Wednesday, February 9, 2011

Pecah Amanah unya Pasal

Pecah amanah saham RM1.5j: Pesakit kanser dijel tiga tahun

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Seorang pesakit kanser kolon hanya mampu menundukkan kepalanya sebaik sahaja dijatuhi hukuman penjara tiga tahun setelah didapati bersalah melakukan pecah amanah saham bernilai RM1.5 juta milik sebuah yayasan guru, 16 tahun lalu.

Ahli keluarga tertuduh, Mohd. Nasir Abd. Samad, 60, yang berada di galeri awam Mahkamah Sesyen di sini turut dilihat sugul apabila mendengar keputusan di akhir kes pembelaan tersebut.

Hakim Rozana Ali Yusof bagaimanapun tidak membuat sebarang keputusan berhubung permohonan tertuduh untuk menggantung pelaksanaan hukuman itu sebaliknya meminta peguam bela, N. Lalitha yang mewakili tertuduh memfailkan notis rayuan terlebih dahulu.

Rozana memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan tertuduh dan seorang lagi saksi gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah.

''Awak dikira bernasib baik kerana telah melangkaui umur 50 tahun, kalau tidak, adalah mandatori hukuman sebat dikenakan,'' ujar hakim tersebut.

Pada 7 Ogos 2007, Mohd. Nasir yang merupakan juru perunding bagi Yayasan Permodalan Guru Kebangsaan Bhd. (kini Yayasan Guru Malaysia Bhd.) didakwa telah melakukan pecah amanah ke atas 498,000 unit saham Pacific & Orient Bhd. (P&O) milik pertubuhan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di antara Oktober dan Disember 1995 di pejabat syarikat miliknya, Keluangsa Sdn. Bhd., Suite 901, Tingkat 9, Pernas International, Jalan Sultan Ismail di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asma Ahmad mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Sewaktu mengemukakan rayuan, tertuduh menyatakan bahawa dia perlu mendapatkan rawatan perubatan bagi penyakitnya malah dia dijadualkan untuk menjalani pemeriksaan doktor pada 11 Februari ini.

Mohd. Nasir yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di salah sebuah universiti tempatan turut menanggung enam anak termasuk dua daripadanya masih bersekolah.

Dia turut memohon agar tidak dikenakan sebarang denda.

Rayuan tersebut bagaimanapun dibantah oleh Nor Asma atas alasan kepentingan awam perlu diutamakan di samping kerugian yang terpaksa ditanggung oleh yayasan terbabit.

Selain itu, mahkamah membuat keputusan selepas satu perbicaraan penuh dijalankan dan sebanyak 11 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula sejak 20 Oktober tahun lalu, katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment