terlalu gian dadah, seorang pembantu kedai makan nekad mencuri berus gigi elektrik di sebuah kedai elektrik di Jalan Sultan Ismail, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, hasratnya untuk menjual balik berus gigi jenama Panasonic itu bagi membeli dadah jenis morfin tidak kesampaian setelah dia kantoi dan seterusnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Natijah perbuatannya itu, tertuduh, Fazrin Ab Wahab, 23, dari Kampung Desa Darul Iman, Marang dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 oleh Majistret Abdul Hayyi Salim.

Hukuman itu dijatuhkan selepas dia mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dengan mencuri sebatang berus gigi elektrik jenama Panasonic bernilai RM99 di Kedai Elektrik Union Motos Electrical Supplier Sdn Bhd di Jalan Sultan Ismail, di sini, kira-kira jam 4 petang, 23 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala Fazrin tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Fazrin telah datang ke premis berkenaan dengan berpura-pura kononnya ingin membeli barang.

Dia memperdaya pekerja di kedai berkenaan dengan bertanyakan harga barang yang kononnya ingin dibeli. Namun, setelah melihat pekerja itu sedikit ‘ralit’, dia terus mengambil kesempatan mencuri berus gigi berkenaan dan disorokkan di dalam bajunya.

Tindakannya yang tergesa-gesa keluar dari premis berkenaan telah menimbulkan rasa syak pekerja yang melayannya sebelum ini yang kemudian mengejarnya dan berjaya ditahan di luar premis.

Hasil pemeriksaan di badannya, pekerja berkenaan berjaya menjumpai berus gigi elektrik yang disembunyikan di dalam baju dipakainya sebelum dia yang juga turut positif morfin diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sunday, June 24, 2012

duduk sorang2 kena samun

Samun depan lif
Oleh MOHD FIRDAUS IBRAHIM
mfirdaus@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia lewat 20-an bukan saja rugi hampir RM1,000, malah turut cedera di kepala selepas bergelut dengan seorang lelaki bersenjatakan pisau di sebuah pusat beli-belah di ibu kota, di sini, kelmarin.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa menunggu lif untuk ke tempat letak kereta di tingkat empat premis berkenaan kerana mahu pulang.


Dalam kejadian jam 10 malam, mangsa yang sendirian kemudian dihampiri seorang lelaki berusia lewat 20-an sebelum cuba merampas beg tangannya.

Menurut sumber, terkejut dengan tindakan itu, wanita terbabit cuba mempertahankan beg tangannya, menyebabkan berlaku pergelutan.


“Suspek yang berang mencederakan mangsa dengan pisau sebelum melarikan beg tangan mangsa mengandungi telefon bimbit dan wang tunai bernilai hampir RM1,000,” katanya.


Sumber berkata, mangsa yang tercedera di kepala ditemui terbaring di depan lif oleh orang awam, 10 minit kemudian.

“Orang ramai kemudian melaporkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan sebelum mangsa diberikan rawatan awal,” katanya.


Mangsa dibawa ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Brickfields di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Rashid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Saturday, June 23, 2012

mengaku salah

Mengaku salah rogol remaja
Wartawan Sinar Harian
23 Jun 2012

KUANTAN - Seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam diperintah menjalankan kerja kemasyarakatan selama empat jam sehari selama tiga bulan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah merogol remaja bawah umur pada 2008.

Hakim, Fathiyah Idris menetapkan hukuman tiga bulan perintah kehadiran wajib dan kerja kemasyarakatan berkuat kuasa semalam terhadap tertuduh, Raja Faez Raja Ngah, 20, dari Tanah Putih, di sini.

Sebelum itu, tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM3,000 dan seorang penjamin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh merogol mangsa bawah umur berusia 14 tahun 4 bulan di sebuah rumah di Taman Cenderawasih, di sini, pada Julai 2008, kira-kira jam 6 hingga 7 petang.

Tertuduh disabitkan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Nor Nordin.

tipu haji

Warga emas tertipu pakej haji
Wartawan Sinar Harian
23 Jun 2012
Warga emas tertipu pakej haji
Deris (kanan) juga membuat laporan polis yang dipegang Sulaiman apabila mereka didakwa ditipu seorang lelaki.
TUMPAT – Hasrat 35 bakal haji untuk ke Mekah tahun ini, mungkin tidak kesampaian selepas terpedaya dengan penipuan seorang lelaki yang menawarkan pakej haji sehingga kerugian lebih RM350,000.

Wang itu diserahkan kepada lelaki terbabit pada awal tahun 2010 lagi, namun sehingga kini mereka belum bertolak ke Mekah selepas beberapa kali ditangguhkan atas pelbagai alasan.
Seorang mangsa, Muhammad Ali, 70, merupakan guru Pondok Berangan berkata, dia sedih dengan apa yang berlaku kerana kebanyakan mangsa yang didakwa tertipu ini adalah anak muridnya yang sudah lanjut usia.

“Ada anak murid saya sanggup mengeluarkan wang dari Tabung Haji semata–mata untuk mengerjakan haji bersama saya melalui pakej haji lelaki tersebut dengan sebuah syarikat yang beroperasi di Selangor.

“Bila dah tertangguh beberapa kali, saya rasa tidak sedap hati sehingga sebahagian daripada kami membuat laporan polis kerana mengesyaki kami sudah ditipu lelaki tersebut,” katanya yang turut tertipu dan kerugian RM11,000.

Muhammad berkata, lelaki itu sering berkunjung ke pondok itu, namun sejak beberapa kali tertangguh ibadah haji , dia terus tidak menjejaki kakinya di pondok itu lagi.

Selain pelajar pondok, turut tertipu adalah ahli keluarga Muhammad sendiri dan juga beberapa orang warga emas dari Kuala Krai dan Pasir Puteh serta dari Kampung Padang Tembesu, Tumpat.

Jual tanah pusaka

SEORANG lagi mangsa, Sulaiman Mohamad, 85, berkata, ini adalah ibadah haji yang pertama dalam hidupnya dan kerana ingin segera ke Mekah dia sanggup menjual tanah pusakanya.

“Sebanyak RM12,500 duit hasil jual tanah ini saya bayar kepada lelaki tersebut untuk pakej haji dengannya.

“Duit itu sebelum ini saya simpan di dalam Tabung Haji, tetapi kerana mahu segera ke Mekah, saya keluarkan kesemua duit itu.

“Lagipun saya teruja untuk pergi bersama dengan kawan–kawan yang belajar di pondok ini serta dengan guru pondok, Muhammad,” katanya.

Menurutnya, dia khuatir dengan usianya yang semakin lanjut, kemungkinan dia tidak sempat mengerjakan haji sekiranya pakej haji melalui lelaki itu ditangguhkan lagi tahun ini.

“Saya akan buat laporan polis pada Ahad ini dan ramai lagi kawan yang senasib akan membuat laporan polis berhubung penipuan tersebut,” katanya.

Keluar duit dari Tabung Haji

BAGI Deris Seman, 75, berkata, dia juga sanggup mengeluarkan duit dari Tabung Haji untuk mengikuti pakej haji melalui lelaki itu kerana ingin berangkat cepat ke Mekah.

“Kalau melalui Tabung Haji, saya dijangka dapat menunaikan haji lima tahun lagi. “Saya kerugian RM12,000 apabila menyerahkan wang kepada lelaki tersebut pada awal tahun 2010 lagi dan akan berangkat ke Tanah Suci pada tahun 2011,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian tersebut.

“Kes ini disiasat oleh Bahagian Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan,” katanya.

Sunday, June 17, 2012

gangster serang pelajar

Polis tahan 17 lagi lelaki serang pelajar SMK Cheras Perdana

KUALA LUMPUR 16 Jun — Polis menahan 17 lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam serangan ke atas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana di luar kawasan sekolah itu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berumur antara 15 hingga 21 tahun dan enam daripada mereka sudah menamatkan persekolahan.

"Polis memberkas tiga suspek sejurus selepas kejadian terbabit berdasarkan penemuan motosikal di lokasi kejadian yang ditinggalkan selepas kejadian.

"Susulan daripada itu, polis menahan 17 lagi suspek sehingga malam tadi ," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan hampir 30 pelajar sekolah SMK Cheras Perdana diserang oleh sekumpulan remaja yang bersenjata kayu, besi, cota dan topi keledar sehingga menyebabkan 10 pelajar dan seorang guru Penolong Kanan Sekolah cedera parah.

Menurut laporan akhbar itu lagi, serangan terbabit berlaku pukul 12.30 tengah hari sejurus pelajar tingkatan tiga, empat dan lima keluar dari pekarangan sekolah selepas tamat sesi pagi persekolahan.

Sehubungan itu, Adnan berkata, bagi mengelakkan penularan budaya gangsterism dan kes pergaduhan di sekolah, polis akan bertindak segera dalam mengesan suspek yang terlibat sekaligus menyelesaikan kes sedemikian secara menyeluruh.

Beliau berkata, 10 pelajar dan seorang guru yang cedera dalam serangan terbabit dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Columbia Asia Cheras.

Katanya, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing juga didapati negatif.

"Polis masih menyiasat sekiranya terdapat saki baki mereka yang terbabit dan motif kejadian masih dalam siasatan. Kesemua mereka ditahan reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan," katanya. - BERNAMA

Thursday, June 14, 2012

penyamun tertangkap

ARKIB : 11/06/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 1
Suspek samun guru wanita dicekup polis

KUALA LUMPUR 10 Jun - Sehari selepas gambarnya disiarkan dalam akhbar, polis berjaya memberkas seorang daripada dua lelaki yang dipercayai terlibat menyamun dan mencederakan seorang guru wanita sebelum meninggalkan mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Selangor, dekat sini pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, lelaki berusia 48 tahun itu ditangkap setelah polis mendapat maklumat daripada orang awam malam tadi.

"Lelaki keturunan India itu dicekup di sebuah kawasan di Taman Farlim, Menglembu, Ipoh, Perak pada pukul 11.15 malam tadi. Dia akan diserahkan kepada polis Selangor untuk membantu siasatan kes samun yang mendatangkan kecederaan parah kepada guru wanita berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, polis mengedarkan gambar dua lelaki tempatan dipercayai suspek yang terlibat menyamun dan mencederakan seorang guru wanita, Teoh Soo Kim, 51, semasa mangsa keluar rumahnya di Taman Kinrara, Puchong dekat sini, untuk pergi berjoging bersama seorang rakan di Bukit Jalil pada pukul 7.30 pagi, Rabu lalu.

Mangsa ditemui ditinggalkan dalam keadaan cedera parah di kepala dan tidak sedarkan diri oleh seorang pekerja sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Selangor pada pukul 11.30 pagi keesokan harinya.

Gambar kedua-dua suspek kejadian samun itu berjaya dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika mereka mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Taman Puncak Jalil.

Suspek dipercayai memaksa guru itu memberi nombor pin kad ATM bagi membolehkan mereka mengeluarkan wang RM1,600 yang terdapat dalam akaun mangsa.

Sunday, June 10, 2012

panggilan misteri

Tiada kesan pergelutan


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Siasatan awal polis mendapati lelaki warga emas yang ditemui mati dalam keadaan leher dijerut dengan wayar elektrik di rumahnya di Selayang Baru, kelmarin, berkemungkinan dilakukan individu dikenali.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, siasatan mendapati tiada kesan pecah masuk dan keadaan rumah tidak berselerak.

“Kejadian itu dipercayai hanya dilakukan seorang suspek yang dikenali,” katanya, semalam.
Beliau berkata, tiada kesan pergelutan antara mangsa dengan suspek.

“Mangsa dipercayai dibunuh beberapa jam sebelum mayatnya ditemui anak angkatnya. Polis kini dalam proses mengambil keterangan keluarga mangsa bagi membantu siasatan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan mangsa, Zulkifli Omar, 69, yang bekerja sebagai ejen pembantu rumah ditemui mati dalam keadaan bogel atas katil di bilik belakang rumahnya.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mayat mangsa ditemui anak angkatnya yang mengintai melalui tingkap selepas dihubungi isteri warga emas terbabit yang memintanya memeriksa rumah berkenaan selepas menerima panggilan misteri daripada seorang wanita Indonesia berhubung kejadian itu.

wanita yang tertipu

Wanita juga terpedaya


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Kes wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) habis dalam tempoh singkat bukan hanya berlaku kepada pesara lelaki, malah turut membabitkan wanita.
Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Koid Swee Lian berkata, ada pelanggan wanita mengadu terjebak dalam cinta lelaki kasanova yang mengikis wang mereka hingga diisytiharkan muflis.

“Tidak kurang juga yang tertipu apabila melabur dalam skim cepat kaya dan mengalami kerugian besar apabila pelaburan mengalami kegagalan,” katanya kepada Metro Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai trend mereka yang mendapatkan khidmat percuma daripada agensi itu dalam usaha mengamalkan perbelanjaan berhemah.

