Wednesday, December 22, 2010

Kad Prabayar Pun Nak Tipu Ka

Dicekup tipu tambah nilai Touch ‘n’ Go

SHAH ALAM – Tindakan licik sepasang suami isteri terbabit dalam penipuan tambah nilai kad Touch ‘n’ Go, sejak enam bulan lalu akhirnya membawa padah apabila mereka ditahan bersama seorang lagi suspek terbabit dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara Utama, Petaling Jaya, pagi kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.45 pagi itu, ketiga-tiga mereka ditahan di rumah milik bapa suspek lelaki terbabit.

Pegawai Siasatan 1 Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Superintendan Ng Keok Chai berkata, dua individu yang ditahan itu adalah adik-beradik, manakala wanita terbabit pula adalah isteri kepada seorang daripada suspek.

“Semua mereka yang berusia antara 28 dan 30 tahun itu dipercayai mengubah beberapa angka nombor kad untuk melakukan penipuan transaksi tambah nilai, sepanjang tempoh itu.

“Susulan tangkapan itu, sebuah lagi rumah dipercayai kediaman dua beradik itu di Bandar Bukit Puchong, turut diserbu berpandukan maklumat daripada suspek, tetapi tiada tangkapan dibuat,” katanya, di sini, semalam.

Keok Chai berkata, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua rumah terbabit, polis menemui 19 keping kad Touch ‘n’ Go, sebuah komputer riba, sekeping kad memori dan dua unit SmartTag.

“Jumlah kerugian masih lagi disiasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya, penipuan tambah nilai itu dikesan syarikat Touch ‘n’ Go apabila pemegang kad terbabit (suspek) menjalankan kegiatan terbabit ketika melakukan transaksi berkenaan di kawasan Kayu Ara, Petaling Jaya.

“Syarikat terbabit bagaimanapun enggan menyekat penggunaan kad itu serta-merta, sebaliknya membuat satu laporan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

“Kami lakukan pemerhatian teliti selama enam bulan untuk mengesan individu terbabit sebelum tangkapan dilakukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment