Saturday, September 21, 2013

guru ditipu

Bekas guru ditipu dua 'haji'
  • Bekas guru ditipu dua 'haji' Chee Heng menunjukkan tiket daripada sebuah agensi nombor ramalan yang kononnya dimenangi seorang pesara guru sebelum mangsa menyedari dia ditipu.
1 / 1
PETALING JAYA – Perkenalan seorang pesara guru dengan dua lelaki yang mendakwa diri mereka bergelar haji berakhir dengan insiden dia ditipu sebanyak RM120,000.

Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng berkata, kejadian dikatakan bermula apabila warga emas itu membeli nombor ekor di sebuah agensi nombor ramalan di SS14, Petaling Jaya.

Mangsa didatangi dua lelaki yang memperkenalkan diri mereka sebagai ‘haji’ dan meminta bantuannya membeli nombor ekor.

"Kedua-dua lelaki itu berjaya mempengaruhi mangsa dan mendakwa nombor bakal dibeli pasti akan ‘kena’.

"Mereka kemudian berbincang dan bersetuju berkongsi wang membeli nombor yang diramal menang besar itu," katanya.

Menurut Chee Heng, nombor berkenaan dicatatkan di atas sekeping kertas namun kedua-dua lelaki itu mengarahkan mangsa supaya tidak melihatnya dan terus berikan kepada pekerja di agensi nombor ramalan terbabit.

Bagaikan dipukau, mangsa hanya menuruti apa yang disuruh dan kemudian pulang ke rumah tanpa mengesyaki sebarang insiden buruk.

Keesokan harinya, salah seorang daripada dua lelaki itu menghubungi mangsa dan mengatakan nombor yang dibeli memenangi hadiah lumayan bernilai RM2 juta.

“Mangsa diarahkan membayar sedikit wang kononnya untuk membuat ‘korban’ kambing sempena kemenangan itu dan perlu membayar wang sebanyak RM240,000 untuk dibahagikan,” katanya.

Mangsa pada awalnya mendakwa tidak mempunyai wang, bagaimanapun sekali lagi bagai dipukau, dia menyerahkan wang tunai sebanyak RM120,000 kepada lelaki berkenaan.

Dia juga dikatakan meminta wang sebanyak RM50,000 daripada anaknya untuk diserahkan kepada kedua-dua lelaki terbabit, namun tidak ditunaikan.

“Selepas dua hari, mangsa  menyedari dia ditipu kerana gagal menghubungi kedua-dua ‘haji’ berusia 50-an itu,” katanya.

Chee Heng turut menasihatkan orang ramai supaya waspada dan tidak mudah tertipu dengan taktik kotor seperti itu.

risiko baju kurung





Wanita berbaju kurung jadi sasaran penjenayah
  • Pakai baju kurung mudah dirogol Demonstrasi khas bagaimana penjenayah mengambil kesempatan tanpa mangsa menyedarinya.
1 / 1
PETALING JAYA – Wanita yang memakai baju kurung mudah menjadi sasaran penjenayah.

Pegawai Perhubungan Awam AMANITA PDRM, Inspektor Q Sheila berkata, berdasarkan trend kes rogol terkini, kebanyakan mangsa yang memakai baju kurung mudah menjadi mangsa disebabkan pakaian itu.

Menurutnya, pakaian itu juga  boleh dijadikan peralatan  untuk memudahkan suspek melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Saya tidak cakap tidak boleh pakai baju kurung, tetapi wanita harus berhati-hati kerana pelaku ini berada di mana sahaja.  Jadi sebagai wanita tidak seharusnya kita memberi peluang kepada mereka,” katanya ketika memberi ceramah pada Kempen Pencegahan Jenayah & Keganasan Terhadap Wanita  dengan kerjasama KRT Taman gasing Indah, di Dewan Sivik MBPJ, semalam.

Menurutnya, aksesori lain yang sering dipakai oleh wanita pada tubuh badan tanpa disedari juga berisiko menjadi senjata kepada penjenayah.

“Klip rambut, beg tangan, kerongsang  boleh digunakan  penjenayah sebagai senjata kerana ada kes barang ini digunakan untuk mencederakan mangsa. Jadi kena kurangkan pemakaian aksesori pada tubuh,” katanya.

Selain itu, wanita juga perlu bijak sekiranya berada berseorangan terutama di dalam lif dan kawasan tempat letak kereta.

“Berdiri dalam posisi yang rapat dengan dinding lif juga membantu agar penjenayah tidak boleh mengambil kesempatan, begitu juga ketika meletakkan kenderaan di parkir yang sunyi, sentiasa memerhatikan keadaan sekeliling sebelum masuk dan keluar dari kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut  menyarankan agar wanita mempunyai peralatan bagi menangkis serangan penjenayah.

“Peralatan ini banyak di pasaran, boleh beli mana yang sesuai dan lazimnya pilihlah peralatan yang mudah dibawa dan digunakan,” katanya.

Sunday, September 1, 2013

ditipu rakan cyber

Jadi mangsa kekasih siber
  • Jadi mangsa kekasih siber Mangsa membuat laporan agar Puteri dapat dibawa ke muka pengadilan dan berkongsi kisah hidupnya untuk dijadikan pengajaran.
1 / 1
MARANG – Seorang pemuda berusia 29 tahun berputih mata dan rugi lebih RM40,000 apabila ditipu seorang gadis yang dikenalinya sejak dua tahun lalu di ruang sembang disediakan dalam telefon bimbitnya.

Malah pemuda terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Zahari, 29, berkata, gadis dikenali dengan nama Puteri itu berjanji untuk hidup bersama dan mereka juga merancang melangsungkan perkahwinan pada Februari lalu.

“Namun, apabila masanya tiba, Puteri memberi pelbagai alasan termasuk memaklumkan dia terlibat dalam kemalangan. Apabila saya ajak bertemu ketika kami berbual dalam talian, dia juga sering menolak dengan pelbagai alasan.

“Selepas itu, baru saya sedar saya telah ditipu dan menjadi mangsa Puteri,” katanya yang telah menghabiskan lebih separuh daripada wang pampasan kemalangan berjumlah hampir RM70,000 diperoleh pada Disember tahun lalu.

Berikutan itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori itu membuat laporan polis di Balai Polis Marang agar gadis terbabit dapat dibawa ke muka pengadilan, selain berkongsi kisah hidupnya untuk dijadikan pengajaran kepada masyarakat.

Mohd Zahari berkata, walaupun agak mustahil untuk mendapatkan semula wang yang telah dimasukkan ke dalam akaun kekasih sibernya itu, namun dia masih berharap wang tersebut dapat dikembalikan semula kepadanya.

“Saya merayu Puteri pulangkan semula wang yang telah diberikan itu termasuk wang yang diberikan untuk tujuan persiapan majlis perkahwinan walaupun saya tahu mustahil untuk mendapatkan semula wang itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan mangsa.

gengster pakai ilmu kebal

Ahli kongsi gelap sanggup tuntut ilmu kebal
  • Shamsuri Shamsuri
1 / 1
SHAH ALAM – [Dikemaskini] Demi pengaruh dan kuasa, ada segelintir ahli kongsi gelap yang sanggup menuntut ilmu kebal di negara jiran, Indonesia dan Thailand.

Mendedahkan perkara itu, pendakwah bebas, Datuk Shamsuri Shafie berkata, ia diakui sendiri oleh bekas ahli kongsi gelap yang sudah kembali ke pangkal jalan.

“Menjadi ahli kongsi gelap ini memerlukan keberanian kerana mereka akan terlibat dalam aktiviti jenayah. Sebab itu, ada yang sanggup menuntut ilmu kebal yang dilarang dalam agama.

“Dengan memiliki ilmu ini, mereka jadi lebih berani dan tidak takut untuk bertindak di luar batasan. Semua ini disebabkan mereka terlalu taksub untuk berkuasa di dalam kawasan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas lanjut mengenai ilmu kebal yang diamalkan, Shamsuri yang juga pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi berkata, terdapat pelbagai jenis seperti susuk, mantera dan cincin permata khas dipakai oleh pengamal ilmu hitam berkenaan.

"Ada seorang bekas ahli kongsi gelap ini memakai susuk kebal di segenap sendinya. Dengan susuk ini, tiada senjata yang lut dan boleh menembusinya.

"Namun, ada pantang larang yang perlu dipatuhi bagi memastikan ilmu terus kekal seperti tidak boleh memakan pisang emas dan lalu di bawah ampaian. Bekas ahli kongsi gelap itu akhirnya insaf dan meminta bantuan saya untuk membuang 10 susuk yang dipakainya," katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat enam orang ahli kongsi gelap yang telah insaf mendapatkan rawatan dengannya.

"Ada yang sudah berkecimpung sejak remaja tetapi akhirnya mendapat hidayah untuk berubah di usia 60 tahun. Mereka melarikan diri dari kumpulan lama dan mahu membersihkan diri," katanya.

Katanya, orang Islam yang terjebak dengan kongsi gelap ini perlu segera kembali ke pangkal jalan.

“Antara faktor mereka mudah terpengaruh dengan kongsi gelap ialah tiada pegangan agama. Dari awal lagi, niat itu sudah tidak betul apabila sanggup melakukan apa saja untuk mendapat pekerjaan termasuk menyertai kongsi gelap.

“Sekali sudah terjebak, mungkin hati mereka sudah mati yang menjadikan mereka tidak takut untuk melawan undang-undang. Namun, mereka perlu ingat kuasa dan kedudukan yang dimiliki tidak akan berkekalan,” katanya.