Sunday, January 9, 2011

Sepandai2 Tupai...

Tumpas jua akhirnya

REMBAU - Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah pepatah sesuai bagi seorang lelaki di sini yang paling dikehendaki polis.

Lelaki berusia 26 tahun itu antara tujuh yang disyaki terbabit dengan kes merogol seorang gadis secara berkumpulan pada 2007 di Tampin.

Sebelum ini, lima daripada mereka sudah pun dijatuhkan hukuman, manakala dua lagi masih bebas dan menjadi buruan polis.

Namun, selepas tiga tahun, semalam, seorang daripada suspek berjaya ditangkap, cuma tinggal seorang lagi yang masih dalam buruan polis.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, suspek ditahan anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau ketika sedang menunggang motosikal dalam Operasi Lalu Lintas dan Cegah Jenayah di Kilometer 40, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, semalam.

Beliau berkata, suspek merupakan seorang yang amat dikehendaki polis selepas menghilangkan diri dan gagal dikesan untuk membantu kes rogol secara berkumpulan, beberapa tahun lalu.

“Kejadian tersebut berlaku pada tahun 2007 di daerah Tampin melibatkan tujuh suspek, bagaimanapun lima daripadanya sudah dijatuhkan hukuman.

"Sementara dua lagi masih bebas. Namun, tangkapan kali ini membabitkan seorang suspek yang bebas selama beberapa tahun bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan dan suspek akan diserahkan ke IPD Tampin untuk tindakan selanjutnya.

Mizan turut menegaskan, operasi lalu lintas yang dilaksanakan polis bukan sekadar mengambil tindakan terhadap salah laku di jalan raya sahaja.

Tetapi, katanya, polis juga mempunyai rekod berkaitan kesalahan jenayah sebelum ini.
“Justeru, tiada istilah terlepas daripada hukuman jika individu terbabit mempunyai kesalahan jenayah, walaupun sebelum ini menghilangkan diri selama beberapa tahun.

"Penjenayah tetap akan dihukum mengikut undang-undang,” katanya.

No comments:

Post a Comment