Saturday, November 27, 2010

Batu



Batu delima kebas duit
Oleh Ahmad Othman


HELAH...seorang pegawai polis memicit butang LED untuk menyalakan batu delima palsu.
KOTA TINGGI: Seorang lelaki berusia lewat 30-an bersama dua ‘pelakon tambahan’ dipercayai menjadi dalang kepada dua kes penipuan batu delima merah palsu di sekitar daerah ini membabitkan kerugian RM26,000.

Lelaki berperwatakan alim terbabit menyasarkan warga emas dengan mendakwa batu delima itu boleh digunakan untuk upacara ‘tarik duit’.
Bagi meyakinkan mangsa, lelaki terbabit meletakkan batu delima itu ke dalam bekas tembaga berisi air sebelum ia mengeluarkan cahaya kemerahan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, siasatan polis mendapati batu delima itu sebenarnya palsu dan objek berkenaan dipasang lampu LED dan akan menyala apabila dipicit.



Menurutnya, dua individu yang juga teman subahat lelaki terbabit pula berlakon sebagai pembeli dan beria-ia mahu membelinya dengan harga RM350,000 daripada mangsa.


“Polis menerima laporan pertama pada 22 April lalu membabitkan seorang warga emas berusia 72 tahun yang menjadi mangsa sindiket ini.

“Mangsa berada di sebuah restoran makanan segera sebelum dihampiri dan ditawarkan batu delima merah yang kononnya diperoleh ketika menggali kubur di Melaka serta didakwa mampu digunakan untuk upacara tarik duit,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, semalam.

Menurutnya, mangsa yang mendakwa seolah-olah terpukau kemudian pulang ke rumah dan mengambil barangan kemas isterinya bernilai RM20,000 sebelum diserahkan kepada ketiga-tiga lelaki terbabit.

Pada Isnin lalu, seorang lagi lelaki warga emas, menjadi mangsa membabitkan kerugian RM6,000.

“Mangsa berusia 71 tahun dan suspek utama merendam batu delima itu ke dalam bekas tembaga berisi air sebelum ia mengeluarkan cahaya kemerahan.

“Suspek utama mengatakan dia hanya akan menjualnya kepada mangsa selepas mendapat firasat warga emas berkenaan individu paling sesuai menyimpan batu delima itu,” katanya.

Osman berkata, pada masa sama, seorang lelaki yang dipercayai rakan suspek tiba-tiba muncul dan mengatakan mahu membeli batu delima itu pada harga RM350,000.

Berikutan itu, mangsa terus ke Melaka untuk mengeluarkan wang pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM6,000 sebagai bayaran mendapatkannya.

Friday, November 26, 2010

Penyamun Betul


iperkosa perompak
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

KUALA LUMPUR: Demi menyelamatkan maruah anak perempuannya berusia 12 tahun, seorang ibu terpaksa mengharungi detik hitam apabila diperkosa di depan gadis sunti itu oleh seorang daripada dua penjenayah yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Melayu Subang, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin, ibu muda itu yang diikat tangan sebelum itu diberi pilihan oleh penjenayah terbabit untuk menentukan siapa yang akan dirogol sama ada dia atau anak gadisnya.

Dalam keadaan terdesak, ibu berusia 34 tahun itu tiada pilihan melainkan membiarkan dirinya dirogol seorang daripada dua penyamun berusia lewat 20-an terbabit.

Menurut sumber polis, lebih menyayat hati ketika seorang daripada lelaki terbabit merogol mangsa, seorang lagi rakannya merakam perbuatan terkutuk itu menggunakan telefon bimbit.



“Sebelum itu, dua suspek terbabit yang memakai topeng memecah masuk rumah mangsa yang ketika itu tidur bersama anaknya dalam bilik utama manakala suaminya tiada di rumah kerana bekerja syif malam.


“Dua penjenayah terbabit mengikat dua beranak itu dan mengarahkan mereka mendiamkan diri sekiranya tidak mahu dicederakan,” katanya.

Sumber itu berkata, suspek menggeledah rumah berkenaan sebelum mengambil wang tunai dan barang kemas yang nilai keseluruhannya dianggarkan RM2,000.

“Sebaik selesai menggeledah rumah mangsa, seorang daripada suspek seolah-olah tidak puas hati dengan hasil rompakan mereka dan memberitahu mahu merogol seorang daripada dua beranak itu.

“Selepas rayuannya tidak diendahkan dan tidak mahu anaknya menjadi mangsa penjenayah itu, si ibu terpaksa merelakan dirinya dirogol seorang daripada suspek dan ketika dia dirogol seorang lagi suspek merakamnya menggunakan telefon bimbit,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua penjenayah melarikan diri dan mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru Subang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 serta Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Thursday, November 25, 2010

Jaga2 Atas Bumbung

2 beradik peragut ditahan 'bertapa' atas bumbung


SEREMBAN: Cubaan dua beradik menyembunyikan diri di tangki air bumbung rumah jiran mereka di Taman Bukit Kepayang, di sini, selepas meragut seorang mangsa bukan saja tidak membuahkan hasil kerana dicekup, malah terpaksa ‘bertapa’ lebih sejam sebelum diturunkan anggota bomba, awal pagi semalam.

Difahamkan, kedua-dua lelaki berusia 20-an terbabit sebelum itu melakukan kegiatan ragut dengan alasan untuk memungut hutang daripada mangsa di sebuah rumah di Jalan Tan Sri Manickavasagam, di sini, kira-kira jam 6.15 petang kelmarin.


Pasangan adik-beradik itu kemudian meloloskan diri dengan menaiki sebuah kereta Ford Laser dan melarikan beg pinggang mangsa yang berisi sejumlah wang. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata berdasarkan hasil pemeriksaan dan siasatan, pihaknya mengesan rumah suspek di taman perumahan itu yang turut berdekatan Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) negeri, di sini.

“Berikutan itu, sepasukan anggota polis ke rumah suspek untuk memberkas kedua-dua mereka bagi membantu siasatan kira-kira jam 2 pagi (semalam).


“Namun, apabila ditanya, ahli keluarga suspek enggan memberikan bekerjasama dengan memaklumkan dua beradik terbabit tiada di dalam rumah dua tingkat itu.


“Tidak lama kemudian, beberapa anggota polis yang melakukan pemantauan di luar melihat kelibat manusia berada di atas bumbung rumah itu,” katanya.


Menurut Saiful, pihaknya memanjat bumbung dan menahan suspek yang bersembunyi di sebuah tangki air di kawasan terbabit dengan hanya berseluar tanpa berbaju.


