Tuesday, December 7, 2010

Nak Jadi Artis Kena Tipu

Ditipu jadi artis, tiga beradik ditangkap khalwat

BATU PAHAT 6 Dis. - Akibat terpedaya dengan tawaran untuk menjadi artis, tiga beradik perempuan yang masih di bawah umur ditahan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Daerah Batu Pahat kerana didapati berkhalwat dengan pasangan masing-masing di sebuah hotel di sini semalam.

Mereka berada dalam keadaan mencurigakan bersama tiga lelaki bukan muhrim di sebuah bilik hotel tersebut di Jalan Penjaja kira-kira pukul 2 pagi.

Tiga beradik berusia antara 13 hingga 15 tahun yang tidak lagi bersekolah itu, dipercayai diperdaya ke bilik tersebut kononnya untuk berbincang bagi menjadikan mereka artis oleh tiga lelaki terbabit yang berusia dalam lingkungan 20-an.

Timbalan Ketua Penguasa Agama daerah, Mohd. Anuar Kosnin berkata, ketika pemeriksaan dilakukan kesemua enam individu terbabit enggan memberi kerjasama dan tidak mengendahkan arahan pihaknya untuk membuka pintu bilik.

"Selepas kira-kira 10 minit mengetuk pintu, kami akhirnya terpaksa memanggil pengurusan hotel untuk membuka pintu bilik menggunakan kunci pendua.

"Kesemua mereka berpakaian lengkap dan pemeriksaan di dalam bilik tidak menemui sebarang kondom, namun perbuatan mereka yang berada di dalam bilik serta keengganan membuka pintu apabila diminta menimbulkan syak wasangka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Anuar berkata, salah seorang daripada tiga lelaki terbabit mengaku sebagai pemilik pusat karaoke di daerah ini dan juga merupakan agen mencari bakat.

Katanya, lelaki itu memberikan alasan pertemuan dengan tiga remaja adik beradik itu sebagai perbincangan untuk menjadikan mereka artis.

"Ada banyak lagi lokasi terbuka untuk melakukan perbincangan seperti di kedai makan, restoran mahupun lobi hotel dan bukannya di dalam bilik hotel hingga menimbulkan syak," katanya.

Menurut beliau, kesemua enam individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 27 (1) (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mohd. Anuar turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang perlakuan yang melanggar hukum Islam boleh menghubungi pejabatnya di 07-4341141.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment