Thursday, February 24, 2011

Cakap Indon Masa Samun

Bercakap loghat Indonesia ketika menyamun

KUALA PILAH 23 Feb. - Helah sekumpulan penyamun bercakap dalam loghat bahasa Indonesia akhirnya memakan diri apabila kesemua mereka ditahan kurang 24 jam selepas menyamun sebuah rumah di Kampung Sri Pilah di sini pada Isnin lalu.

Penjenayah yang terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan seorang wanita Indonesia itu ditahan oleh polis dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini dan Melaka.

Dalam kejadian itu, empat lelaki daripada anggota kumpulan berkenaan sebelum itu menyamun sebuah rumah yang didiami oleh tiga wanita warga emas berusia lingkungan 70-an hingga 80-an.

Ketua Polis daerah, Supritendan Jaafar Baba memberitahu, empat lelaki tersebut yang bersenjatakan pisau berpura-pura bercakap dalam loghat bahasa Indonesia sebelum bertindak mengikat kesemua mangsa.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu suspek berjaya melarikan wang tunai RM2,000 dan barang kemas bernilai RM6,000," katanya di sini hari ini.

Katanya, bertindak daripada kejadian itu, polis menjalankan operasi memburu kesemua suspek sebelum menahan mereka di Melaka pada petang hari yang sama.

"Dalam tangkapan itu, polis menjumpai semula wang tunai dan barangan kemas yang dipercayai milik warga emas yang menjadi mangsa samun tersebut.

"Berikutan penahanan kesemua suspek itu, polis turut menahan dua lagi suspek yang terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita rakyat Indonesia di sekitar bandar ini," ujarnya.

Jaafar berkata, lelaki dan wanita itu ditahan kerana disyaki turut terlibat dengan keempat-empat suspek melakukan jenayah berkenaan.

Menurutnya, pihak polis tidak menolak kemungkinan kesemua suspek yang berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu turut terlibat dalam beberapa kes samun yang lain.

"Kita percaya kumpulan ini sengaja berkomunikasi dalam loghat bahasa Indonesia ketika melakukan jenayah tersebut semata-mata untuk mengelirukan mangsa dan juga polis.

"Bagaimanapun, siasatan kita berjaya mengesan bahawa mereka ini adalah warga tempatan sebelum bertindak menahan semua suspek," jelasnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment