Wednesday, February 9, 2011

Kegiatan dadah RM2 Juta

Wang RM2j biayai dadah dirampas

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 8 Feb. - Wang tunai sebanyak RM2 juta bagi membiayai tiga sindiket dadah yang didalangi lima rakyat tempatan dan lima warga Nigeria berjaya dirampas polis dalam tiga serbuan berasingan sejak awal bulan ini.

Kesemua 10 suspek termasuk tiga wanita tempatan berusia lingkungan 24 hingga 39 tahun itu aktif mengedar dadah jenis syabu, heroin, ganja dan pil Eramin 5 di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang wanita tempatan dan lima lelaki warga Nigeria berusia 24 hingga 34 tahun di sebuah rumah teres di Taman Puchong Hartamas di sini 3 Februari lalu.

"Dalam serbuan itu, sebanyak 24 bungkusan dadah jenis syabu seberat 805 gram dan dua peket ganja seberat 117 gram ditemui.

"Turut dirampas wang tunai RM128,822 yang dipercayai untuk membiayai sindiket itu serta sebuah kereta Proton Persona, barangan kemas, komputer riba dan sembilan telefon bimbit," katanya kepada pemberita ketika menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Zulkifli berkata, sindiket kedua ditahan pada 11.50 malam, Khamis lalu, selepas pasukan peronda polis memeriksa pasangan berusia 21 dan 39 tahun dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta Toyota Camry di Taman Cheras.

Katanya, pemeriksaan awal polis menemui satu kelopak peluru berisi 13 butir peluru manakala tujuh lagi peluru dijumpai bertaburan.

"Pemeriksaan lanjut dilakukan di rumah suspek di taman yang sama sebelum menemui 500 biji pil Eramin 5, 95 gram syabu dan wang tunai RM1.63 juta," katanya.

Serbuan ketiga dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama Ahad lalu yang dipercayai menjadi lokasi pembungkusan dan pengedaran dadah.

Zulkifli berkata, hasil serbuan di rumah pasangan berusia 25 dan 39 tahun itu menemui lima bungkusan dadah jenis ketamin seberat 1,430 gram dan empat peket dadah jenis heroin seberat 13 gram.

"Turut dirampas enam butir peluru hidup dan wang tunai RM150,750. Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek mereka positif dadah," ujarnya.

Menurut beliau, kesemua suspek kini ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment