Saturday, February 19, 2011

Uni Tipu

Hasrat bapa berkecai selepas ditipu RM56,000

MELAKA 18 Feb. - Seorang bapa di sini bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM56,000 malah terpaksa melupakan hasrat melihat anaknya bergelar doktor.

Semuanya bermula apabila pesara tersebut ditipu sebuah syarikat perunding merangkap ejen pengambilan pelajar yang memberikan butiran palsu mengenai pengajian ijazah dalam bidang perubatan di Universiti Perubatan Rusia (RSMU), Moscow kepada anak perempuannya itu.

Ejen tersebut didakwa menipu dengan menyatakan dalam surat tawaran pengajian bahawa tempoh pengajian perubatan selama enam tahun untuk semua mata pelajaran akan diajar dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku apabila bahasa Inggeris hanya diajar selama tiga tahun dan tiga tahun lagi semua mata pelajaran digunakan dalam bahasa Rusia.

Pesara tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Hong mendakwa, dia terperangkap dengan janji-janji manis yang diberikan ejen terbabit pada satu ekspo pendidikan dan kerjaya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) awal tahun lalu.

"Ketika itu, saya berada di situ dengan anak perempuan berusia 20-an dan ejen terbabit menjanjikan banyak perkara termasuk memastikan anak saya dapat melanjutkan pengajian di RSMU untuk menjadi seorang doktor.

"Antara perkara dijanjikan ialah semua kursus dijalankan dalam bahasa Inggeris dan tiada kos tambahan selain yuran RM56,000 yang didakwa meliputi keseluruhan kos pembelajaran," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, kerana terpikat dengan tawaran itu, dia terus mengeluarkan wang bagi membolehkan anaknya melanjutkan pelajaran ke Moscow.

Hong berkata, sebelum anaknya berlepas ke Moscow pada September lalu, dia telah beberapa kali meminta penjelasan daripada syarikat berkenaan mengenai bahasa pengantar yang akan digunakan di sana.

"Ini kerana saya mula berasa bimbang apabila mendapat tahu sebelum ini terdapat beberapa individu mengatakan bahawa bahasa Inggeris hanya akan digunakan selama tiga tahun dan selebihnya pengajaran dalam bahasa Rusia.

"Namun, ejen itu terus menyakinkan saya dengan memberikan satu surat daripada RSMU menyatakan bahawa semua subjek akan diajar dalam bahasa Inggeris," katanya lagi.

Bagaimanapun menurut Hong, selepas dua bulan anaknya berada di sana, timbul pelbagai masalah seperti bahasa pengantar dan bayaran yuran yang bertambah.

"Anak saya diberitahu perlu menambah wang yuran pengajian kerana ia tidak termasuk dalam yuran RM56,000 yang dibayar sebelum ini.

"Lebih memeranjatkan, surat RMSU yang mengatakan semua mata pelajaran akan diajar dalam bahasa Inggeris seperti dikatakan ejen tersebut adalah palsu," katanya yang kemudian merujuk masalah itu kepada Yang Dipertua Persatuan Pelindung Pengguna Melaka, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya.

Hong menambah, atas nasihat Saharuddin, dia kemudian menyuruh anaknya itu pulang ke tanah air November lalu bagi mengelakkan masalah tersebut berpanjangan.

Jelasnya, setelah anaknya pulang, dia terkejut apabila mendapati ramai lagi pelajar yang tertipu seperti anaknya memandangkan seramai 60 orang pelajar dihantar ke universiti itu bagi kumpulan pertama.

Bagaimanapun, kesemua 60 pelajar itu tidak mahu membuat aduan kerana tidak berani.

Sementara itu Saharuddin berkata, selepas kejadian itu, mangsa cuba meminta penjelasan daripada pengarah urusan syarikat berkenaan, namun mereka seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab dan cuba melarikan diri.

"Pihak persatuan juga telah menghantar surat kepada syarikat tersebut namun sehingga kini tiada jawapan daripada ejen berkenaan.

"Kita akan cuba membawa masalah ini kepada kementerian berkenaan dan makluman awal mendapati, ejen ini dipercayai telah menjalankan penipuan untuk mengaut keuntungan,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment