Sunday, January 9, 2011

Nak Melancung Kena Tipu


Rugi RM10,800 ditipu agensi pelancongan

KUALA TERENGGANU - Hasrat sembilan bersaudara yang ingin melancong ke Taiwan bagi menghabiskan cuti akhir tahun bukan sahaja terbantut, malah mereka juga berputih mata setelah kerugian RM10,800 akibat ditipu agensi pelanco�ngan yang menguruskan pakej percutian terbabit.

Mangsa, Lim Eng Keong, 48, mendakwa, mereka menyedari cuba ditipu agensi pelancongan itu yang terletak di Jalan Kota Lama setelah mendapati tiket penerbangan dua hala dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur yang diuruskan oleh agensi berkenaan adalah palsu.

“Kami mengambil pakej percutian yang menawarkan harga RM2,400 untuk seorang bertarikh 25 Disember hingga 31 Disember, tetapi harga itu tidak termasuk tiket penerbangan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur.

“Jadi, selepas membuat pembayaran deposit 50 peratus berjumlah RM10,800, saya meminta bantuan pihak agensi untuk menempah tiket penerbangan Air Asia dua hala dari sini ke Kuala Lumpur dan membayar harga tiket dengan jumlah RM1,242,” katanya.

Menurut Eng Keong, dua minggu kemudian, dia membawa tiket yang dicetak dan diserahkan oleh agensi tersebut ke kaunter Air Asia di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) untuk pengesahan.

“Saya terkejut bila diberitahu tiket yang ditempah tiada dalam rekod dan selepas dikenal pasti, tiket yang diserahkan agensi tersebut ternyata palsu.

“Sejurus menerima maklumat itu, saya terus memaklumkan kepada agensi pelancongan itu dan alasan yang diberikan, mereka tersalah cetak dan mungkin untuk menutup ‘tembelangnya’ itu, mereka mencetak tiket baru serta-merta di hadapan saya,” katanya.

Selepas kejadian itu, Eng Keong mengakui sudah tidak yakin dengan kejujuran perkhidmatan yang diberikan oleh agensi pelancongan itu, tetapi masih tidak berniat untuk membatalkan urusan berkenaan disebabkan tidak mahu menghampakan ahli keluarga lain yang begitu teruja untuk bercuti bersama-sama.

Bagaimanapun, dia nekad membatalkan tempahan itu pada 1 Disember apabila mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena selepas agensi tersebut menyuruh dia menjelaskan kesemua bayaran yang masih tertunggak sebanyak 50 peratus lagi.

“Saya bersetuju untuk melangsaikan semua bayaran tetapi meminta agensi itu menyerahkan tiket percutian itu sebaik sahaja bayaran dijelaskan.

“Bagaimanapun, mereka memberi alasan tiket itu tidak boleh diserahkan kerana masih ada di Kuala Lumpur dan hanya boleh diberikan dua atau tiga hari sebelum tarikh penerbangan,” katanya.

Eng Keong berkata, menyedari dirinya hampir ditipu, dia terus membatalkan tempahan itu dan meminta wangnya dipulangkan termasuk bayaran deposit dan tiket penerbangan yang ditempah sebelum itu.

“Pihak agensi ada mengeluarkan cek bayaran tetapi pada 14 Disember, saya menerima panggilan telefon daripada bank menyatakan cek tersebut tidak boleh dipindahkan ke dalam akaun kerana dibatalkan oleh agensi berkenaan,” katanya.

Disebabkan tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku, Eng Keong menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada individu dari agensi tersebut yang bertanggungjawab menguruskan pakej itu memaklumkan sekiranya gagal membayar wangnya, dia akan membuat laporan polis.

“Mungkin kerana takut, sehari selepas kiriman SMS itu, individu tersebut berjumpa saya dengan memberikan wang RM1,000 dan meminta tempoh sehingga 30 Disember untuk menyelesaikan wang selebihnya, namun sehingga hari ini, janji hanya tinggal janji,” katanya.

Eng Keong berkata, dia membuat laporan polis pada 30 Disember dan turut membawa kes ini ke Mahkamah Tribunal demi menuntut haknya sebagai pengguna.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Lorenz Law berkata, pihaknya telah membuat semakan di Jabatan Pelancongan dan mendapati agensi pelancongan tersebut hanya memiliki lesen menguruskan perjalanan di dalam negeri sahaja.

“Jadi, di sini ternyata agensi pelancongan ini sudah melakukan satu kesalahan secara terang-terangan dengan menipu orang awam.

“Saya berharap kepada sesiapa yang ingin berurusan dengan apa jua agensi pelancongan di negeri ini lebih berhati-hati agar tidak tertipu,” katanya.

Bagi sesiapa yang ingin mengetahui status lesen perniagaan agensi-agensi pelancongan sebelum berurusan bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini, boleh menghubungi talian pejabat pelancongan, 09-6262946.

No comments:

Post a Comment