Dalam satu kes lain, Koid berkata, seorang pesara mencagar banglo mewahnya kepada bank semata-mata hendak mengadakan majlis kahwin anak secara besar-besaran hingga menyebabkan rumahnya tergadai.

“Hutang lain pula keliling pinggang. Kes seperti ini perlu dijadikan iktibar oleh orang ramai. Untuk itu, pesara harus berhati-hati kerana kesan buruk akibat perbelanjaan yang tidak berhemah akhirnya mengundang petaka kepada diri sendiri.

“Selain itu, ubah gaya hidup dan tidak mengambil pinjaman baru atau bebaskan daripada hutang dan jangan melabur dalam instrumen pelaburan berisiko tinggi,” katanya.

Menurutnya, tempoh persaraan bukannya pendek kerana purata jangka hayat wanita di negara ini ialah 75 tahun, manakala lelaki 70 tahun.
Koid berkata, sepanjang kajian dilakukan agensi berkenaan, kesedaran golongan dewasa mendapatkan kaunseling dan mengikuti Program Pengurusan Kredit (DMP) masih rendah bagi tempoh September 2011 hingga Mac 2012.

“Jumlah paling tinggi dicatat pada Oktober 2011 membabitkan 3,253 individu menerima kaunseling manakala 1,415 mengikuti DMP,” katanya.

Mengenai tahap usia mereka yang mendapatkan khidmat nasihat pula, Koid berkata, kebanyakan pelanggan ke AKPK untuk mendapatkan perkhidmatan adalah daripada semua lapisan masyarakat dan pelbagai usia.

Namun, katanya, 14.9 peratus golongan dewasa berusia 40 tahun ke atas mendapatkan khidmat AKPK dan meliputi pelbagai sektor pekerjaan mungkin kerana pada usia itu adalah ‘fasa’ yang dianggap paling mencabar dan banyak tekanan berkaitan kewangan.

Wednesday, June 6, 2012

lesap 20 ribu

RM20,000 dalam akaun lesap
Wartawan Sinar Harian
6 Jun 2012
Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim
Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim
KULIM - Seorang anggota polis, di sini terkejut apabila wang simpanan dalam akaun banknya lesap.

Mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, dia telah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM50,000.

Menurutnya, namun memandangkan dia masih mempunyai baki pinjaman lalu di bank sama sebanyak RM30,000, dia hanya mendapat kelulusan pinjaman baru berjumlah RM20,000.

Dalam perjanjian dibuat bersama bank terlibat, mangsa dikehendaki membayar semula ansuran pinjaman RM50,000 dibuat secara potongan gaji sebanyak RM500 sebulan selama 15 tahun.

Mangsa berkata, namun menjadi masalah, apabila wang pinjaman yang disimpan dalam bank itu telah tiada dan pihak bank terbabit bersikap lepas tangan serta enggan mendengar penjelasan dibuatnya.

"Saya telah berjumpa dengan pegawai pejabat bank itu, tetapi pihak bank tidak dapat memberikan penjelasan terhadap kehilangan wang saya. Saya telah bertanya pegawai bank di Kuala Lumpur berkenaan masalah yang saya hadapi.

"Saya dimaklumkan wang saya telah dipindahkan ke akaun lain secara 'on-line'. Saya berasa curiga dengan kenyataan dibuat kerana sekiranya wang dalam akaun saya dipindahkan secara on-line, pastinya mereka boleh mengesan ke akaun mana duit simpanan saya itu dipindahkan. Pegawai bank itu juga ada menyebut beberapa nama, tetapi saya tidak mengenali mereka," katanya.

Kecewa layanan diberi, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kulim dan pergi ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan penjelasan.

Menurutnya, dia percaya nama tersebut ada kaitan dengan pemindahan wang dalam akaunnya itu.

Katanya, namun apabila dia meminta pegawai itu menerangkan lebih lanjut berkenaan nama yang disebut, pegawai terlibat cuba mengelak.

"Saya sudah bertanya kepada pegawai penyiasat yang mengendalikan kes saya ini, malangnya bank masih tidak menghantarkan beberapa dokumen dikehendaki untuk tujuan siasatan. Saya beranggapan masalah kehilangan wang dalam akaun saya itu pastinya melibatkan pegawai bank itu sendiri,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim berkata, penipuan yang melibatkan institusi kewangan semakin menjadi-jadi dan semakin ramai pengguna menjadi mangsa.

Menurutnya, ada kalangan mereka diisytiharkan muflis semata-mata terpaksa membayar semula pinjaman yang tidak pernah dimohon.

“Saya meminta mangsa terlibat untuk tampil membuat laporan polis dan berjumpa dengan saya. Saya lihat permasalahan kehilangan wang dari akaun pengguna semakin menjadi-jadi dan ini akan menyusahkan peminjam.

"Cuba bayangkan bank memotong gaji si peminjam setiap bulan selama 15 tahun, sedangkan mangsa terpaksa menanggung kerugian kerana wang di dalam akaunnya digelapkan. Saya meminta Bank Negara supaya menyiasat permasalahan ini dengan lebih serius," katanya.

Mohd Zailan berkata, dia percaya ada dalang disebalik penipuan tersebut dan berharap sekiranya perkara itu gagal diselesaikan pihak bank, ia harus dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan.

Menurutnya, pihaknya telah menghantar surat kepada kementerian terlibat dan meminta kerajaan mengambil serius berkenaan penipuan seumpamanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kes itu akan disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial dan meminta mangsa bersabar.

Katanya, polis telah menghubungi bank terlibat dan meminta pihak berkenaan menyerahkan beberapa dokumen diperlukan bagi membantu siasatan.

"Masalah seumpama itu berlaku di beberapa bank dan sehingga kini polis telah menerima lebih tiga laporan permasalahan melibatkan syarikat kewangan terutama bank.

"Selain kehilangan wang dalam akaun, polis turut menerima laporan dimana mereka yang tidak mempunyai kad kredit terpaksa menanggung hutang setelah dikatakan memiliki kad itu," katanya.

memantau mesin atm

Polis syor bank wujud sistem kawalan berpusat elak kecurian mesin ATM

5 Jun 2012

KUALA LUMPUR - Polis mencadangkan agar bank mewujudkan satu sistem pusat kawalan utama untuk memantau setiap mesin pengeluaran wang tunai (ATM) di seluruh negara bagi mengesan sebarang kegiatan yang tidak diingini termasuk cubaan merompak dan melarikan mesin berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata sistem pusat kawalan itu berfungsi sebagai pemantau agar sebarang maklumat terutamanya berkaitan aktiviti melarikan mesin ATM dapat disalurkan terus kepada polis.

“Saya sarankan kepada pihak bank di seluruh negara supaya wujudkan sistem seperti ini bagi memastikan maklumat berkenaan dapat dikesan dengan lebih awal seterusnya disampaikan terus kepada pihak polis pada kadar yang lebih cepat dan membolehkan polis bertindak pantas,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, kajian awal polis mendapati pemasangan mesin ATM di lokasi terbuka memudahkan penjenayah melarikan mesin atau merompaknya tanpa disedari oleh pihak bank atau pihak pengawal keselamatan dan boleh mendatangkan risiko kepada pengguna.

“Mesin ATM yang ditempatkan di lokasi-lokasi terbuka sememangnya bertujuan untuk memudahkan pengguna tetapi aspek keselamatan juga haruslah ditekankan bagi memastikan kejadian mesin ATM dilarikan dapat dielakkan. --

“Kejadian seperti ini juga berlaku apabila terlalu banyak mesin ATM diletakkan di tempat terbuka dengan kekurangan kawalan keselamatan sekaligus membuka peluang kepada penjenayah dan mendorong mereka untuk melakukan jenayah sama ada menyamun pengguna selepas mengeluarkan wang ataupun melarikan mesin ATM,” katanya.

Beliau berkata ciri-ciri keselamatan pada mesin-mesin ATM yang diletakkan di sesebuah lokasi perlu dipertingkatkan bagi mengelak kejadian cubaan melarikan mesin ATM tidak terus berulang.

“Mungkin perlu adanya loceng penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi atau mungkin juga perlu melihat keperluan untuk menempatkan pengawal keselamatan di mesin-mesin berkenaan untuk kukuhkan lagi kawalan keselamatan," katanya.

Disamping itu, beliau berkata lokasi juga memainkan peranan dalam menentukan ciri-ciri keselamatan, sebagai contoh sekiranya lokasi tersebut tidak sesuai untuk menempatkan mesin berkenaan, lokasi yang lebih sesuai dan selamat dengan aspek keselamatan yang lebih tinggi haruslah dipilih.

