Tuesday, February 1, 2011

Ninja Menyamun

Parah dalam kejadian samun ala ninja

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Seorang pemilik syarikat kejuruteraan dan anak perempuannya cedera parah ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian samun ala ninja di rumah banglo dua tingkat miliknya di Beranang, dekat sini Jumaat lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai M. Rajan, 47, berkata, kejadian itu merupakan kali kedua dia dan keluarganya disamun penjenayah bersenjatakan parang.

Katanya, kali pertama mereka disamun adalah pada 2005 dan turut mencederakan dirinya di kepala.

Menceritakan kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, Rajan berkata, dia dan anak perempuannya berusia 11 tahun sedang berehat di bilik tingkat atas manakala enam lagi ahli keluarganya berada di ruang tamu.

"Tanpa disedari, tujuh penjenayah memakai penutup muka dipercayai berusia 20-an menceroboh masuk ke dalam rumah saya.

"Mendengar bunyi bising, saya terus memeluk anak lalu melompat keluar tingkap menyelamatkan diri serta meminta bantuan orang ramai.

"Bagaimanapun, tindakan itu membawa padah apabila saya dan anak cedera parah di beberapa anggota badan," katanya ketika ditemui di Hospital Pantai di sini hari ini.

Menurut Rajan, dia berbuat demikian untuk menyelamatkan diri selain trauma dengan kejadian yang pernah menimpa dirinya dan keluarga.

Rajan menerima rawatan akibat patah tulang rusuk kanan manakala anaknya pula terpaksa menjalani pembedahan ekoran buah pinggangnya pecah.

Berikutan kejadian itu, beliau kerugian hampir RM40,000 setelah wang, barang kemas dan jam tangan jenama Omega dilarikan suspek-suspek.

"Dalam kejadian samun sebelum ini, saya kerugian hampir RM80,000 setelah wang, barang kemas dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm dilarikan.

"Bagaimanapun, kereta terbabit ditemui semula manakala seramai lapan suspek ditahan selepas laporan polis dibuat," katanya lagi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut dan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek-suspek.

No comments:

Post a Comment