Wednesday, February 2, 2011

Curi Getah Jel 1tahun

Dipenjara setahun curi getah beku

KAMPUNG RAJA – Gara-gara mencuri seguni getah beku, seorang penganggur terpaksa meringkuk dalam penjara selama 12 bulan selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu pada 26 Januari lalu.

Majistret Ahmad ‘Adha’ Yasser Amer Amri mengarahkan W Rami Mohidin, 36, menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditangkap pada 26 Januari lalu.

W Rami didakwa mencuri getah beku milik seorang lelaki di sebuah kebun getah di Kampung Padang Tapong dekat Kampung Padang Luas, Jertih antara jam 7 hingga 7.30 petang pada tarikh sama dia ditangkap.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain tuduhan itu, W Rami menghadapi dua pertuduhan lain iaitu, bagi tuduhan kedua dituduh memiliki sebiji dadah dipercayai Methamphetamine (pil kuda) dan didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berhaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi tuduhan ketiga, dia didapati mengambil dadah jenis Methamphetamine mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali dan pengawasan.

Tertuduh turut mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua dan ketiga kecuali dia mempertikai pertuduhan kedua iaitu dia mengatakan hanya memiliki sebelah pil kuda, bukan sebiji sebagaimana pertuduhan.

Ahmad ‘Adha’ Yasser Amer Amri memberitahu, pertuduhan dan keputusan akan dibuat selepas menerima kuantiti sebenar hasil laporan kimia.

Bagi pertuduhan kedua, dia dikenakan ikat jamin sebanyak RM3,500 dan pertuduhan ketiga sebanyak RM1,000.

Bagaimanapun hukuman penjara selama setahun bagi pertuduhan pertama ke atasnya tetap berjalan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, semasa pengadu, Mohammad Harun, 46, berada di kebun getah milik abangnya, datang dua lelaki yang tidak dikenali telah mencuri getah di situ.

Pengadu meminta bantuan rakannya untuk menangkap suspek dan berjaya menangkap seorang suspek (tertuduh) sebelum diserahkan kepada polis.

Terdahulu, M Rami yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan dikenakan terhadapnya kerana dia telah insaf selain perlu menyara isteri dan seorang anak serta ibu bapanya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Rozaime Ab Rahim.

No comments:

Post a Comment