Wednesday, February 9, 2011

Nikah Pakai Sihir

Penuntut dakwa disihir sehingga bernikah tanpa kerelaan

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Prosiding kes pengesahan nikah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini membabitkan seorang penuntut universiti yang mendakwa dirinya disihir sehingga bernikah tanpa rela dengan seorang lelaki Pakistan, dikejutkan dengan tindakan wanita itu menampar lelaki berkenaan berkali-kali.

Yani Yuhana Mohd. Zambri, 25, yang menuntut di sebuah universiti di United Kingdom bertindak demikian selepas pemohon, Muhammad Kamran Babar Nazir Khan, 46, selesai memberi keterangan berhubung majlis akad nikah yang didakwa berlaku di Sadiqadad Raw, Pakistan pada April 2009.

Kejadian berlaku ketika Yani Yuhana yang sedang berjalan keluar melalui hadapan tempat duduk Muhammad Kamran tiba-tiba naik angin lalu menampar muka lelaki itu berulang kali dengan tangan dan fail yang dibawanya sambil memarahi warga asing tersebut.

Pada masa yang sama, ibu Yani Yuhana yang duduk di galeri awam bertindak mengambil fail berkulit keras dan cuba melemparkannya ke arah pemohon namun tersasar lalu mengenai kepala peguam syarie, Ismanizam Ismail yang mewakili Muhammad Kamran.

Hakim Syarie, Abdul Walid Abu Hassan yang turut menyaksikan kejadian itu kemudian mengarahkan anggota polis supaya mengawal keadaan apabila ayah Yani Yuhana yang berada di luar turut masuk ke dalam mahkamah dengan membawa sebatang tongkat sambil memarahi pemohon dan saudara-maranya yang hadir.

Prosiding hari ini ditetapkan untuk keputusan pengesahan nikah pasangan itu namun Abdul Walid menyatakan, beliau memerlukan keterangan dan bukti yang cukup sebelum membuat keputusan.

Abdul Walid kemudian mengarahkan Yani Yuhana selaku responden yang diwakili peguam syarie, Othman Mohd. Noor supaya mengemukakan bukti-bukti daripada pakar dalam bidang tersebut bagi mengesahkan dia disihir.

Beliau kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 7 April ini bagi mendengar keterangan daripada pihak responden dan soal balas terhadap keterangan pemohon.

Kata Abdul Walid, sekiranya responden tidak mengemukakan bukti itu, mahkamah akan merujuk kepada satu hadis dengan memberi peluang kepada pemohon mengangkat sumpah bahawa dia tidak menyihir responden.

Selain itu, mahkamah meminta pihak responden mengemukakan sebarang dokumen dari kerajaan Pakistan berkaitan majlis pernikahan tersebut.

Permohonan pengesahan nikah difailkan oleh Muhammad Kamran yang merupakan ahli perniagaan tekstil di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 26 April tahun lalu.

Pemohon dalam keterangannya hari ini mendakwa, dia dan Yani Yuhana dinikahkan secara rela oleh seorang pendaftar nikah bernama Hafiz Rahman dengan tiga kali lafaz berserta mahar RM350.

Katanya, responden sendiri telah menandatangani borang nikah selepas akad nikah selesai.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment