Sunday, January 2, 2011

Cikgi Berani


Guru nekad langgar dua peragut

Oleh ABDUL MUIN SAPIDINmuin.sapidin@utusan.com.my

AZZAHIDA Othman menunjukkan bagaimana cermin keretanya dipecahkan oleh peragut sehingga anaknya tercedera setelah terkena serpihan kaca di Taman Bertam Putra Kepala Batas Pulau Pinang, semalam.

KEPALA BATAS 1 Jan. - Kenapa seorang guru, Azzahida Othman, 35, begitu berani mengejar sebelum melanggar dua peragut yang melarikan beg tangannya dengan kereta sehingga suspek berjaya ditahan?

Ini kerana menurut Azzahida Othman, 35, dia geram apabila suspek mencederakan anaknya dalam kejadian di Taman Bertam Putra, di sini semalam.

"Kalau dia nak ambil beg tangan, saya masih boleh terima tapi saya geram dia tergamak cederakan anak saya," katanya.

Berikutan itu, Azzahida nekad mengejar dan melanggar dua penjenayah berkenaan sebelum mereka dibelasah orang ramai.

Azzahida yang merupakan guru Sekolah Menengah Dato Onn, Bagan Ajam itu, memberitahu, ketika kejadian, salah seorang peragut memecahkan cermin pintu sebelah kiri keretanya menggunakan senjata tajam.

Katanya, suspek kemudian merampas beg tangannya berisi rantai leher bernilai RM7,000, dua telefon bimbit dan sejumlah wang tunai yang diletakkan di tempat duduk sebelah pemandu.

Tambahnya, walaupun cuba melawan dengan menarik beg tangannya, dia akhirnya mengalah apabila melihat peragut terbabit seolah-olah mengacukan pisau ke arah anaknya, Ikmal Farhat Norhisyam, 6.

"Ketika itu, saya lihat tangan Angah (Ikmal Farhat) berdarah kerana terkena serpihan cermin kereta yang dipecahkan.

"Saya rasa geram sangat lalu nekad mengejar mereka sambil menekan hon berkali-kali untuk tarik perhatian jiran-jiran," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, Azzahida baru keluar dari rumah untuk mendaftarkan Ikmal Farhat ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Chung, dekat sini.

Mangsa kemudian dihampiri kedua-dua suspek menaiki motosikal yang berpura-pura bertanyakan arah jalan sebelum memecahkan cermin keretanya.

Secara pantas, suspek merampas beg tangan Azzahida sebelum melarikan diri menggunakan jalan pintas di taman tersebut menuju ke jalan utama.

Azzahida memberitahu, dia mulanya secara tidak sengaja terlanggar motosikal suspek hingga kedua-duanya terjatuh tetapi apabila salah seorang peragut bangkit dan meluru ke arahnya, dia tidak mempunyai pilihan lain lalu nekad melanggar kedua-dua suspek sekali lagi.

"Ketika itu, kira-kira 20 penduduk sudah mengerumuni mereka (peragut) dan selepas mengetahui kejadian tersebut penduduk membelasah suspek malah ada menggunakan kayu golf," katanya yang sudah 10 tahun bertugas sebagai guru.

Sementara itu, suami Azzahida, Norhisyam Salleh, 36, memberitahu, isterinya masih trauma sehingga tidak dapat tidur semalaman ekoran kejadian tersebut malah hanya menjamah separuh roti canai ketika bersarapan pagi ini.

TAJUK

No comments:

Post a Comment