Thursday, January 27, 2011

Curi Getah


Harga getah beku naik, susu dicuri

Nor Kartini Abu Hassan (kiri) bersama pekerjanya menunjukkan mangkuk susu getah kosong akibat dicuri di Ladang Kuala Gris, Kuala Krai, Kelantan, semalam.

KUALA KRAI 26 Jan. - Kenaikan harga getah di pasaran dunia menyaksikan komoditi itu menjadi sasaran pencuri sehingga ada yang sanggup meredah ladang getah tanpa mengira waktu siang atau malam bagi mendapatkan susu getah.

Antara ladang getah menjadi sasaran pencuri ialah di Kuala Gris dekat sini, yang diusahakan oleh penduduk kampung berkenaan.

Seorang penduduk, Bakar Junoh, 70, mendakwa, dia yang mengusahakan ladang getah seluas satu hektar sebelum ini mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM1,000 sebulan ketika harga getah di paras RM4 sekilogram.

Bagaimanapun dakwanya, apa yang mengecewakan ialah apabila harga getah mencecah RM8 sekilogram ketika ini, dia masih memperoleh pendapatan sama disebabkan banyak susu getah dan getah beku dicuri oleh pencuri.

"Sepatutnya saya boleh memperoleh pendapatan sekali ganda disebabkan peningkatan harga getah di pasaran.

''Bagaimanapun, ia tidak berlaku apabila banyak susu getah dan getah beku dicuri oleh pencuri memandangkan permintaan terhadap getah kini meningkat.

"Saya cukup kecewa di atas apa yang berlaku dan lebih mengecewakan ialah tidak ada tindakan daripada pihak berwajib bagi mengatasi masalah tersebut walaupun aduan ada dibuat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Fatimah Omar, 70, pula memberitahu, dia dan suami hanya mengharapkan hasil dari menoreh getah untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

Dakwanya, apa yang menyedihkan ialah kebelakangan ini banyak susu getah dan getah beku yang dipungut hilang dilarikan oleh pencuri.

"Pencuri terbabit dikatakan akan menyorokkan susu getah dan getah beku itu di kawasan semak sebelum diangkut pada sebelah malam untuk dijual kepada peraih bagi mengelak dikesan," dakwanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Ladang Kuala Gris, Nor Katini Abu Hassan memberitahu, pihaknya telah mengambil beberapa pendekatan untuk mengatasi masalah itu , termasuk mengadakan operasi menahan pencuri terbabit.

Bagaimanapun katanya, apa yang mendukacitakan ialah, kecurian terus berlaku selepas penjenayah terbabit dibebaskan semula sementara menunggu kes mereka diselesaikan.

Justeru, beliau berharap, pihak berkuasa membuat pemantauan lebih kerap terutama di kawasan pedalaman bagi mengelak penjenayah terus menjadikan hasil usaha penduduk sebagai sasaran mereka.

"Ini untuk memastikan penoreh mendapat hasil yang lebih baik bagi membolehkan mereka meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment