Wednesday, February 9, 2011

Langgar belakang Untuk Samun

Pengarang Sukan Utusan disamun, kereta dilarikan 4 penjenayah

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Pengarang Sukan Utusan Malaysia, Meor Harman Meor Shakri melalui detik-detik mencemaskan setelah disamun empat lelaki menggunakan taktik melanggar belakang kereta berhampiran Plaza Tol Rawang, dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, kereta mangsa Honda Civic dilarikan penjenayah terbabit yang salah seorang daripadanya bersenjatakan parang.

Modus operandi serupa turut menimpa seorang wartawan akhbar Guan Ming kira-kira tiga bulan lalu, di salah sebuah kawasan perumahan di Rawang, mengakibatkan mangsa juga kehilangan kereta dan barangan berharga yang lain.

Menurut Meor Harman, ketika kejadian beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Country Homes.

Bagaimanapun semasa tiba di Kilometer 446, beliau dihampiri sebuah kereta Mitsubishi berwarna cerah yang mengekorinya dengan rapat sebelum keretanya tiba-tiba dilanggar dari belakang.

Jelasnya, beliau tidak memberhentikan keretanya itu walaupun kereta suspek berbuat demikian dan menyala-nyalakan lampu memintanya melakukan perkara sama.

"Saya hanya memberhentikan kereta di kawasan yang terang iaitu dua kilometer sebelum plaza tol itu lalu menelefon talian kecemasan 999. Selepas itu saya dihampiri seorang lelaki berusia awal 20-an.

"Suspek kelihatan seperti mabuk dan memohon tidak dilaporkan kepada polis kerana melanggar kereta saya, namun saya curiga dan minta diselesaikan dengan kehadiran pihak berkuasa," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini hari ini.

Jelas Meor Harman lagi, mulanya beliau menjangkakan suspek ingin melarikan diri setelah masuk semula ke dalam kenderaannya itu.

Namun, jelas beliau, jangkaannya silap apabila suspek itu meletakkan kenderaan mereka di hadapan keretanya.

"Ketika itulah suspek terbabit keluar bersama rakannya serta memaki-hamun saya. Rakannya itu tiba-tiba mengeluarkan parang yang diacu-acukan di leher saya.

"Saya terkejut dan sempat mengelak dengan berundur hingga ke belakang kereta. Suspek yang berpura-pura mabuk tadi lalu masuk dalam kereta saya dan melarikannya.

"Suspek yang memegang parang itu pula melarikan diri dengan memandu kereta mereka," jelasnya lagi.

Difahamkan, terdapat dua lagi lelaki berada di dalam kereta suspek.

Kata Meor Harman, dia ditinggalkan keseorangan di lebuh raya terbabit dan terpaksa menumpang seorang lelaki bermotosikal untuk ke Plaza Tol Rawang bagi meminta bantuan.

Katanya, secara kebetulan dia bertemu dengan seorang peronda polis bermotosikal di tol itu yang kemudian meminta bantuan peronda polis Bukit Aman untuk dibawa ke Balai Polis Rawang.

"Apa yang saya terkilan pihak berkuasa lambat menghantar bantuan sedangkan hampir sejam yang lalu, saya telah menelefon panggilan kecemasan 999 empat kali, iaitu sebelum keluar dari kenderaan lagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika ditemui hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

Mengulas tentang kelewatan pihak berkuasa di lokasi kejadian, katanya, panggilan kecemasan 999 yang dihubungi mangsa tidak akan terus disambung kepada polis di kawasan tersebut.

"Oleh itu, kita amat berharap orang ramai terus menghubungi bilik gerakan jika ada kecemasan kerana dengan cara ini, mereka akan berhubung terus dengan polis di kawasan setempat dan menghantar bantuan secepat mungkin," ujarnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment