Tuesday, February 15, 2011

Sorok Belakang Pintu

Lelaki sorok belakang pintu rentap rantai nenek


MASJID TANAH: Seorang wanita warga emas berusia 74 tahun cedera di leher selepas bergelut dengan seorang peragut yang melarikan rantai leher dipakai di rumahnya di Kampung Londang, dekat sini, kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Nap Salleh yang kematian suami sejak 10 tahun lalu berehat sambil menonton televisyen di dalam rumah manakala cucu lelakinya, Azrul Amir, 20, berada di dalam bilik air.


Azrul yang menjalani praktikal di Alor Gajah berkata, dia terdengar neneknya menjerit sebelum bergegas keluar.

Katanya, dia menuju ke arah neneknya dan mendapati warga emas itu menahan kesakitan sambil memegang lehernya yang tercedera sambil menunjukkan sesuatu ke arah belakang rumah.


“Nenek beritahu seorang lelaki yang memakai topi keledar dan berdiri di belakang dinding di dapur merentap rantai leher dipakainya sebaik dia membuka pintu dapur.


“Nenek menjerit menyebabkan lelaki itu melarikan diri ke arah belukar di belakang rumah dengan memanjat pagar di belakang reban.


“Saya cuba mengejarnya kira-kira 100 meter, tetapi lelaki itu lesap di dalam belukar,” katanya ketika ditemui, pagi semalam.


Nap membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan ragut.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments:

Post a Comment