Tuesday, December 7, 2010

Geng `Tepuk Bahu`

Polis yakin geng 'tepuk bahu' tumpas

BATU PAHAT 6 Dis. - Polis yakin dapat menumpaskan sindiket 'tepuk bahu' yang aktif memperdaya mangsa ketika berurusan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di seluruh negara dengan tertangkapnya tiga penjenayah warga Peru, baru-baru ini.

Bagi menyukarkan kegiatan mereka dikesan, suspek dipercayai menginap di hotel bajet di sesuatu tempat dalam tempoh seminggu sebelum berpindah ke tempat lain untuk melakukan jenayah sama.

Kes seumpama itu dilaporkan berlaku antaranya di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Terengganu dan Johor.

Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek berusia antara 44 dan 47 tahun akhirnya berjaya ditahan di Terengganu, dua minggu lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, polis Terengganu telah menghubungi pihaknya untuk mengetahui sama ada suspek turut diburu di daerah ini bagi kes sama.

"Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank dan pengesahan mangsa menunjukkan kita memburu suspek yang sama.

"Di daerah ini tiga kes seumpamanya dilaporkan iaitu dua berlaku di Jalan Besar, Yong Peng dan satu di Jalan Rahmat, Batu Pahat, 21 Jun hingga 8 September lalu membabitkan kerugian RM6,900," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ibrahim berkata, ketiga-tiga suspek dalam modus operandinya mempunyai peranan masing-masing memperdayakan mangsa dengan menabur wang, tepuk bahu sebelum menukar kad ATM mangsa.

Jelasnya, ketika mangsa berurusan di mesin ATM, suspek pertama berperanan menaburkan wang di lantai, berdekatan kaki mangsa.

"Suspek kedua kemudian memperdaya mangsa dengan cara menyentuh atau menepuk bahu mangsa untuk mengalih pandangan kononnya wang mangsa terjatuh di atas lantai.

"Ketika mangsa membongkok untuk mengambil wang itu, suspek ketiga akan menukarkan kad ATM mangsa dengan kad ATM lain tanpa disedari mangsa," katanya.

Ibrahim berkata, suspek ketiga juga berperanan melihat dan menghafal nombor pin mangsa untuk mengeluarkan wang daripada akaun.

Menurut beliau, bagi kes di daerah ini, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada satu tahun dan denda serta sebatan.

No comments:

Post a Comment