Sunday, December 12, 2010

Dicekup Tengah Joli Hasil Samun

Penyamun joli RM15,000 ditahan


MIRI: Tiga penjenayah termasuk seorang wanita sempat menikmati kemewahan seketika menggunakan kad kredit dipercayai dicuri sebelum dicekup di sebuah hotel, di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek berusia 20-an itu dikatakan menginap di sebuah hotel dengan seorang daripadanya ditahan di lobi manakala dua lagi dipercayai pasangan kekasih ditahan dalam bilik kira-kira jam 3 petang.


Menurut sumber, polis mengesan ketiga-tiga suspek mendaftar masuk di hotel terbabit menggunakan kad kredit yang dilaporkan dicuri.

Menurutnya, suspek juga menggunakan kad itu membeli komputer riba, mesin pencetak dan mengisi minyak kereta di sebuah stesen di sini.


Penahanan ketiga-tiga penjenayah terbabit dilakukan berikutan laporan seorang penduduk di Piasau yang mendakwa rumahnya dipecah masuk ketika mereka sekeluarga bercuti.


Dalam kejadian itu, mangsa kehilangan sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz serta barangan berharga dianggarkan bernilai RM35,000.


“Laporan dibuat empat hari lalu selepas mangsa mendapati rumahnya berselerak sementara penyata bank menunjukkan penjenayah terbabit sudah berbelanja sehingga RM15,000 menggunakan kad kredit terbabit,” kata sumber itu.


Semua suspek ditahan di lokap Balai Polis Sentral Miri sebelum dihadapkan ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman.

No comments:

Post a Comment