Tuesday, February 15, 2011

FB Lagi

Minta wang 'tebus maruah'


KUALA LUMPUR: Bahana bercinta melalui facebook dengan lelaki baru dikenali menyebabkan seorang pelajar perempuan dihantui ketakutan selepas menerima ugutan daripada kekasihnya itu yang mahu menyebarkan gambar seksi mangsa jika enggan membayar wang ‘tebus maruah’ RM150.

Difahamkan, remaja lelaki terbabit mengugut mahu menyebarkan beberapa gambar memalukan mangsa kepada umum melalui Internet sekiranya mangsa gagal menyediakan wang dalam tempoh ditetapkan.


Sumber polis berkata, kejadian berlaku selepas mangsa yang berasal dari Petaling Jaya, di sini, berkenalan melalui laman sosial itu dengan seorang remaja lelaki yang sebayanya beberapa bulan lalu.

Difahamkan, remaja terbabit yang berasal dari Segambut, di sini, mengatur pertemuan dengan mangsa di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Bukit Bintang, di sini, kira-kira jam 3 petang, Khamis lalu.


“Dalam pertemuan itu, remaja terbabit memujuk mangsa untuk meminjamkannya komputer riba selain telefon bimbit.


“Bagaimanapun, tiga hari kemudian, mangsa menghubungi suspek dan meminta komputer riba dan telefon bimbitnya dikembalikan. Suspek enggan memulangkannya melainkan mangsa memberikannya wang RM150,” katanya.


Menurutnya, suspek mengugut akan menyebarkan gambar peribadi mangsa dalam keadaan memalukan di dalam telefon bimbit mangsa menerusi Internet.


Mangsa segera membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.


Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum menahan suspek. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas jenayah ugutan.


Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan, seorang pelajar berusia 22 tahun terselamat daripada dicederakan seorang penjenayah yang cuba merompak dan menyerangnya berhampiran Bukit Bintang, di sini.


Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam kelmarin, mangsa yang juga pelajar warga Bangladesh menyeberang jalan sebelum seorang lelaki tidak dikenali meragut telefon bimbit dipegangnya.


Pada masa sama beberapa anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah menyaksikan kejadian itu sebelum memberkas suspek lelaki tempatan berusia 43 tahun itu.

No comments:

Post a Comment