Saturday, December 25, 2010

Tangkap Masa Pecah Rumah

Ditahan ketika lakukan pecah rumah

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Tindakan pantas seorang jiran menghubungi polis selepas melihat dua lelaki mencurigakan, berjaya menggagalkan jenayah pecah rumah dan samun di sebuah rumah teres di Jalan USJ 26/3, Putra Heights dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, kedua-dua suspek itu berjaya diberkas hasil maklumat jiran tersebut kira-kira pukul 3.30 petang.

Katanya, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu, sepasukan anggota polis pergi ke lokasi kejadian dan ternampak sebuah kereta Proton Waja di hadapan rumah tersebut.

"Ketika kejadian, seorang suspek yang berusia 28 tahun menunggu di dalam kereta manakala seorang lagi rakannya masuk ke dalam rumah.

"Pemeriksaan mendapati suspek memecah masuk rumah tersebut dengan mengumpil pintu hadapan rumah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketika kejadian tidak ada penghuni di dalam rumah tersebut kerana keluar bekerja.

Menurut Zainal Rashid, sebaik polis tiba, suspek tidak sempat mengambil apa-apa barangan di dalam rumah tersebut.

Dengan penahanan kedua-dua suspek itu, polis turut merampas pelbagai alatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah.

"Siasatan awal mendapati kereta Proton Waja itu merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Perak pada 14 November lalu," katanya.

Jelas beliau, salah seorang suspek yang ditahan dikehendaki polis bagi satu kes jenayah di Seri Kembangan, Selangor manakala seorang lagi pula mempunyai rekod jenayah berkaitan curi.

Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment