Thursday, March 21, 2013

tidak pernah ambil ikhtibar

ARKIB : 19/03/2013

Ibu tunggal trauma anak dilarikan penjenayah bersama kereta

SEORANG penduduk kampung melihat bangkai kereta Proton Wira milik Noraini Mohamad yang dipercayai dibakar penyamun di tepi sawah di Kampung Tanjung Takang, Bachok hari ini. - UTUSAN
BACHOK 19 Mac - Seorang ibu tunggal di Kampung Pauh Sembilan, dekat sini masih trauma mengenangkan insiden kehilangan anaknya yang berusia lapan tahun selama beberapa jam selepas keretanya dilarikan penyamun ketika pulang dari berniaga di pasar borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Ahad lalu.
Noraini Mohamad, 39, berkata, kejadian yang tidak diduga itu berlaku pada pukul 2.30 pagi ketika dia turun dari kereta untuk membuka pintu pagar.
Kejadian itu juga jelas Noraini, menyebabkan dia kehilangan wang tunai RM4,000, barang kemas, telefon bimbit dan beberapa dokumen penting selain kereta miliknya turut dibakar penjenayah terbabit.
"Ketika itu saya terdengar bunyi orang berlari dalam keadaan gelap dan terus masuk ke dalam kereta. Anak keempat yang turut menemani saya berniaga, Nordini Amalina Mohd. Zabidi, 8, berada dalam kereta berkenaan.
"Saya tergamam dengan kejadian yang berlaku dengan terlalu pantas dan meminta bantuan orang ramai untuk membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Bachok selepas itu," kata ibu kepada enam orang anak itu ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Noraini berkata, anak perempuannya ditemui beberapa jam kemudian di Kemumin, Pengkalan Chepa, dipercayai ditinggalkan di situ oleh penyamun terbabit. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130319/je_12/Ibu-tunggal-trauma-anak-dilarikan-penjenayah-bersama-kereta#ixzz2O7a8Tn4r
© Utusan Melayu (M) Bhd

Saturday, March 16, 2013

impian berlakon gagal

Impian jadi pelakon terbantut
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2013
Impian jadi pelakon terbantut
Mangsa menceritakan semula tawaran berlakon yang diterima dari individu tidak dikenali.
ALOR GAJAH - Gara-gara terlalu teruja untuk menjadi pelakon, seorang pelajar sebuah kolej di daerah ini kerugian RM1,500 selepas terpedaya dengan janji seorang individu yang menyamar sebagai krew sebuah syarikat perfileman.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Amin, 20, mendakwa, dia mula berkawan dengan seorang lelaki menerusi laman sosial pada awal tahun lalu sebelum ditawarkan untuk berlakon dalam sebuah drama terbitan syarikat itu.

Menurutnya, lelaki yang dikenalinya itu berusia dalam lingkungan 20-an dan mereka berkawan sebelum saling bertukar gambar nombor telefon.

"Saya tidak pernah berjumpa dengannya dan ditawarkan berlakon dalam satu watak sebuah drama.

"Disebabkan terlalu teruja dengan tawaran itu saya terus bersetuju. Lelaki itu meminta saya memasukkan wang RM1,500 ke dalam satu akaun atas tujuan pengurusan untuk saya mula berlakon," katanya.

Amin berkata, pembayaran dibuat secara ansuran bermula April hingga September tahun lalu berikutan dia masih belajar.

"Saya langsung tidak mencurigai apa-apa tambahan pula lelaki itu memperkenalkan diri sebagai krew sebuah syarikat perfileman terkenal membuatkan saya yakin untuk menerima tawarannya.

"Wang sudah dimasukkan pada Julai tahun lalu dan saya dijanjikan satu watak dalam sebuah drama yang akan menjalani penggambaran bermula Februari lalu namun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan berita," katanya.

Dia yang berasal dari Sabah berkata, dia cuba menghubungi nombor telefon yang diberikan sebelum ini namun tiada sebarang maklum balas diterima termasuk menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) membuatkan saya sedar telah ditipu.

"Sepanjang berkawan lelaki itu menunjukkan sikap dan layanan baik serta bersungguh-sungguh untuk mengambil saya berlakon dalam drama Indonesia," katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian membabitkan pelajar kolej itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

hampir tertipu lepas makan kek

Dipukau selepas makan kek
Wartawan Sinar Harian
15 Mac 2013
Dipukau selepas makan kek
Kampung Baru Bukit Gelugor.
Dipukau selepas makan kek
Chai Kim Sung
JUASSEH – “Selepas makan kek yang diberi dua individu tidak dikenali, saya seperti dipukau dan mengikut sahaja apa yang mereka cakap, tetapi nasib baik mereka tidak berjaya melarikan sarang burung walid,” kata mangsa pukau, Chai Kim Sung, 52, di Kampung  Baru Bukit Gelugor.

Kim Sung yang juga seorang penoreh getah, berkata, kejadian itu berlaku pada 8 Mac lalu, jam 3 petang di sebuah kedai minum berhampiran kampung itu.

Menurutnya, dia disapa dua lelaki tidak dikenali dan berpakaian korporat. Mereka bertanya nama tempat dan menyuarakan hasrat mahu membeli sarang burung walid.

“Saya beritahu, saya ada seorang rakan menjual sarang burung walid dan dua individu itu sangat teruja kerana mahu membeli 4 kilogram (kg) sarang burung itu,” katanya.

Kim Sung berkata, dalam sibuk berbual, dua individu terbabit memberikannya kek dan selepas itu dia seolah-olah lupa seketika apa yang berlaku.

“Selepas makan kek itu, saya seperti dipukau. Saya hanya fokus kepada dua individu itu sahaja. Selepas membuat perhitungan, mereka mahu ambil 4kg sarang burung dengan harga sekilogram RM4,500. Namun, mereka mahu ke bank untuk mengeluarkan wang dan hanya menghubungi saya pada jam 5.30 petang, " katanya.

Menurutnya, dia mula sedar dirinya dipukau selepas pulang dari rumah.

"Isteri menegur saya selepas saya beritahu ada orang mahu membeli sarang burung. Saya terus terkejut, lalu tersedar. Hati saya kuat menyatakan dua individu itu penipu,” katanya.

Menurutnya, dia berpakat dengan rakan untuk memerangkap dua individu yang berusia 50 dan 60 an itu kerana mencurigakan.

"Lebih kurang jam 6 petang, saya bersama rakan menaiki kenderaan sekitar kampung itu.

“Dalam masa yang sama, kereta jenis Perodua Viva berwarna putih masuk ke kampung ini. Kami berselisih, dan dua individu itu tidak berhentikan kereta hinggalah sampai ke hujung kampung, " katanya.

Kim Sung berkata, mereka nekad menghalang kenderaan itu, tetapi individu itu berjaya melarikan diri tanpa sempat mengambil sarang burung walid.

Menurutnya, kejadian itu pernah berlaku di Pilah dan kerugian lebih dari RM5,000.

“Saya tidak buat laporan polis kerana tiada bukti kukuh. Saya ingin berkongsi pengalaman saya supaya orang lain tidak mudah terpedaya dengan dua individu yang difahamkan dari Johor Bahru,” katanya.