Friday, December 3, 2010

Tepon Klon


Taktik penjual telefon bimbit kelirukan pengguna


OTHMAN Nawang (tiga dari kanan) bersama pegawai PPDNKK memeriksa telefon tiruan yang dirampas daripada peniaga di Kompleks Kota Raya, semalam .

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Meletakkan harga mahal manakala ejaan jenama pada kotak dan telefon bimbit hampir sama dengan jenama terkenal adalah taktik terbaru penjual telefon bimbit untuk mengelirukan orang ramai.

Sekali pandang, ejaan seperti Nckia, Sony Ericsoon, Snoy Eriosscn, Song Ericssom dan Scny Ericsson kelihatan sama seperti Nokia dan Sony Ericsson.

Reka bentuk dan aplikasi telefon bimbit tersebut juga hampir sama dengan telefon Nokia dan Sony Ericsson yang tulen.

Taktik yang digunakan oleh pengedar dan penjual telefon tiruan yang beroperasi di pusat membeli-belah itu bukan sahaja untuk mengelirukan pengguna tetapi juga dikatakan untuk mengelak daripada didakwa menciplak hak cipta syarikat lain.

Namun, pengeluar dan pemilik premis menjual telefon bimbit tiruan terbabit tersilap langkah kerana mereka tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan memandangkan perbuatan mengedar produk menyerupai jenama pihak lain adalah satu kesalahan.

Perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut dikesan dilakukan oleh 11 pemilik premis menjual telefon bimbit di Kompleks Kota Raya di sini.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Wilayah Persekutuan, Othman Nawang berkata, pihaknya bertindak menyerbu 11 premis menjual telefon bimbit di pusat beli-belah berkenaan, selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai kegiatan menjual telefon tiruan di situ.

Beliau berkata, serbuan pada pukul 11.30 pagi, Sabtu lalu itu, dilakukan oleh 14 anggota penguat kuasa diketuai oleh Penolong Pegawai Penguat Kuasanya, Azizi Ali.

"Dalam serbuan itu, kita telah merampas 118 unit telefon bimbit tiruan menyerupai jenama Nokia dan Sony Ericsson dianggarkan bernilai RM59,000.

"Telefon tiruan terbabit direka bentuk menyerupai telefon jenama Nokia dan Sony Ericsson dan dijual pada harga sama bagi menyakinkan pelanggan ia adalah barangan asli," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Othman, pengguna yang kurang arif tentang barangan tiruan tidak akan dapat membezakan telefon terbabit dengan asli kecuali melihat nombor digit pada Identiti Peralatan Mudah Alih Antarabangsa (IMEI) di dalamnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya berhati-hati apabila membeli telefon bimbit bagi mengelak ditipu dan jangan mudah percaya pada harga mahal yang ditawarkan kerana ia bukan jaminan bahawa barangan dibeli itu asli.

Beliau berkata, pengeluar telefon tiruan kini beralih memasarkan barangan mereka di premis berdaftar di pusat beli-belah setelah taktik menipu pelanggan dengan menjual telefon tiruan di karnival jualan murah yang dilakukan sebelum ini tidak lagi berkesan kerana kerap diserbu PPDNKK.

"Bagi mengelak perbuatan mereka dikesan, urus niaga antara pengedar dan pemilik premis dibuat secara rahsia iaitu jurujual akan pergi kepada peniaga bertanya berapa banyak telefon yang dikehendaki dan mengeluarkan resit tanpa kepala surat dan alamat syarikat," katanya.

Othman berkata, pemilik premis yang diserbu akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3(1)(b), Akta Perihal Dagangan 1971 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi individu.

Katanya, hukuman denda maksimum RM25,000 pula dikenakan bagi syarikat yang melakukan kesalahan kali pertama dan RM500,000 jika mengulangi kesalahan yang sama.

No comments:

Post a Comment