Monday, December 20, 2010

Jiran Pantau Jenayah

Pencuri ditangkap atas sikap prihatin jiran

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Tindakan pantas seorang penduduk menghubungi polis setelah dimaklumkan oleh jiran bahawa kediamannya di Taman Desa Jaya, Kepong dipecah masuk berjaya membawa kepada penahanan salah seorang daripada tiga penjenayah terbabit.

Kejadian pukul 3 petang kelmarin itu turut menyaksikan insiden pergelutan di antara polis dan suspek sebelum salah seorang daripada mereka diberkas .

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, polis terserempak dengan dua suspek bersenjatakan parang, yang cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Iswara Aeroback di hadapan rumah.

"Mereka kemudiannya cuba melanggar seorang anggota polis peronda yang cuba menghalangnya.

"Anggota berpangkat Sarjan itu tidak mempunyai pilihan selain melepaskan satu das tembakan amaran ke udara sebelum disusuli tembakan kedua ke arah tayar apabila kereta itu kian menghampirinya.

"Kedua-dua suspek itu bagaimanapun dapat meloloskan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahim, pada masa sama, seorang lagi suspek yang cuba melarikan diri menerusi pintu belakang rumah terserempak pula dengan seorang lagi anggota polis.

Katanya, tidak seperti dua lagi rakannya, suspek ketiga ini bagaimanapun berjaya ditahan.

Dalam pada itu, Abdul Rahim memuji sikap jiran mangsa kerana peka dengan apa yang berlaku di sekeliling sehingga membolehkan polis bertindak pantas dan sekurang-kurangnya berjaya menahan salah seorang suspek terlibat.

"Kerjasama seperti inilah yang polis perlukan daripada masyarakat, dengan itu kita boleh bertindak sepantas yang mungkin dan menghalang penjenayah daripada melakukan kerja jahat mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment