Wednesday, February 9, 2011

Pecah Kereta Pecah Kepala

Dua lelaki pecah kereta dibelasah


KUALA LUMPUR: Tidak ubah seperti sengaja mengundang nahas apabila dua lelaki yang cuba memecah sebuah kereta dikepung orang ramai sebelum dibelasah beramai-ramai berhampiran sebuah restoran di Jalan Ipoh, di sini, awal pagi kelmarin.

Difahamkan, suspek masing-masing berusia 20 dan 28 tahun dipukul selepas cuba melarikan diri selepas memecah sebuah kereta.


Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, pemilik kereta yang juga seorang ahli perniagaan berusia 28 tahun berjalan menuju kenderaannya yang diletakkan tidak jauh restoran itu.

Menurutnya, mangsa yang selesai menguruskan hal peribadi bagaimanapun terkejut apabila dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berada di sebelah keretanya.


“Seorang daripada suspek memegang beg milik mangsa yang dipercayai baru diambil dari dalam kenderaan itu.


“Mangsa terkejut apabila mendapati cermin kereta sebelah kiri penumpang dipecahkan dipercayai dilakukan suspek,” katanya.


Menyedari kehadiran mangsa, kedua-dua suspek terbabit cuba melarikan diri, namun mangsa menjerit meminta tolong sebelum orang ramai yang berada berhampiran mengejar suspek.


“Suspek ditangkap sebelum dipukul dan ditumbuk di muka. “Mangsa menghubungi polis sebelum kedua-dua suspek diserahkan untuk tindakan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment