Thursday, June 20, 2013

projek tani tipu

Pekebun rugi RM60,000
Pekebun rugi RM60,000
Kok Kheong (kiri) menunjukkan bukti slip pembayaran wang yang diberikan kepada ‘rakan kongsinya’ pada sidang media, semalam sambil diperhatikan Mohd Rawi.
IPOH – Kerana terlalu mempercayai kata-kata rakan, seorang pekebun mengalami kerugian lebih RM60,000 apabila projek tanaman kelapa sawit dan getah yang ditawarkan kepadanya sebenarnya palsu.

Mangsa, Chiew Kok Kheong, 44, berkata, perkara itu hanya disedari setelah ‘rakan kongsinya’ itu memberi pelbagai alasan ketika diminta menunjukkan lokasi sebenar projek yang bakal diusahakan mereka.

Menurutnya, pada awal persetujuan, dia dibenarkan untuk menoreh getah di sebuah ladang berkeluasan 240 hektar di Gerik dan menuai hasil kelapa sawit di Sungai Siput (120 hektar).

“Dengan perjanjian itu, saya mula setuju, namun semasa dalam proses untuk pelaksanaan. Dia minta saya bantu pinjamkan wang, jadi saya bantu. Ada yang dimasukkan ke dalam akaun dan ada saya beri secara tunai.

“Tapi lama-lama saya jadi tak sedap hati. Bila saya suruh tunjukkan mana tempat projek, dia kata nanti..nanti dan sampai sekarang sudah lebih satu tahun belum ada sebarang petunjuk lagi. Bila saya kerap bertanya, dia marah,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, semalam.

Kok Kheong berkata, dia mengenali lelaki berusia 40-an itu melalui seorang rakan baik, kononnya untuk menambah pendapatan sedia ada.

Bagaimanapun katanya, dia sama sekali tidak menyangka akan diperdaya sehingga mengakibatkan kerugian puluhan ribu ringgit yang disimpan selama bekerja sebagai pekebun sayur.

Akibat insiden itu juga, Kok Kheong terpaksa menjual kereta dan rumahnya di Kuala Kuang, Chemor untuk dijadikan modal semula tanaman sayurnya.

“Saya kini terpaksa duduk dengan keluarga kerana semua wang simpanan telah habis saya laburkan. Konon untuk projek itu, tetapi apa pun tak dapat,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu lelaki berkenaan adalah pada sekitar bulan lalu, namun sebaik ditanya mengenai wang yang dipinjam dia menerima herdikan serta kata-kata kesat.

Katanya, dia telah cuba menjejaki rakan baik yang memperkenalkan lelaki berkenaan kepadanya namun dimaklumkan rakannya sudah menghilangkan diri.

“Sekarang saya benar-benar tersepit. Bukan sedikit yang saya beri, sudah hampir RM60,000 dengan RM50,000 saya berikan secara tunai. Bakinya saya masukkan ke dalam akaun secara berperingkat sejak Januari tahun lalu” katanya.

Ketua Urus setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, insiden seumpama ini kerap berlaku, namun jarang dilaporkan dan orang ramai harus lebih waspada.

akibat suka merakam gambar dalam tandas wanita

Tabiat buruk makan diri
Tabiat buruk makan diri
Tertuduh dilaporkan menggunakan telefon bimbit jenis ini bagi merakam video mengaibkan keempat mangsa dalam tandas sekolah.
KUANTAN- Tabiat pelik seorang lelaki menjadikan aktiviti menghendap dan merakam video wanita dalam keadaan mengaibkan sebagai hobi memakan diri apabila dia dihukum penjara selama 48 bulan selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan  atas empat tuduhan itu, semalam.

Tertuduh, Mohd Riduan Mohamed Yatim, 27 dari Batu 8, Jalan Gambang dekat sini turut dihukum penjara enam bulan selepas mengaku bersalah menceroboh secara jenayah kawasan sekolah terbabit bagi mencapai niat songsangnya itu.

Tertuduh bagaimanapun agak bernasib baik apabila hukuman penjara 12 bulan bagi setiap tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan enam bulan penjara bagi kesalahan menceroboh mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan itu berjalan serentak.

