Wednesday, December 29, 2010

Culik Dan Rogol

Remaja diculik, dirogol

KUALA TERENGGANU – Gara-gara masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh abangnya dengan wanita lain, seorang gadis berumur 16 tahun bukan sahaja diculik, malah turut dirogol oleh tiga lelaki dalam satu kejadian di Kampung Belukar Gorek, Bukit Payong, Marang, kelmarin.

Kejadian bermula apabila rumah mangsa yang didiami bersama ibunya yang berusia 53 tahun didatangi dua lelaki yang secara tiba-tiba meluru masuk setelah pintu dibuka dan terus melarikan mangsa.

Berikutan bimbang dengan keselamatan anaknya itu, ibu mangsa bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa dilarikan oleh dua lelaki tidak dikenali dan dibawa ke sebuah rumah kosong di Pasir Panjang, di sini, sebelum dirogol oleh mereka termasuk seorang rakan abangnya.

“Bagaimanapun, pada hari sama, kakak mangsa menerima panggilan daripada seorang perempuan kira-kira jam 10 pagi yang memaklumkan akan menghantar mangsa kembali ke rumah. Namun selepas sejam dia menerima satu lagi panggilan memaklumkan akan membawa mangsa dan abangnya dengan selamat.

“Bertindak atas maklumat itu, polis berjaya mengesan perempuan yang menghubungi kakak mangsa dan berjaya menahan gadis berusia 14 tahun di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, pada hari sama beberapa minit kemudian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurut Manoharan, berdasarkan soal siasat ke atas gadis yang ditahan itu, polis terus menyerbu sebuah kedai runcit di kampung sama tempat gadis berkenaan ditahan, hingga membawa kepada kejayaan menangkap dua lagi suspek lelaki pada jam 12.10 tengah hari.

“Tidak lama selepas tiga suspek berjaya ditahan, polis menerima panggilan yang memaklumkan mangsa dan abangnya telah dibebaskan oleh seorang lagi suspek, yang juga abang mangsa.

“Berikutan itu, suspek telah berjaya ditahan berdekatan tempat kejadian bersama-sama abang mangsa yang berusia 31 tahun yang juga seorang peniaga rokok,” katanya.

Menurutnya, tiga suspek iaitu seorang berusia 27 tahun dari Pasir Mas, Kelantan bekerja sebagai buruh; seorang peniaga rokok berusia 20 tahun, dari Kuala Lipis, Pahang dan seorang peniaga kedai runcit, 26, dari Bachok, Kelantan, termasuk abang mangsa ditahan reman selama empat hari bermula semalam, manakala gadis yang berusia 14 tahun itu dibebaskan dengan ikat jamin polis.

“Dua suspek berusia 26 dan 27 didapati positif dadah dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 376 Kanun yang sama kerana merogol,” katanya.

No comments:

Post a Comment