Bakri berkata selain itu satu perjumpaan juga boleh diadakan di antara polis dan pihak bank bagi mengenal pasti ciri-ciri keselamatan untuk mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian.

“Perjumpaan seperti ini juga mungkin kita boleh lihat bagaimana polis dapat membantu disamping melihat bagaimana cara untuk kurangkan ruang kepada penjenayah dari melakukan jenayah seperti ini.

Dalam tempoh tiga minggu lepas, empat kes kecurian mesin ATM dilaporkan di sekitar Lembah Klang, Sepang dan Balakong.

Jumaat lepas, sebuah mesin ATM yang mengandungi wang sebanyak RM37,520 dilarikan sekumpulan penjenayah dengan hanya menggunakan tali sebelum ditarik keluar dan dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan dalam kejadian pukul 3.20 pagi di sebuah bangunan di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Pada 25 Mei lepas, sebuah mesin ATM dilarikan daripada sebuah kompleks membeli-belah di Balakong dekat sini, dengan nilai RM200,000.

Sehari kemudian, sebuah mesin ATM di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti pula dilarikan dengan nilai kerugian lebih RM61,000.

Sementara itu, pada 28 Mei lepas, sekumpulan penjenayah berputih mata apabila usaha memecah mesin teler automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Pantai Dalam, terbantut setelah loceng penggera keselamatan pasar raya itu berbunyi dalam kejadian pukul 11 malam.

Tinjauan Bernama mendapati pelbagai bank menyediakan perkhidmatan ATM di lokasi terbuka termasuk kawasan tumpuan umum iaitu di kawasan pejabat, di pasar raya, kompleks beli-belah, stesen LRT, kedai serbaneka beroperasi 24 jam, dan di lot-lot kedai.-- Bernama

Friday, June 1, 2012

akibat jogging pakai emas

Menggigil parang di dada

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BEGINI...Sharifah Rodhiah (kiri) menunjukkan cara penjenayah meletakkan parang sambil diperhatikan Siti Norhasmida.
BEGINI...Sharifah Rodhiah (kiri) menunjukkan cara penjenayah meletakkan parang sambil diperhatikan Siti Norhasmida.
BUKIT BERUNTUNG: “Saya menggigil dan terpaksa menyerahkan barang kemas yang dipakai kepada penjenayah yang meletakkan parang panjang tajam pada dada,” kata Sharifah Rodhiah Syed Nong Chik, 47, menceritakan detik dia diragut ketika berjoging, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku jam 7.10 pagi di Jalan Adenium 2G/4, Pusat Perniagaan Adenium, di sini, ketika mangsa bersama jirannya, Siti Norhasmida Abdullah, 64, berjoging di taman itu.

Katanya, enam lelaki berumur 20 hingga 30 tahun menunggang tiga motosikal memintas mereka.
“Mereka seperti mahu bertanya arah jalan, tetapi bertukar ganas dengan mengeluarkan parang dan tiga pisau rambo yang diletakkan pada dada saya sambil mengarahkan menyerah barang kemas dipakai.

“Saya panik dan amat takut ketika penjenayah mengarahkan saya tidak melawan kehendak mereka. Seorang daripada lelaki itu merentap gelang tangan dan rantai leher saya manakala rakannya mengepung saya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dia berjaya memujuk kumpulan penjenayah itu supaya tidak merampas beg tangannya yang mengandungi dua telefon bimbit dan wang RM15.

Katanya, penjenayah mengambil masa kurang dua minit menyamun barang kemas yang berharga RM5,000 itu.

“Rakan saya berlari ke rumah jiran berhampiran meminta pertolongan, tetapi sudah terlambat.
“Saya tidak menyangka aktiviti berjoging sejak lebih sebulan lalu dalam taman ini diperhatikan penjenayah,” katanya.

Sharifah Rodhiah berkata, sambil berlari pulang ke rumah dia menangis sekuat hati kerana ketakutan.

Katanya, dia menelefon suami, Mohd Kamaruddin Sangit, 55, yang berniaga di Bukit Antarabangsa di Hulu Klang ketika itu memaklumkan kejadian itu.

Beliau berkata, suaminya tiba di rumah jam 9 pagi membantu menenangkannya. Mangsa ditemani jirannya membuat laporan di Balai Bukit Sentosa pada jam 2 petang.