Tabiat buruk tertuduh yang hanya bekerja kampung itu terbongkar selepas aktiviti jijiknya menghendap dan merakam gambar serta video empat kakitangan wanita sebuah sekolah rendah di  Batu 8, Jalan Gambang dekat sini disedari salah seorang mangsa dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari, 14 Jun tahun lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 28 tahun yang berada dalam salah sebuah tandas wanita sekolah terbabit menyedari kelibat tertuduh apabila ternampak sebelah tangan memegang telefon bimbit di bahagian atas dinding.

Mangsa menjerit meminta tolong menyebabkan tertuduh cuba lari melalui pagar namun dia berjaya ditahan seorang guru lelaki dan pengawal keselamatan sekolah terbabit yang mengejarnya.

Susulan penahanan tertuduh, polis merampas sebuah telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan dan analisis kandungan telefon bimbit  itu, polis menemui rakaman klip video dan gambar mengaibkan empat kakitangan wanita sekolah  terbabit.

Berdasarkan tarikh klip video tersebut, tertuduh dipercayai merakam gambar mengaibkan mangsa pertama kira-kira jam 12.57 tengah hari, 24 Mei 2012.

Dia mengulangi perbuatannya apabila merakam video mangsa kedua kira-kira jam 1.34 petang, 12 Jun 2016 manakala mangsa ketiga kira-kira jam 12.55 tengah hari berikutnya.

Bagaimanapun cubaan untuk merakam video mangsa keempat kira-kira jam 12.45 tengah hari, 14 Jun 2012 berakhir dengan penahanannya.

Tertuduh yang masih bujang sudah dihadapkan ke mahkamah itu sebelum ini namun dia mengaku tidak bersalah ketika itu.

Bagaimanapun dia menukar pengakuan kepada bersalah semalam dalam prosiding yang ditetapkan untuk sebutan semula kes terbabit.

Dalam rayuannya, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia masing bujang dan hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak seberapa.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali menasihati tertuduh supaya mencari pekerjaan yang lebih baik bagi mengubah kehidupan dirinya selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Beliau juga menyarankan tertuduh supaya segera  berkahwin bagi mengelak terus melakukan perbuatan terkutuk itu.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar.

pegawai bank penyangak

Pegawai bank jadi dalang
Pegawai bank jadi dalang
Abdul Rahim (kiri) menunjukkan cek yang berjaya dirampas dari sindiket berkenaan.
GEORGETOWN - Dua bekas pegawai bank ditahan dipercayai terlibat dengan kegiatan pemalsuan dan pemintasan cek membabitkan nilai lebih RM1 juta sejak dua tahun lalu.

Kegiatan mereka terbongkar apabila polis melakukan serbuan di sebuah hotel di Jalan Macalister dan berjaya menahan kedua-dua lelaki itu yang masing-masing berasal dari Selangor dan Melaka, Ahad lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri kira-kira jam 11 pagi berdasarkan maklumat dan intipan pihaknya sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, hasil serbuan, pihaknya berjaya merampas sebanyak 329 keping cek pelbagai bank dengan nilai RM534,409, wang tunai berjumlah RM400, 11 keping kad kredit pelbagai bank di atas nama orang lain dan 12 keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) termasuk beberapa peralatan komputer lain.

Abdul Rahim berkata, modus operandi sindiket berkenaan ialah mencuri cek di pejabat yang terdapat peti surat dan memilih surat berisi cek, kad kredit ataupun kad ATM manakala yang tidak berkaitan akan dibuang.

“Mereka kemudiannya akan meminda cek-cek itu dengan cara mengikis menggunakan mata pisau dan menggunakan pita pelekat untuk menanggalkan nombor-nombor di permukaan cek.
“Suspek turut bertindak menulis akaun bank yang lain dan cek itu akan dimasukkan kepada rakan-rakan mereka bagi tujuan menumpang akaun dan semua rakan mereka yang memberi kerjasama akan diberi habuan 30 peratus daripada nilai cek itu,” katanya pada sidang media di IPK di sini, semalam.

Turut hadir Ketua JSJK negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik.

Abdul Rahim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek terlibat beberapa kes di IPK Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Melaka dan amat dikehendaki polis.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan dua lagi suspek dalam kegiatan terbabit.

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan hasil semakan lampau, suspek terlibat dengan 10 kes dan tiga laporan dikehendaki kes penipuan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana syarikat yang mendapati cek-cek mereka yang tidak dilunaskan untuk pembayaran yang tertentu dinasihatkan untuk membuat laporan polis.

Sunday, June 9, 2013

cara tipu mat gelap

Jerat cinta siber awang hitam
Wartawan Sinar Harian
8 April 2013
Jerat cinta siber awang hitam
Antara barang rampasan polis yang dibuat selepas Chan membuat laporan polis memaklumkan kejadian yang menimpanya
Jerat cinta siber awang hitam
Syed Ismail melihat barang rampasan selepas tujuk suspek yang terlibat dalam kes penipuan Chan diberkas.
Jerat cinta siber awang hitam
Antara barang rampasan polis yang dibuat selepas Chan membuat laporan polis memaklumkan kejadian yang menimpanya.
“Oh bidadariku... aku bersyukur kepada tuhan kerana kamu hadir dalam hidup ku. Aku tidak dapat berhenti daripada terus mencintai mu. Kamu sebahagian daripada hidup ku.” Begitulah terjemahan kata-kata manis seorang lelaki kepada Chan, 35, yang tinggal di Hong Kong.

Lelaki itu dikenalinya di sebuah laman sosial, khas untuk mencari jodoh. Dalam perkenalan mereka itu, teman lelakinya mengaku berasal dari Malaysia.

Perhubungan cinta mereka terjalin dalam tempoh kurang setahun. Dalam tempoh itu, mereka tidak pernah bertemu. Semua itu tidak menjadi halangan buat mereka kerana melalui perbualan telefon, perhubu- ngan mereka bertambah erat.

Chan sudah menganggap teman lelakinya itu juga sebagai nyawanya sendiri. Apa sahaja yang diminta oleh teman lelakinya akan diutamakan.

Sepanjang percintaan maya itu, Chan sudah enam kali memasukkan wang ke dalam akaun teman lelakinya. Alasannya adalah untuk membantu ibu sakit, ingin membeli kereta buat masa hadapan dan belanja perkahwinan. Semuanya berjumlah hampir RM200,000.

Akhirnya Chan menyedari bahawa segala impiannya untuk membina mahligai bahagia bersama teman lelakinya itu hanya sebuah mimpi. Selepas sejumlah wang dimasukkan dan janji manis lelaki itu untuk bertemunya, lelaki hidung belang itu terus menghilangkan diri.

Chan berusaha datang ke negara ini dan terus membuat laporan polis. Hasil pantas Polis Diraja Malaysia, tujuh lelaki warga Afrika diberkas di sebuah rumah di Bukit Beruang, Melaka.

Kisah love scam

Kisah percintaan maya Chan merupakan sebahagian daripada yang pernah menjadi mangsa. Semuanya bermula daripada perkenalan singkat di sebuah laman sosial. Begitu mudah mereka tertipu dan menjadi mangsa. Minggu ini Modus Operandi akan mengupas isu jerat cinta internet atau love scam.

Bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan pada sidang medianya baru-baru ini dalam memperjelaskan jenayah love scam.

Sindiket love scam:

Sindiket antarabangsa ini menjadikan negara kita sebagai tempat operasi. Sindiket ini terdiri daripada ahli warga Afrika. Biasanya ahli sindiket akan menyewa sebuah rumah untuk dijadikan markas operasi. Berikut merupakan cara kumpulan ini beroperasi:

Modus operandi:
1. Suspek menggunakan identiti palsu.
2. Menggunakan laman sosial untuk menjerat mangsanya.
3. Memperdayakan mangsa dengan janji cinta yang tidak wujud.
4. Meminta mangsa memasukkan sejumlah wang kepadanya.
5. Menggunakan beberapa akaun milik rakyat tempatan.
6. Menghilangkan diri selepas mendapat sejumlah wang.
7. Biasanya percintaan terjalin dalam tempoh yang lama.


Mangsa:
Terdiri daripada mereka yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun. Biasanya mangsa ialah individu yang tinggal di luar negara, dalam kata lain bukan warga tempatan.
• Wanita belum berkahwin
• Lelaki belum berkahwin
• Wanita lanjut usia
• Lelaki lanjut usia

Nasihat polis
• Pengguna internet perlu tahu bahawa terdapat akaun lama sosial yang menggunakan identiti palsu di ruang internet.
• Jangan memberikan butir peribadi atau maklumat akaun kepada kenalan baru di internet.
• Jangan mudah bersimpati dengan orang yang baru dikenali di internet.
•  Sebelum membuat apa-apa transaksi perbankan, pengguna haruslah membuat pengesahan lanjut bagi mengesahkan individu yang mereka berurusan.
• Bagi pemilik akaun bank tempatan, jangan sesekali memberi pinjam akaun bank anda kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali atau baru dikenali. Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pemilik akaun bank yang didapati akaunnya digunakan oleh pihak sindiket.

Cara perlaksanaan sindiket:
1. Mempunyai buku skrip khas di mana suspek akan membacanya semasa menghubungi mangsa.
2. Skrip tersebut memuji kecantikan dan kekuatan cinta mereka bagi memperdayakan mangsa.
3. Ada ketikanya setelah lama berkenalan, suspek akan meminta pertolongan mangsa supaya membantunya dari segi kewangan ekoran masalah yang dihadapi.
4. Berjanji dengan mangsa akan berkahwin selepas masalah selesai.
5. Pengeluaran wang daripada akaun milik tempatan akan dilakukan secara berperingkat.
6. Jika pengeluaran yang banyak, mereka akan mengeluarkan wang di kaunter bank.

Wednesday, June 5, 2013

rogol isteri

Dua Kali Perkosa, Isteri Diikat Tangan


Diikat-565x395Gombak – Tidak dapat menerima keputusan isteri yang tetap mahu bercerai walaupun sudah dipujuk berulang kali, seorang lelaki tergamak ‘menculik’ wanita itu di sebuah pasar raya di Kepong,dan membawanya ke Batu Arang, sebelum mengikat tangan serta memperkosanya di dalam kereta.
Malah, lelaki berusia 30-an itu turut mengambil gambar bogel isterinya berusia 35 tahun itu selepas permintaan supaya mangsa kembali hidup bersamanya tidak diendahkan.
Selain itu, lelaki terbabit mengugut mahu melakukan sesuatu supaya kedua-dua mereka mati bersama jika isteri enggan kembali kepadanya menyebabkan mangsa yang ketakutan meminta suaminya memikirkan masa depan tiga anak mereka sebelum bertindak demikian.
Lelaki terbabit yang ‘lembut hati’ selepas mendengar rayuan isterinya itu kemudian menghantar semula mangsa ke tempat letak kereta pasar raya di Kepong sebelum melarikan diri.
Difahamkan, pasangan terbabit sudah tiga tahun tidak tinggal bersama dan kini dalam proses bercerai selepas mangsa tidak tahan kerana sering dibelasah.
Sumber berkata, sebelum kejadian pada Khamis lalu, mangsa yang berada dalam kereta di hadapan sebuah pasar raya di Kepong selepas membeli barang terkejut apabila suaminya membuka pintu kereta dan terus mengacukan pisau serta mengarahkannya berdiam diri, kira-kira jam 9 pagi.
“Belum sempat mangsa berbuat apa-apa, suaminya terus mengikat tangan dan mengarahkannya ke tempat duduk penumpang hadapan sebelum memecut kereta milik mangsa menghala ke Batu Arang.
“Sebaik tiba di kawasan semak, mangsa dipaksa melakukan hubungan seks, namun wanita terbabit enggan,” katanya.
Menurut sumber berkenaan, berang dengan keengganan wanita itu, suami mangsa terus merogolnya sebanyak dua kali dalam keadaan tangan isterinya terikat.
“Tidak cukup dengan itu, gambar mangsa dalam keadaan bogel turut dirakam dan suami mangsa turut merayu supaya mereka kembali hidup sebagai pasangan suami isteri,” katanya.
Bagaimanapun, kata sumber itu, mangsa yang serik dengan sikap panas baran suami enggan kembali kepadanya menyebabkan lelaki itu naik angin dan mengugut mahu membunuh diri bersama sebelum merayu memikirkan masa depan anak mereka.
“Terkejut dengan ugutan itu, mangsa meminta suaminya itu memikirkan semula kerana tindakan itu akan menggelapkan masa depan anak mereka.
“Suaminya akur dan terus menghantar isterinya pulang semula ke pasar raya berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya.
Sebaik dibebaskan, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gombak.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Rosly Hassan mengesahkan menerima laporan mangsa dan polis sedang giat memburu suspek. –myMetro Online