Monday, February 14, 2011

Pencuri Menyamar


Hati-hati pencuri menyamar pelanggan

SETIU – Seorang pemilik kedai peralatan elektrik dan perabot di Bandar Permaisuri terpaksa berputih mata apabila sebuah televisyen LCD bersaiz 32 inci berjenama yang dipamerkan, hilang di kedainya ketika dia menjalankan urus niaga dengan pelanggan kira-kira jam 1 petang, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Abdul Hamid Che Ahmad berkata, ketika kejadian, pemilik kedai bersama dua pekerja leka melayan pelanggan sehinggalah apabila membuat pemeriksaan biasa, dia mendapati sebuah televisyen hilang.

“Berdasarkan lapo-ran yang diterima, sebelum menjalankan urus niaga pada pagi kejadian, pemilik kedai itu pasti semua televisyen masih berada di tempat asal dan hairan mengenai punca kehilangannya.

“Ini sebab, televisyen itu bukan dikategorikan sebagai barang jualan tetapi untuk pameran kepada pelanggan yang datang ke kedai sebelum membuat pembelian secara terus,” katanya.

Menurutnya, apa yang menjadi tanda tanya ialah taktik yang digunakan oleh individu itu sangat licik sehingga menyebabkan ia terlepas pandang oleh pemilik dan pekerja kedai itu walaupun ia tidak diletakkan dalam kotak.

“Justeru, bagi mengelakkan kes kecurian dalam premis perniagaan berulang, semua peniaga diingatkan berhati-hati dengan kelicikan pencuri yang mungkin berpura-pura menjadi pelanggan.

“Walaupun kes kecurian ini kecil, namun ia boleh menjadi peringatan awal kepada peniaga dan individu lain pula agar sentiasa memastikan tahap keselamatan di kedai dan rumah berada dalam keadaan selamat.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam premis,” katanya.

No comments:

Post a Comment