Sunday, January 9, 2011

Licik Tol


Awas muslihat licik pencuri

CHERAS SELATAN – Peniaga dinasihatkan berhati-hati dengan taktik penipuan licik penjenayah yang menyamar sebagai pelanggan dengan menggunakan wanita dan seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan tiga tahun untuk mencuri barangan dengan memasukkannya ke dalam pakaian.

Menceritakan kejadian yang menimpa dirinya, mangsa, Lim Huei Werm, 29, berkata, kejadian berlaku pada penghujung Oktober tahun lalu apabila premis perniagaannya yang menjual ubat-ubatan di Kawasan Perniagaan Cheras Selatan, Balakong didatangi dua lelaki India berbadan besar.

Menurutnya, dua lelaki berkenaan berlagak seperti pelanggan dengan memesan ubat dan vitamin dalam kuantiti yang bayak kononnya ingin membeli ubatan tersebut sebelum rakan subahatnya wanita dan seorang kanak-kanak bertindak mencuri barangan yang ada di dalam kedai ketika dia sibuk melayan dua lelaki terbabit.

“Lelaki berkenaan bertanya soalan tentang pelbagai ubatan yang jarang dibeli pelanggan di kaunter bayaran bagi melengahkan masa manakala dalam masa yang sama rakan subahatnya wanita dan kanak yang turut sama ada di dalam premis berkenaan pula berulang alik masuk dan keluar dari premis berkenaan dengan membawa barang yang dicuri.

“Kedua lelaki berkenaan turut membeli ubat di kedainya dan menempah beberapa jenis ubat serta meninggalkan nombor telefon bimbit sementara wanita dan kanak-kanak berkenaan bergegas keluar selepas melihat kedua lelaki berkenaan membayar wang,” katanya ketika memaklumkan kejadian berkenaan kepada Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang melawat sekitar kawasan perniagaan berkenaan semalam.

Huei Werm berkata, menyedari sesuatu berlaku, dia kemudiannya cuba menelefon lelaki berkenaan namun gagal menyebabkan dia segera meneliti kembali rakaman litar tertutup (CCTV) yang dipasang.

“Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati wanita dan kanak-kanak berkenaan memasukkan ubat-ubatan ke dalam pakaian mereka ketika saya sedang melayan dua lelaki berkenaan di kaunter.

“Akibatnya saya mengalami kerugian kirai-kira RM4,000, laporan polis telah dibuat bagi memastikan kejadian yang sama tidak lagi berlaku,” katanya.

Sementara itu, Nie Ching berkata, peniaga perlu sentiasa berwaspada kerana penjenayah akan melakukan pelbagai taktik bagi memastikan kegiatan mereka terlaksana.

No comments:

Post a Comment