“Kami (polis) menghubungi bomba untuk bantuan sebelum kedua-dua suspek dibawa turun melalui tangga elektrik lebih sejam kemudian.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan pihaknya mengambil masa hampir tiga jam untuk memberkas suspek terbabit.


Tinjauan Harian Metro mendapati usaha membawa turun suspek dilakukan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dan Senawang termasuk menggunakan sebuah jentera sky lift.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Tetak Ayah Kekasih


Tetak bapa kekasih
Oleh Hadzlihady Hassan

AMPANG: Hanya kerana hubungan cinta dihalang, seorang lelaki menetak bapa kekasihnya menggunakan parang di depan rumah mangsa di Jalan Wawasan, Bandar Baru Ampang, di sini.

Kejadian kira-kira jam 6 petang Isnin lalu berlaku ketika mangsa yang berusia 40 tahun dan bekerja sebagai buruh baru pulang dari pasar malam tidak jauh dari rumahnya dengan menunggang motosikal.
Suspek dipercayai mengenali anak mangsa yang berusia belasan tahun sejak beberapa bulan lalu, tetapi mangsa dipercayai tidak merestui hubungan itu kerana suspek seorang warga asing.

Menurut sumber polis, sebaik mangsa turun dari motosikalnya, suspek yang menyorokkan parang di belakang badannya memanggil lelaki itu, tetapi ia tidak diendahkan.



“Mangsa yang tidak mengesyaki sesuatu masuk ke rumah dan ketika itu, suspek menyerang dan menetak kepala serta badan mangsa sebelum melarikan diri.


“Anak saudara mangsa yang berusia 14 tahun dan berada di rumah itu menjerit kerana terkejut dengan tindakan suspek,” katanya.

Menurutnya, dalam kekecohan itu, mangsa terjatuh berlumuran darah sebelum dia dibantu jiran yang keluar melihat apa yang berlaku selepas terdengar jeritan meminta tolong.

“Mangsa yang parah dibawa anak saudaranya itu ke Hospital Ampang dan pemeriksaan mendapati tulang pinggulnya patah akibat ditetak suspek.

“Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis dan susulan itu, seorang lelaki berusia 20-an yang juga warga Filipina ditahan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, suspek menyerang dan menetak mangsa kerana tidak puas hati selepas hubungan cinta dia dan anak gadis mangsa tidak direstui.

“Mungkin kerana berang tindakan mangsa yang menghalang cinta mereka membuatkan suspek sanggup menyerang dan menetak mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, berikutan laporan mangsa, polis menahan seorang lelaki berusia 20-an yang juga warga Filipina beberapa jam kemudian dan merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Inisiatif


Inisiatif Desa Selamat tangani jenayah

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

PELAJAR SMK Jengka Pusat yang memperagakan uniform lama pasukan polis pada Karnival Nilai Murni Cegah Jenayah di Bandar Jengka Maran, Pahang, baru-baru ini. –UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD

KUALA KRAU 24 Nov. - Pelbagai usaha dijalankan bagi membendung kegiatan jenayah daripada terus berleluasa dan menghantui penduduk.

Mengharapkan kepada pihak polis semata-mata untuk menangani masalah tersebut bukan satu langkah yang berkesan jika tiada sokongan masyarakat keseluruhannya.

Justeru, salah satu usaha yang dijalankan adalah dengan mewujudkan Inisiatif Desa Selamat yang bertujuan menangani kegiatan jenayah di kawasan penempatan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Sejajar dengan pelancaran Inisiatif Desa Selamat peringkat negeri Pahang baru-baru ini, satu program iaitu Karnival Nilai Murni Cegah Jenayah yang diadakan di Stadium Mini Nadi Kota, Bandar Jengka memberi suntikan baru kepada masyarakat untuk bergabung tenaga menangani jenayah.

Karnival selama tiga hari anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Maran itu bertujuan mewujudkan masyarakat penyayang di samping memupuk tanggungjawab mencegah jenayah tanggungjawab bersama.

Karnival yang julung-julung kali diadakan di Bandar Jengka ini menarik lebih 10,000 pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah, warga Felda dan penduduk setempat.

Sepanjang karnival itu berlangsung, pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti sukaneka, forum perdana, pameran, senamrobik, ceramah motivasi, pertunjukan pancaragam, T-Batton dan K9 (Unit Pencegahan PDRM).

Karnival itu dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabuddin dan Naib Pengerusi MCPF, Datuk Kamarudin Md. Ali.

Menurut Ahmad Johari, objektif karnival itu bagi merealisasikan inisiatif kerajaan dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan kadar jenayah.

Program itu, katanya, merupakan salah satu usaha ke arah toleransi sifar terhadap jenayah dengan menjadikan suasana persekitaran selamat sebagai matlamat dalam komuniti.

‘‘Karnival ini juga bermatlamat membaik pulih nilai-nilai murni di kalangan masyarakat terutama generasi muda bagi menyelesaikan pelbagai masalah jenayah yang berleluasa sejak akhir-akhir ini.

‘‘Di samping itu, ia dapat membudayakan pengetahuan mengenai pencegahan jenayah sebagai amalan hidup seharian dan memelihara serta memupuk nilai-nilai murni dalam diri agar dapat diguna sebagai perisai kepada pelbagai masalah sosial dan jenayah,‘‘ katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, Kamarudin berkata, pihaknya akan memperluaskan Inisiatif Desa Selamat ke semua daerah di negeri ini sebagai kaedah mengukuhkan nilai murni dan menyelesaikan masalah jenayah membabitkan komuniti.

Menurut beliau, inisiatif itu telah dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh, Johor pada 7 Ogos lalu sebagai pemangkin pelaksanaannya ke seluruh negara.

Katanya, Maran merupakan daerah kedua selepas Pagoh melaksanakan program Inisiatif Desa Selamat bagi mengukuhkan nilai-nilai murni di kalangan penduduk yang kian terhakis akibat arus pemodenan dan urbanisasi.

‘‘Inisiatif Desa Selamat dipengerusikan ketua polis daerah yang dianggotai ketua komuniti seperti penghulu, ketua kampung dan organisasi keselamatan seperti Rukun Tetangga, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan persatuan penduduk.

‘‘MCPF menggerakkan usaha ini yang mengandungi aktiviti yang dirancang membabitkan pihak polis dan orang ramai dalam komuniti untuk bersama-sama menyelesaikan masalah setempat yang berkaitan dengan jenayah.

‘‘Pada masa sama semua penduduk dalam komuniti perlu berusaha mewujudkan persekitaran fizikal yang boleh menangani jenayah sekali gus mencegah kegiatan jenayah lebih awal,‘‘ katanya.

Menurutnya, pendekatan Inisiatif Desa Selamat adalah untuk mencari penyelesaian masalah dalam konteks keperluan penduduk tempatan kerana mereka lebih mengetahui mengenai situasi kawasan kediaman masing-masing.

Pendekatan itu juga, jelasnya, warga penduduk diiktiraf sebagai golongan yang dapat memainkan peranan secara langsung mencegah jenayah kerana ia selari dengan konsep ‘mencegah lebih baik daripada mengubati.’

‘‘Inisiatif Desa Selamat ini juga mengiktiraf keselamatan desa sebagai sebahagian daripada dasar awam yang terpenting dalam kehidupan untuk meningkatkan keselamatan bersama,‘‘ katanya.

Menurut Kamarudin, Inisiatif Desa Selamat juga bermaksud membina hubungan baik sesama penduduk berbilang kaum dengan berlandaskan nilai-nilai murni di samping dapat memperkukuhkan konsep kejiranan.

Tambah beliau, komuniti selamat dapat meningkatkan kualiti kehidupan seperti keselamatan untuk orang ramai, pengurangan kadar jenayah, peningkatan produktiviti, daya saing dan penurunan dalam pelbagai kos sosial.

Tegasnya, membudayakan pencegahan jenayah amat penting bagi mencapai matlamat komuniti selamat apabila keselamatan rakyat didahulukan dan diutamakan seiring gagasan 1Malaysia yang mewujudkan negara selamat, sejahtera dan bersatu padu.

‘‘Dengan memperkasakan nilai-nilai murni ini, kebarangkalian untuk menyelesaikan pelbagai kepincangan sosial di negara ini adalah lebih tinggi sekali gus mendidik rakyat menjadi ahli yang proaktif untuk mencegah jenayah,‘‘ katanya.

Wednesday, November 24, 2010

Tipu Internet

Kawan sembang 'makan' kawan


PETALING JAYA: Malang bertimpa-timpa. Niat mahu membantu rakan yang baru dikenali melalui laman sembang membawa padah kepada seorang ahli perniagaan apabila dia kerugian RM75,000 selepas diperdayakan tiga individu dipercayai anggota sindiket penipuan.

Oleh Hadzlihady Hassan hadzlihady@hmetro.com.my Mangsa yang berusia 37 tahun pada mulanya mengenali seorang lelaki Julai lalu dalam laman sembang yang mengaku dia anggota polis dan memerlukan wang untuk menguruskan polisi insurans yang didakwa milik bapanya yang baru meninggal dunia bernilai RM1 juta.


Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata mangsa memasukkan wang RM30,000 ke dalam akaun lelaki terbabit yang berjanji akan membayar kembali wangnya selepas segala urusan selesai.

“Bagaimanapun, selepas wang terbabit dimasukkan mangsa tidak menerima sebarang panggilan daripada lelaki terbabit dan ketika dia menanti jawapan itu seorang wanita pula menghubunginya.


“Wanita itu mendakwa dia seorang pegawai daripada syarikat insurans dan memberitahu anggota polis yang dikenali mangsa sudah meninggal dunia, namun dia ada meninggalkan wasiat untuk mangsa,” katanya.


Menurutnya, wanita itu memberitahu mangsa yang dia terpaksa membayar yuran untuk memproses wasiat yang ditinggalkan lelaki terbabit.


“Wanita terbabit meminta mangsa memasukkan lagi RM30,000 ke dalam satu akaun dan mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memasukkan wang seperti diminta.


“Mangsa memasukkan wang berkenaan beberapa kali ke dalam akaun itu, bagaimanapun selepas beberapa lama menunggu tiada sebarang jawapan daripada wanita terbabit,” katanya.

Katanya, mangsa menghubungi wanita terbabit dan dimaklumkan dia baru lepas bersalin dan meminta mangsa bersabar.


“Tidak lama selepas itu, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa kakitangan sebuah bank dan memberitahunya segala proses sudah siap dan cek untuknya sudah dikeluarkan.


“Bagaimanapun, wanita terbabit meminta mangsa memasukkan RM7,000 lagi kononnya untuk pembayaran yuran transaksi dan meminta dia menunggu panggilan selepas segala proses selesai,” katanya.


Arjunaidi berkata, mangsa sekali lagi mengikut arahan diberikan, namun selepas beberapa lama menunggu dia langsung tidak menerima sebarang khabar atau panggilan daripada wanita terbabit.


“Mangsa yang berasa tertipu membuat laporan polis, kelmarin selepas dia gagal menghubungi semua suspek. “Berikutan itu, dia mengalami kerugian RM75,000 keseluruhannya dan polis percaya ini sindiket yang merancang untuk menipunya,” katanya.


Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Thursday, November 18, 2010

Jerat

Jerat gadis tebus dosa
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang baru berkenalan dengan seorang gadis beberapa hari lalu tidak menyangka kekasih barunya itu adalah ahli sindiket peras ugut yang sengaja memerangkapnya sebelum memaksa membayar wang tebus dosa jika mahu dibebaskan.

Kumpulan dianggotai gadis berkenaan bersama beberapa lelaki lain dikesan sengaja menggunakan taktik itu sebagai umpan untuk memikat mangsa selain menjalin hubungan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebelum mengajak mangsa bertemu.


Sebaik bertemu, anggota lelaki kumpulan itu akan muncul sebelum menyalahkan mangsa dengan menuduhnya mengganggu gadis itu yang didakwa teman wanita salah seorang daripada mereka.

Sumber polis berkata, dalam kejadian terbaru kelmarin, seorang lelaki yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah syarikat swasta dikatakan baru mengenali seorang gadis beberapa hari lalu sebelum mereka saling berbalas SMS.


Menurutnya, mangsa yang tinggal di Sunway, Subang Jaya mendakwa menerima SMS daripada gadis itu kira-kira jam 1 pagi kelmarin.


“Gadis terbabit sengaja mengatakan rindu kepada mangsa kemudian mengajak bertemu di sebuah kelab malam di ibu kota. “Mangsa yang teruja dengan godaan gadis berkenaan segera memandu kereta untuk bertemu dengannya tanpa mengetahui mengenai latar belakang gadis itu dengan tepat.


“Mangsa yang tiba ke lokasi dijanjikan di Jalan Doraisamy, sejam kemudian segera keluar dari kenderaan sebelum bersalaman dengan gadis terbabit tanpa curiga,” katanya.


Namun mangsa terpinga-pinga apabila muncul lima lelaki tidak dikenali yang bertindak mengepungnya. Salah seorang daripada mereka merampas kunci kereta selain berpura-pura menuduh mangsa perampas kekasih orang.

“Salah seorang lelaki itu sengaja mengajukan soalan mengapa mangsa sengaja menyentuh gadis yang didakwa miliknya. “Mangsa cuba memberi penjelasan namun kumpulan itu enggan mendengar alasan sebelum menyerang mangsa.


“Kumpulan itu sengaja menumbuk kepala dan tubuh mangsa beramai-ramai sebelum mengugut mangsa membayar wang tebus dosa sebanyak RM3,600 jika mahu dibebaskan,” katanya.


Bagaimanapun, mangsa memberitahu tidak membawa wang sebanyak itu dan hanya memiliki wang RM1,800 dalam dompetnya. “Suspek merampas semua wang mangsa sebelum memulangkan kunci kereta. Kumpulan itu melarikan diri bersama gadis terbabit yang langsung tidak membantu mangsa ketika diserang.


“Mangsa yang membuka kereta bagaimanapun terkejut apabila mendapati minyak wangi dan pelbagai barang berharga di dalam kenderaannya hilang. “Mangsa yang kerugian lebih RM4,000 kemudian membuat laporan polis,” katanya.


Susulan laporan kejadian peras ugut itu, polis segera menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana jenayah rompakan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Jenayah Depan Rumah

Peguam mati dibunuh depan rumah

IPOH 17 Nov. - Seorang peguam mati selepas diserang empat lelaki bersenjatakan pisau Rambo di depan rumahnya di Taman Desa Rishah, Buntong, di sini semalam.

Mangsa, G. Balasumdram, 57, yang cedera parah di badan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pukul 9 malam, selepas kira-kira empat jam menerima rawatan.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusof berkata, kejadian berlaku sebaik sahaja mangsa turun daripada keretanya selepas pulang dari pejabat.

Katanya, isteri mangsa, L. Pusphalatha, 48, yang mendengar bunyi bising berlari keluar rumahnya sebelum menemui Balasumdram berlumuran darah.

"Mangsa dikejarkan ke HPRB namun meninggal dunia semasa dirawat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zakaria menambah, keempat-empat suspek itu kemudian melarikan diri dengan dua buah motosikal.

"Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan belum ada sebarang tangkapan setakat ini," katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di talian 05-2451222 untuk membantu siasatan.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki, G. Somaskanthar yang berusia lima tahun.

Sementara itu, adik mangsa, G. Kamala, 48, ketika ditemui di HRPB malam semalam berkata, kali terakhir dia berjumpa Balasumbram adalah pada perayaan Deepavali lalu.

Katanya, mangsa merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik.

Sementara itu, jiran Balasumdram, S. Elizabeth berkata, dia nampak mangsa ditikam oleh empat lelaki bertopeng semasa turun daripada keretanya.

"Saya tinggal bertentangan dengan rumah mangsa dan bergegas datang untuk memberikan bantuan setelah mendengar dia menjerit.

"Mangsa meminta saya memanggil ambulans dan selepas itu dia tidak sedarkan diri," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Wednesday, November 17, 2010

Penyamun Remaja



Atuk tembak mati perompak remaja
Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


SIASAT...anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di rumah mangsa, semalam.
PETALING JAYA: Cemas melihat dua cucunya diacu dengan parang, seorang datuk bertindak pantas mengambil senapang patah sebelum melepaskan tembakan ke arah seorang perompak berusia 17 tahun yang menceroboh rumah teres dua tingkat milik mereka di Sungai Way, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi, lelaki berusia 70 tahun itu yang juga bekas mandur estet berada di tingkat atas rumahnya apabila terdengar bunyi bising di tingkat bawah sebelum terlihat seorang remaja lelaki mengacukan parang kepada pembantu rumah serta dua cucunya berusia lapan dan 10 tahun.


Warga emas itu masuk ke biliknya untuk mengambil selaras senapang patah dan ketika bergegas turun dia terserempak suspek yang pada masa sama menaiki tangga untuk ke tingkat atas.

Dengan pantas, dia melepaskan dua das tembakan dan satu daripadanya mengenai rusuk remaja itu sebelum rebah di atas tangga.


Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin, berkata perompak remaja yang terkena tembakan itu mati ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


Menurutnya, ketika kejadian ada lima penghuni dalam rumah itu iaitu lelaki warga emas berkenaan, anak lelaki dan dua cucunya serta seorang pembantu rumah.


“Siasatan awal mendapati lima suspek terbabit kes itu. Tiga daripada mereka menunggu dalam kereta sementara seorang berkawal di pintu rumah. Hanya remaja yang mati ditembak itu masuk ke rumah.


“Sebaik memasuki rumah, remaja itu mengacu parang kepada pembantu rumah serta mengugut untuk membunuh dua kanak-kanak yang ketika itu berada di tingkat bawah sekiranya bapa kanak-kanak terbabit enggan memberi kerjasama menyerahkan barang berharga kepadanya,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Khaw berkata, selepas perompak remaja itu ditembak pemilik rumah menggunakan senapang patah miliknya, rakannya yang berkawal di pintu rumah segera lari masuk ke dalam kereta bersama tiga rakan yang lain sebelum memecut meninggalkan tempat kejadian.


Sehubungan itu, katanya, polis kini giat memburu keempat-empat suspek terbabit yang dipercayai berusia antara 17 dan 20 tahun.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata,” katanya.


Sementara itu, ibu suspek yang ditembak meraung ketika datang menuntut mayat anak sulungnya itu di PPUM di sini, petang semalam.


Wanita berusia 40 tahun itu memberitahu dia tidak menyangka anaknya terbabit kegiatan samun berkumpulan berikutan selama ini dia diberitahu anaknya bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel kenderaan.


Menurutnya, dia cuba menghubungi anaknya kira-kira jam 11 pagi semalam, namun panggilannya tidak dijawab menyebabkan dia menghantar SMS bagi mengetahui keadaan anaknya itu.


“Saya amat terkejut apabila polis datang ke rumah dan memberitahu anak saya mati ditembak kerana melakukan rompakan.


“Saya sedih kerana suami saya masih meringkuk di penjara selepas terbabit kes pukul dan kini anak saya terbabit kes jenayah,” katanya.

Kerana Dendam

Kerani koma diserang celoret meninggal dunia

SHAH ALAM 16 Nov. – Selepas dua hari koma dengan keadaan lengan kiri hampir putus dan perutnya pula hampir terburai diserang dengan celoret, seorang kerani sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini, meninggal dunia awal pagi ini.

Rashidi Mohd. Saman, 27, yang dipercayai diserang oleh dua lelaki Indonesia kerana dendam, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dekat sini, pukul 5.30 pagi.

Sebelum dimasukkan ke HTAR, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan cedera parah di tepi Jalan Muhibbah, Kampung Padang Jawa, di sini pukul 10.15 malam, Ahad lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati, sebelum diserang, mangsa sedang menunggang motosikal bersama teman wanitanya, Zullfa Ismail @ Puteri, 20.

Beliau berkata, semasa tiba di tempat kejadian, dipercayai dua lelaki Indonesia yang juga menaiki sebuah motosikal tiba-tiba menyerang mangsa dengan celoret.

“Suspek dipercayai menggunakan celoret untuk mengelar perut dan tangan kiri mangsa ketika kedua-dua mereka berada di atas motosikal hingga menyebabkan mangsa dan teman wanitanya terjatuh.

“Mangsa dipercayai ditinggalkan selepas kejadian sementara teman wanitanya menghilangkan diri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Nor Azam, orang awam yang ternampak mangsa segera membawanya ke klinik berhampiran untuk dirawat sebelum menghubungi pihak polis.

Bagaimanapun kata beliau, mangsa yang kritikal telah dipindahkan ke HTAR pada malam sama.

“Selepas dua hari dirawat di HTAR, mangsa disahkan meninggal dunia awal pagi ini,” ujar beliau.

Tambah beliau, kematian mangsa disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihaknya kini sedang mencari Zullfa yang berstatus isteri orang, mempunyai seorang anak dan bekerja sebagai tukang cuci di IPT tempat mangsa bekerja.

Kata beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian dan tahu di mana Zullfa diminta menghubungi talian 03-5510 2222 atau mana-mana balai terdekat bagi membantu siasatan.

Maut Pecah Rumah


Remaja pecah masuk rumah mati ditembak


ANGGOTA polis memeriksa kediaman di mana seorang remaja ditembak mati di Jalan SS8/8, Kelana Jaya, semalam.

PETALING JAYA 16 Nov. - Seorang bekas penyelia ladang berusia 70 tahun bertindak berani apabila menembak mati seorang suspek berusia 17 tahun dengan senapang patahnya ketika remaja itu memecah masuk rumahnya di Jalan SS8/8, Kelana Jaya, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 9.40 pagi, suspek bertindak memecah masuk dengan mengumpil pintu rumah dua tingkat tersebut bersama seorang rakannya manakala tiga lagi rakan mereka menunggu di luar rumah.

Kesemua suspek dipercayai berusia lingkungan 17 tahun hingga 20-an yang aktif melakukan jenayah samun di sekitar Lembah Klang.

Salah seorang suspek yang bersenjatakan parang menawan tiga ahli keluarga mangsa dan orang gaji di tingkat bawah manakala seorang lagi naik ke atas bilik mangsa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, mangsa yang menyedari kejadian itu, mengambil senapang patah miliknya lalu melepaskan dua das tembakan.

"Satu tembakan tersasar manakala satu lagi mengenai rusuk suspek. Suspek yang dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya meninggal dunia ketika dalam perjalanan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Kok Chin, rakan suspek yang menunggu di tingkat bawah terkejut mendengar bunyi tembakan itu lalu melarikan diri bersama rakan-rakannya dengan menaiki sebuah kereta.

Katanya, ketika melarikan diri, suspek berjaya mengambil satu telefon bimbit dari dalam rumah terbabit.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu rakan-rakan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Wednesday, November 10, 2010

Jenayah Rogol

Minda: Percaya punca jenayah rogol


KES jenayah berkaitan keganasan seks seperti rogol, liwat dan sumbang mahram dilaporkan semakin meningkat sejak lima tahun lalu. Berdasarkan statistik, keganasan jenayah seks yang dilaporkan pada 2005 ialah 2,427 kes manakala 2,943 (2006); 3,689 (2007); 3,986 (2008) dan 4,238 (2009), keseluruhannya 17,283 kes.

Jumlah tangkapan bagi kes jenayah berkenaan semakin meningkat daripada 1,504 orang pada 2005 kepada 2,701 pada 2009 iaitu peningkatan 1,197 orang. Manakala bagi jumlah pesalah yang didakwa di mahkamah sepanjang tempoh itu bagi kesalahan rogol, liwat dan sumbang mahram ialah 1,437 orang di mana bagi 2005, jumlah pesalah yang didakwa ialah 308 orang; 410 (2006); 304 (2007); 228 (2008) dan 187 (2009).


Menurut statistik dikeluarkan polis, daripada keseluruhan 13,134 kes dilaporkan sepanjang 2000 hingga 2008, Selangor mencatatkan bilangan kes rogol tertinggi iaitu 2,403 kes, diikuti Johor (2,186), Kedah (1,164), Sabah (1,034), Perak (939) dan Kuala Lumpur (847), Pahang (722), Sarawak (715), Kelantan (636), Negeri Sembilan (623), Pulau Pinang (622), Melaka (588), Terengganu (521) dan Perlis (134). Secara relatifnya, kemajuan sesuatu negeri dilihat menyebabkan bilangan penduduk bertambah serta menjadi tumpuan ramai dan secara logiknya, lebih ramai populasi penduduk maka lebih tinggi kadar jenayah yang berlaku.

Namun begitu, menurut penganalisis jenayah dari Yayasan Pencegahan Jenayah, Kamal Affandi Hashim, jumlah laporan kes rogol yang tinggi bagaimanapun tidak mencerminkan terlalu banyak jenayah tersebut berlaku di negara ini dan sebaliknya bilangan laporan yang tinggi bermakna wujud kerjasama erat dan jaringan yang baik antara masyarakat dan polis. Ini kerana lebih banyak kes dilaporkan bermakna orang ramai kini lebih bersedia untuk tampil membuat laporan jenayah dan lebih baik berbanding kes yang disembunyikan. Dalam kes rogol misalnya, ramai mangsa serta keluarga enggan membuat laporan kerana malu sedangkan mereka tidak bersalah dan tidak perlu berperasaan sedemikian.


Secara amnya, faktor umur dan tahap kematangan remaja menyebabkan mereka terbabit dalam jenayah rogol walaupun ada elemen suka sama suka dan mangsa mengenali perogol.


Faktor tertentu seperti suasana persekitaran keluarga juga membuatkan remaja mudah terlibat dalam hubungan seks bawah umur dan banyak kes rogol dilaporkan berpunca daripada perasaan terlalu mempercayai pasangan menyebabkan mangsa bersetuju untuk melakukan hubungan seks.


Siasatan turut mendapati kebanyakan kes berlaku apabila mangsa lari dari rumah dan dalam sesetengah kes, ada mangsa menghilangkan diri sehingga berbulan-bulan di mana setelah dijumpai semula, mangsa membuat pengakuan mengadakan hubungan seks dengan teman lelaki. Polis Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan 40 daripada 56 kes rogol dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini membabitkan mangsa di bawah usia 16 tahun. Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah sebahagian besar kes tersebut melibatkan mangsa melakukan perbuatan itu atas kerelaan sendiri. Meskipun demikian, golongan terbabit tetap dianggap melakukan jenayah kerana melakukan persetubuhan dengan gadis di bawah usia adalah perbuatan jenayah dan salah di sisi undang-undang serta boleh didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (Akta 574). Kementerian Pelajaran turut mengesan 21 kes pelajar mengandung luar nikah di sekolah bandar dan luar bandar antara tahun 2006 dan 2010 di mana 12 kes yang direkodkan di sekolah luar bandar sementara sembilan kes lagi di sekolah bandar. Sebanyak 20 kes mengandung luar nikah itu berlaku berdasarkan suka sama suka antara pelajar dan pasangan mereka sementara satu kes melibatkan jenayah rogol. Semua kes ini dikumpulkan berdasarkan sumber laporan akhbar, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah terbabit dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Bagaimanapun, pelajar yang dilaporkan mengandung luar nikah tidak boleh dibuang dari sekolah mengikut Akta Pendidikan 1966 tetapi akan dinasihatkan bercuti sehingga mereka bersalin.


Oleh itu, melihat perkembangan semasa dan statistik jenayah rogol dinasihatkan agar ibu bapa sentiasa memastikan anak gadis mereka tidak terjebak dalam kegiatan maksiat atau menjadi mangsa rogol yang didapati kian meningkat sejak kebelakangan ini. Kebanyakan kes rogol yang dilaporkan bukan daripada jenis kekerasan, sebaliknya atas kerelaan mangsa terutama dari kalangan remaja perempuan bawah umur yang terlibat melakukan hubungan seks. Ibu bapa perlu memberi perhatian terhadap anak gadis masing-masing supaya tidak terlibat dalam pergaulan bebas yang boleh memberi kesan kepada masa depan anak mereka.


Di samping didikan agama yang mantap dan berterusan, ibu bapa termasuk masyarakat perlu memberi perhatian sewajarnya terhadap gejala tersebut bagi mengelakkan ia berlarutan menjadi serius hingga sukar ditangani kelak. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak dan bukan saja diserahkan kepada pihak berkuasa seperti polis atau pejabat agama untuk menanganinya. Masyarakat perlu mengambil iktibar daripada pelbagai laporan media mengenai kejadian rogol ini dan menjaga anak mereka supaya tidak menjadi mangsa rogol. Masalah sosial ini berterusan berikutan naluri kedewasaan pelajar di samping kebebasan keterlaluan yang diberi keluarga sehingga ada kejadian berkenaan berlaku di rumah dan bilik pelajar itu sendiri.


Malah, kerajaan juga wajar menggubal dan meluluskan undang-undang baru lebih berat terhadap perogol kanak-kanak. Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, undang-undang sedia ada sudah begitu lama dan apa yang berlaku pada masa kini pula jauh berbeza dari dulu termasuk gambar lucah dan pornografi yang begitu mudah didapati. Sebelum itu, peguam terkenal, Karpal Singh meminta kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan supaya perogol kanak-kanak boleh dikenakan hukuman mati di mana mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan, hukuman bagi kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah ialah penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan. Kerajaan juga tidak boleh bertolak ansur dengan pelaku jenayah itu dan isu ini tidak wajar dipandang ringan serta masyarakat perlu mengecam jenayah rogol membabitkan kanak-kanak.


Dalam satu kes yang diputuskan di Mahkamah Tinggi dalam Nisam Ahmad melawan Pendakwa Raya (2010), di mana Yang Arif Hakim memutuskan hukuman yang dijatuhkan hendaklah mengandungi elemen yang berfungsi untuk menghukum pesalah dan juga mencegah orang lain yang mempunyai niat sama untuk melakukan, mengulangi atau meniru kesalahan atau jenayah yang sama. Hukuman itu hendaklah juga menunjukkan betapa seriusnya jenayah tersebut serta meninggalkan ingatan ‘that it does not pay to commit such crime’. Ini kerana dalam jenayah rogol bawah umur, mangsa adalah kanak-kanak yang masih naif tidak tahu betapa ganasnya dunia di luar sana. Perogol mengambil kesempatan sepenuhnya di atas kenaifan mangsanya untuk memerangkap dengan tipu daya dan seterusnya membiarkan nafsu liarnya ke atas mangsa. Perbuatan perogol nyata amatlah kejam, keji lagi terkutuk pada pandangan masyarakat baik dari sudut moral, agama, budaya, latar belakang mahupun dari segi undang-undang. Masyarakat secara umumnya tidak boleh bertoleransi terhadap jenayah kejam ini dan dengan itu hukuman yang dikenakan hendaklah juga mencerminkan ‘the public’s intolerance and abhorrence’ ke atas jenayah yang seperti ini lebih-lebih lagi jika ia melibatkan anak-anak yang masih mentah.

>Penulis seorang peguam

Saturday, November 6, 2010

Samun


Dicekup 15 minit lepas samun



RAMPAS...antara barangan yang dirampas daripada perompak, semalam.
GOMBAK: Tiga lelaki ditahan dalam tempoh 15 minit sejurus selepas menyamun sebuah kedai runcit, di Selayang Baru, di sini pagi kelmarin.

Ketiga-tiga suspek berusia 18 hingga 26 tahun terbabit menyamun kedai berkenaan selepas berpura-pura menyamar sebagai pelanggan.


Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, seorang daripada suspek masuk ke kedai itu sebelum berpura-pura bertanya sama ada kedai berkenaan menjual minuman keras.

“Bagaimanapun, pemilik kedai memberitahu premisnya tidak menjual minuman keras menyebabkan suspek naik angin dan memarahi mangsa.


“Suspek yang tidak berpuas hati keluar dari kedai berkenaan sebelum datang semula beberapa minit kemudian membawa sebilah parang. Suspek sekali lagi bertanya soalan sama kepada mangsa,” katanya.


Menurutnya, dalam keadaan mangsa masih terpinga-pinga, dua lagi rakan suspek menyerbu masuk sebelum mengacukan parang ke arah mangsa.


“Suspek menyelongkar barangan di dalam premis itu sebelum mengambil rokok, wang jualan dan beberapa barang lain. Kumpulan penjenayah itu kemudian melarikan diri.


“Mangsa yang tidak dicederakan segera menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu sebelum polis menjalankan gerakan memburu suspek,” katanya.


Menurutnya, hasil tindakan pantas polis, ketiga-tiga suspek diberkas kurang 15 minit kemudian di kawasan berhampiran kedai berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan penahanan ketiga-tiga lelaki terbabit. “Semua suspek ditahan jam 11.45 pagi pada hari sama kejadian. Hasil pemeriksaan menemui sebilah parang, dua cota warna hitam, enam pucuk pistol mainan plastik, sebilah pisau lipat, tujuh telefon bimbit, dan pelbagai barangan runcit hasil samun kedai berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, semua suspek direman sehingga Isnin ini dan setakat ini pihaknya masih menyiasat sama ada mereka terbabit dalam kes rompakan lain atau tidak.

Thursday, November 4, 2010

10 Minit RM200,000

Tiga rompak Tesco RM200,000

KLANG 3 Nov. - Tiga lelaki bersenjatakan parang mengambil masa hanya 10 minit untuk memecah masuk pejabat pasar raya besar Tesco di Bukit Tinggi di sini, sebelum melarikan wang tunai RM200,000.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop memberitahu, kejadian berlaku pukul 11.30 pagi dan pihak polis dimaklumkan mengenainya kira-kira 15 minit kemudian.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek yang memakai topi menyerbu masuk ke pejabat pasar raya itu sebaik sahaja dibuka seorang kakitangannya.

"Menurut saksi, pejabat yang terletak di tingkat satu bangunan itu berkunci tetapi ketiga-tiga perompak berjaya masuk apabila dibuka oleh kakitangan terbabit.

"Ketika itu terdapat tiga petugas di dalamnya tetapi mereka tidak diikat atau dicederakan oleh suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan ketika kejadian, ketiga-tiga petugas itu sedang mengira wang tersebut.

Wang tunai itu juga tidak disimpan di dalam peti keselamatan selain pejabat tersebut tidak dikawal oleh pengawal keselamatan.

Mohamad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu didalangi orang dalam kerana suspek mudah memboloskan diri dalam masa 10 minit.

"Salah seorang pekerja di situ telah ditahan untuk membantu siasatan dan gerakan dilancarkan bagi memburu perompak-perompak berkenaan," ujarnya.

Beliau berkata, polis kini sedang menyiapkan lakaran wajah ketiga-ketiga suspek berdasarkan keterangan saksi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata berkumpulan.

Cuai

RM45,000 lesap dalam 2 kejadian samun

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Sikap cuai seorang pengarah projek binaan meninggalkan RM20,000 dalam kereta untuk keluar bekerja di tapak projek Penjara Pudu di sini, kelmarin mengundang padah apabila wang itu dilarikan penjenayah.

Mangsa yang berusia 46 tahun meletakkan wang tersebut di ruang khas dalam kenderaan pacuan empat rodanya pukul 3.45 petang.

Sumber polis berkata, mangsa yang terlibat dalam projek pembinaan di tapak Penjara Pudu hanya menyedari kehilangan wang tersebut semasa kembali ke keretanya pada pukul 4.30 petang.

"Selesai tugas di tapak projek, pengarah itu pergi mengambil keretanya untuk pulang namun terkejut apabila mendapati cermin hadapan kenderaannya pecah.

"Hasil pemeriksaan mendapati wang RM20,000 yang disimpannya sudah hilang," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut sumber, pengawal keselamatan yang bertugas di tempat letak kereta di situ memaklumkan tidak melihat sesiapa yang mencurigakan menghampiri kenderaan mangsa.

Katanya, polis percaya penjenayah telah mengekori mangsa yang sebelum itu, mengeluarkan wang dari sebuah bank di USJ Subang Jaya.

Dalam kes lain, sumber berkata, seorang ahli perniagaan mengalami nasib sama selepas mengeluarkan wang RM25,000 dari sebuah bank di Jalan Ampang.

"Kejadian berlaku pukul 1.30 petang semasa mangsa memberhentikan keretanya di tepi jalan kerana tayar pancit akibat terkena paku dipercayai sengaja diletakkan oleh suspek.

"Mangsa berusia 60-an sebelum itu membuat pengeluaran wang di Menara RHB sebelum memandu untuk pulang ke rumahnya di Wangsa Maju," katanya.

Menurutnya, ketika mangsa melalui terowong di Jalan Tun Razak dia mendapati tayar keretanya pancit lalu berhenti untuk menukar tayar tersebut.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun terpaksa menghubungi isterinya untuk datang ke situ kerana dia tidak membawa peralatan diperlukan.

"Sejurus isterinya tiba di tempat kejadian, mangsa segera menukar tayar keretanya. Kesempatan itu digunakan suspek yang menaiki motosikal untuk melarikan wang yang diletakkan di tempat duduk belakang," ujar beliau.

Tukang Rumah Pecah Rumah


5 tukang rumah kaki pecah rumah tumpas

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my

A. Thaiveegan (memegang pistol) sambil menunjukkan barangan yang dirampas daripada geng pecah rumah di Seri Kembangan, dekat Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Lima rakan ini kelihatan seperti tukang rumah biasa, namun rupa- rupanya mereka menganggotai Geng Ah Soon iaitu kumpulan pecah rumah bersenjata api.

Modus operandi kumpulan itu adalah membaiki rumah sambil memerhatikan selok-belok kediaman tersebut untuk dijadikan sasaran.

Rumah sewa mereka di kawasan Taman Sungai Besi Indah di sini, menjadi lokasi intipan dan merancang kegiatan jenayah berkenaan.

Kegiatan mereka sejak setahun lalu, bagaimanapun terbongkar apabila polis menahan lima anggota kumpulan itu di rumah sewa tersebut, Rabu lalu.

Difahamkan, semasa ditahan kumpulan itu baru sahaja melakukan samun dipercayai di tiga buah rumah sekitar kawasan Taman Bukit Serdang, dekat sini.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, bertindak hasil maklumat mengenai tiga kejadian pecah rumah di sekitar Serdang, pihaknya berjaya menahan mereka.

"Mereka yang berusia 28 hingga 43 tahun itu bekerja sebagai tukang rumah.

"Kita percaya, ketika melakukan kerja-kerja membaiki, mereka memerhatikan selok-belok rumah untuk dipecah masuk," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Menurutnya, kumpulan itu dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Serdang, Kajang dan Cheras dengan memilih masa di awal pagi ketika penghuni keluar berjoging.

Katanya, ketika serbuan, lima suspek itu sedang membuka sebuah peti besi yang dipercayai baru dilarikan.

Katanya lagi, turut ditemui sepucuk pistol, kad kredit, kunci kereta, telefon bimbit, jam tangan, barang kemas, televisyen, komputer riba, kereta Toyota Camry dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan pecah rumah.

"Siasatan mendapati suspek memecah masuk dengan merosakkan pintu pagar atau jeriji rumah mangsa.

"Kenderaan itu pula milik pegawai tentera berpangkat mejar yang dicuri di Kawasan Perindustrian Trisegi Sungai Besi, 26 Oktober lalu," ujar beliau.

Tambah Thaiveegan, salah seorang daripada suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau bersabit kes samun, pecah rumah dan dadah.

"Saringan ujian air kencing mendapati, kesemua suspek positif dadah jenis syabu. Kita percaya, ketika melakukan jenayah terbabit, kesemua mereka berada di bawah pengaruh dadah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu ketua kumpulan itu, Lee Yuan Soon atau lebih dikenali sebagai Ah Soon berusia 37 tahun.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 dan 379 A Kanun Keseksaan.

Tuesday, November 2, 2010

Polis Palsu


Waspada lelaki menyamar polis guna buku saku


Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid menunjukkan contoh kad kuasa polis yang sebenar pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Orang ramai khususnya warga kota diminta berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penjenayah yang menggunakan buku saku berwarna biru dan tertera lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendakwa mereka kononnya adalah anggota dan pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, kegiatan menyamar sebagai anggota polis ini sering berlaku terhadap mangsa yang terdiri daripada golongan wanita.

Menurutnya, kebanyakan wanita yang ditahan oleh individu yang mendakwa sebagai polis, biasanya mudah cemas dan ini menyebabkan mereka mudah menjadi mangsa.

"Kita meminta orang ramai khususnya wanita supaya berwaspada kerana penjenayah ini hanya menunjukkan sebuah buku kecil berwarna biru tertera lambang PDRM untuk menyamar sebagai anggota pasukan ini.

"Saya ingin maklumkan di sini bahawa setiap anggota atau pegawai polis sepatutnya memperkenalkan diri mereka kepada orang awam dengan menunjukkan kad kuasa berwarna biru atau kuning dan bukannya buku saku," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini.

Wan Abdul Bari memberitahu, baru-baru ini, empat wanita mendakwa mereka menjadi mangsa individu yang menyamar sebagai polis sebelum disamun dalam kejadian berasingan di sekitar Bangsar.

"Dalam kejadian pertama, mangsa yang berusia 22 tahun dan bekerja di sebuah butik disamun seorang lelaki bermotosikal yang mendakwa sebagai polis.

"Wanita itu 'ditahan' oleh lelaki tersebut pada 18 Oktober lalu selepas dilihat menggunakan telefon semasa memandu," katanya.

Menurut beliau, kejadian yang sama menimpa tiga lagi mangsa iaitu pada 22 dan 27 Oktober lalu.

Katanya, penjenayah dipercayai individu juga turut mengenakan jaket polis dan berseluar biru untuk memperdayakan mangsa sebelum mengarahkan wanita itu menyerahkan lesen dan barangan berharga lain.

Tambahnya, hasil siasatan lanjut, polis menahan seorang lelaki berusia 31, yang bekerja sebagai penghantar surat pada pukul 2 petang ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Kami mendapati lelaki terbabit menggunakan nombor plat palsu dan motosikal curi. Buat masa ini, suspek masih disiasat sama ada dia terlibat dalam jenayah penyamaran itu," katanya lagi.

Pukau


Pukau: Hati-hati lelaki berkopiah


RAKAMAN kamera litar tertutup di sebuah bank yang menunjukkan seorang lelaki berkopiah yang didakwa memukau seorang peniaga sehingga kerugian RM2,100 di Shah Alam, baru-baru ini

SHAH ALAM 1 Nov. - Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan taktik seorang lelaki berkopiah berusia lingkungan 50-an yang disyaki memukau mangsa ketika mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) di bandar raya ini.

Dalam kejadian terbaru, seorang pengusaha kedai runcit mendakwa menjadi mangsa pukau lelaki itu ketika mendepositkan wang hasil perniagaannya berjumlah RM5,000 di sebuah bank di Seksyen 14 di sini.

Ketika kejadian, mangsa mendakwa dia tiba-tiba ditepuk dari belakang oleh seseorang dan sebaik sahaja dia menoleh, seorang lelaki berpakaian kemas menegurnya konon cara dia memasukkan wang itu salah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, mangsa kemudian menyerahkan wang sejumlah RM5,000 kepada suspek sebelum ia dikembalikan semula kepada mangsa.

Menurut beliau, mangsa kemudian memasukkan semula wang itu ke dalam mesin deposit tanpa menyedari bahawa wang itu sudah berkurangan.

"Apabila transaksi berjaya, mangsa mendapati jumlah yang tertera pada resit hanya RM2,900 manakala baki RM2,100 sudah lesap.

"Ketika itu, mangsa mendakwa terdapat dua lelaki berusia lingkungan 30-an yang melindung perlakuan suspek daripada dilihat orang ramai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noor Azam memberitahu, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di bank tersebut, polis mendapati seorang lelaki berkopiah putih dan dua lagi rakannya berada di belakang mangsa ketika kejadian.

Beliau menyeru orang ramai agar berhati-hati jika ingin mendepositkan wang, lebih baik pergi ke kaunter jika ingin memasukkan wang dengan jumlah yang banyak kerana kes seumpama itu kerap berlaku.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memberikan wang kepada orang yang tidak dikenali.

Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Sarjan Fuzi Daud di talian 03-55102222 bagi membantu siasatan.