Saturday, December 4, 2010

Dicari

6 geng pecah rumah diburu

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanpahang@utusan.com.my
MARANG 3 Dis. - Polis memburu enam lelaki termasuk seorang daripadanya dikenali sebagai 'Mie Tiger' yang dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini.

Selain Mie Tiger atau nama sebenarnya, Mohd Zulhilmi Rosli, 22; ialah Ahmad Zamzulaiha Abdullah, 27; Wan Zawawi Mohamad, 30; Ahmad Zubir Ab. Wahab, 30; Mohd Rosli Nordin, 33; dan Mohd Roslan Nordin, 35.

Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, kesemua individu itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Katanya, mereka dikehendaki polis bagi menyelesaikan beberapa kes pecah rumah yang berlaku dalam tempoh 10 hari berturut-turut pada bulan ini.

"Berikutan itu, pada 20 hingga 30 November lalu, satu operasi cegah pecah rumah telah dijalankan di daerah Marang bagi mengesan dan menangkap suspek," katanya di sini, hari ini.

Ujarnya, hasil maklumat kemudian sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah telah menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Alor Limbat, Bukit Payung dekat sini, pukul 2.15 pagi, Isnin lalu.

"Dalam serbuan, kita telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan susulan itu, seorang lagi lelaki berusia 22 tahun dari Kampung Kijing, ditahan.

"Hasil siasatan, kita telah merampas sejumlah barangan curi dalam tiga kejadian pecah rumah di kawasan Bukit Payung," katanya.

Mengulas lanjut, hasil siasatan kedua suspek itu, polis berjaya menahan dua peraih emas berusia 41 hingga 51 tahun kerana turut terlibat membeli.

Katanya, mereka juga menjadi dalang dalam melupuskan barang kemas yang dicuri oleh kedua-dua suspek.

"Dua suspek itu telah dituduh di Mahkamah Majistret Marang pada 29 November lalu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) manakala dua peraih emas itu dituduh di bawah Seksyen 414 KK," jelasnya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada hari yang sama, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Kampung Pulau Kerengga, pukul 11.30 malam, hasil maklumat awam.

Tambahnya, susulan itu, pihak polis berjaya membuat rampasan 20 batang kayu bergergaji pelbagai saiz yang dilaporkan dicuri di sebuah stor kayu di Kampung Pulau Kerengga baru-baru ini.

"Dalam serbuan itu juga, kita juga merampas sebuah mesin rumput dan topi keledar yang dilaporkan hilang dalam satu kejadian pecah rumah di Kampung Alur Tumang sebelum ini.

"Kedua-dua mereka dituduh di bawah Seksyen 457 KK dan Seksyen 379 KK," katanya.

Justeru pihak polis meminta agar orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan suspek yang sedang diburu itu di talian 09-618 2222.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment