Monday, February 7, 2011

Rogol Wanta Lembam

Rogol wanita lembam, dipenjara 15 tahun

KOTA BHARU 6 Feb. - Seorang bapa kepada tujuh anak yang didapati merogol seorang wanita lembam lima tahun lalu sehingga menyebabkan mangsa melahirkan anak lelaki setahun selepas itu, dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, bermula hari ini.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas Mokhtar Hassan, 53, didapati bersalah merogol mangsa yang ketika itu berusia 18 tahun 11 bulan di sebuah rumah di Kampung Berdang, Jeli pada April 2006.

Mengikut pertuduhan, kejadian pada waktu pagi itu hanya disedari seorang kakak mangsa beberapa bulan kemudian selepas melihat perut adiknya semakin membesar akibat mengandung.

Tertuduh ditangkap tidak lama kemudian selepas keluarga mangsa membuat laporan polis.

Mangsa kemudian melahirkan seorang bayi lelaki pada 12 Februari 2007 dan bayi itu disahkan anak tertuduh.

Akibat kesalahan itu, Mokhtar didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Rofiah dalam penghakimannya menganggap tertuduh amat bernasib baik tidak dihukum sebat kerana kesalahan itu dilakukan pada 2006 iaitu sebelum Kanun Tatacara Jenayah dipinda.

"Kesalahan kamu ini amat serius kerana menyebabkan mangsa melahirkan seorang anak dan sudah tentu dia tidak dapat menjaga anak ini kerana masalah mental yang dihadapi dan kakaknya perlu ambil alih," katanya.

Parlimen pada 2007 telah meminda Kanun Tatacara Jenayah membabitkan kesalahan seksual yang mana setiap pesalah boleh disebat meskipun telah berumur 50 tahun ke atas berbanding sebelum ini.

Peguam bela tertuduh, Faizal Abd. Rahman kemudian meminta hukuman ditangguhkan sementara rayuan dikemukakan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment